Friday, March 17, 2006

Kenaikan 30 sen tidak bebankan siapa?


Oleh: Mohd Nasir Awang

SEORANG pekerja am di sebuah sekolah menengah di Baling, Kedah dilaporkan sanggup berulang-alik ke sekolah menghantarkan bekalan makanan kepada anak-anaknya setiap hari bagi menjimatkan perbelanjaan. Bapa yang tabah itu, Abu Bakar Ariffin, mengakui terpaksa berbuat demikian apabila anak-anaknya, Siti Noraini, 10, dan Mohd Firdaus, 9, perlu mengikuti kelas agama dan fardhu ain (KAFA) pada sebelah petang.

Dengan pendapatannya yang tidak seberapa, Abu Bakar berpendapat adalah lebih baik anak-anaknya tidak pulang ke rumah untuk makan tengahari dan menukar pakaian. Tindakan itu telah menjimatkan dua kos, tambang bas pergi-balik dan wang saku untuk sesi petang anak-anaknya.  Kedua-dua anak itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Keda, Kupang, kira-kira empat kilometer dari rumahnya di Kampung Charuk Bemban.

Dilaporkan juga, tindakan Abu Bakar itu juga adalah sebagai menyahut seruan kerajaan agar rakyat berjimat dan mengubah cara hidup, ekoran kenaikan mendadak harga tiga bahan bakar utama.

Pada 28 Februari lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan harga runcit bagi tiga produk petroleum. Minyak petrol dan diesel dinaikkan 30 sen bagi setiap liter, manakala gas memasak naik 30 sen setiap kilogram.

Harga gas memasak masing-masing naik kepada RM17.50 (bagi balang 10kg), RM 22.00 (12kg) dan RM24.50 (14kg) setiap balang.  Harga petrol pula menjadi RM1.92 seliter, manakala diesel RM1.603 seliter.

Ekoran kegawatan bahana perubahan mengejutkan itu, pihak kerajaan tampil dengan berbagai rayuan. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyeru rakyat agar mengubah gaya hidup. Antaranya dengan mengubah kaedah pengangkutan ke pejabat, sama ada menaiki kenderaan awam atau berkongsi kenderaan (car-pooling).

Timbalan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara dan beberapa menteri kabinet turut tampil dengan seruan dan rayuan masing-masing. Seruan itu disambut ‘bercampur-campur’. Lebih banyak kontra berbanding yang pro.

Rakyat tidak menolak keperluan berjimat. Cuma mereka agak sukar mengubah kebiasaan, apatah lagi menggadai keselesaan. Kempen car-pooling pernah dilaksanakan suatu ketika dahulu. Ia tidak disambut baik dan ‘mati’ begitu sahaja. Apakah kali ini ia mampu dihidupkan semula?

Menggunakan pengangkutan awam juga ada kesulitan tersendiri. Tidak semua orang bernasib baik mendapat perkhidmatan yang efisyen ke laluan dihajati. Ramai yang terpaksa berjalan kaki, menunggu lama atau menukar bas sebelum sampai ke tempat yang dituju. Kesabaran dan ketabahan adalah suatu yang sukar dipertahankan di tengah-tengah tekanan hidup dewasa ini.

Di satu sudut lain, tiada jaminan tambang pengangkutan awam tidak dinaikkan. Gabungan Persatuan Pengusaha Kenderaan Perkhidmatan Awam awal-awal lagi telah memberi kata dua, sama ada menaikkan 10 peratus kadar tambang atau kerajaan menetapkan subsidi diesel pada harga RM1.

Tuntutan itu amat menggusarkan rakyat. Pengalaman lalu, mereka selalunya berjaya dalam tuntutan mereka, bangat atau lambat.

Akhirnya, rakyat ibarat lari dari mulut buaya ke mulut naga. Mereka tidak berkereta sendiri kerana mahu berjimat. Malangnya, naik bas tidak juga mengurangkan kos apabila tambang turut dinaikkan.

Di dapur, suasana lebih sukar daripada di jalan raya. Mengurangkan aktiviti memasak tidak semudah mengurangkan perjalanan. Memasak berkait langsung dengan soal isi perut. Kelaparan adalah pemangkin kepada tekanan perasaan. Maka, aktiviti memasak tidak boleh dielakkan.

Soalnya, pernahkah kita dengar konsep berkongsi dapur (stove-sharing) sebagaimana car-pooling tadi? Berkongsi menggunakan dapur yang sama mungkin ada dibuat orang, terutama di domisil yang menyediakan perkhidmatan sewa bilik. Mereka ini malah berkongsi bilik air dan ruang tamu.

Tetapi stove sharing bukan berkonsep mengurangkan penggunaan gasnya sebagaimana konsep car-pooling. Satu-satunya cara mengurangkan gas ialah kembali menggunakan dapur arang atau dapur kayu. Berapa ramai yang sanggup berbuat begitu?

Kerajaan turut memberi “jaminan” rakyat tidak akan terbeban. Kenaikan harga bahan bakar dikatakan tidak membabitkan kenaikan harga barang lain.

Ia juga suatu “jaminan” yang meragukan. Buktinya, hanya selang dua hari selepas itu, sudah ada kenaikan harga barangan keperluan tertentu dilaporkan berlaku di beberapa negeri. (Ikan patin kegemaran saya sudah naik kepada RM7 sekilogram daripada RM5 sebelum ini!)

Minyak pelincir juga diura-urakan akan naik dalam masa terdekat sebanyak 15 peratus. Harga baru pelincir 4 liter akan bertambah antara RM2 hingga RM3 setiap botol. Manakala jenis sintetik boleh mencapai tambahan RM10 setiap botol. Turut naik ialah harga bateri kereta.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata kerajaan mungkin akan mengkaji semula nilai tender projek kerajaan yang sedang dijalankan, mengambilkira kenaikan terbaru harga minyak.

Beliau mengakui “kenaikan harga minyak akan memberi kesan kepada kos pembinaan”.

Walhasilnya, kebanyakan sektor hidup merasai kesan kenaikan harga bahan bakar tadi. Ada benarnya Ketua Eksekutif Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan, yang mengatakan kenaikan 30 sen seliter bahan bakar boleh mengakibatkan bebanan tambahan sebanyak RM100 sebulan dalam perbelanjaan harian rakyat.

Paparan kisah Abu Bakar tadi adalah contoh bahawa dilema rakyat kini bukannya mengawal nafsu berbelanja, tetapi mengelak daripada berbelanja, walau pun pada benda yang sepatutnya dibelanjakan. Contohnya ialah tambang bas dan wang saku sekolah tadi.

Apa yang dilaporkan media selalunya sampel kecil dari kes sebenar. Ia ibarat ungkapan Inggeris “tips of the iceberg”. Jumlah kes dalam masyarakat ialah berkali ganda lebih dahsyat. Jadi, rakyat manakah yang dikatakan ‘tidak akan terbeban’ angkara kenaikan 30 sen itu?

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, Bil: 016, 17 Mac 2006, di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)           

No comments:

Post a Comment