Friday, March 3, 2006

Apa rasional Terengganu terima pelaburan Denmark?


Oleh: Anuwa Jamalullail

SUDAH banyak yang dilapor-tulis berkenaan isu penyiaran karikatur yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. Ia bermula dengan tindakan akhbar utama Denmark, Jyllands Posten menyiarkan 12 karikatur memaparkan wajah Nabi s.a.w pada 30 September tahun lalu.

Seluruh dunia Islam membantah kebiadaban itu. Sebelas duta negara-negara Islam termasuk Mesir, Palestin, Iran, Turki, Pakistan, Bosnia-Herzegovina dan Indonesia paling awal menyerahkan surat bantahan kepada Perdana Menteri Denmark, Anders Fogh Rasmussen dan menuntut akhbar tersebut meminta maaf. Tuntutan itu pada awalnya tidak diendahkan, konon atas hak kebebasan bersuara.

Keangkuhan akhbar dan ‘keterbukaan’ sikap kerajaan Denmark dalam mempertahankan hak penyiaran itu akhirnya mencetuskan kemarahan di serata dunia. Beberapa negara seperti Iran, Arab Saudi, Kuwait dan Libya sama ada menutup kedutaan atau memanggil pulang duta masing-masing dari Denmark.

Tindakan itu disusuli pemboikotan barang buatan Denmark oleh negara-negara Islam terutama di rantau Teluk Parsi. Malah kontrak perdagangan dan pembangunan infrastruktur yang telah ditandatangani antara firma di negara-negara Islam dengan firma Denmark turut dibatalkan.

Percaya atau tidak, lebih kurang pada masa yang sama, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), sebuah anak syarikat kerajaan negeri tergamak menghulurkan tangan persahabatan dengan sebuah syarikat solar dari Denmark.

Laman web rasmi kerajaan Terengganu dengan bangga melaporkan sebuah kilang mengeluarkan sel dan panel solar bakal didirikan di Teluk Kalong, Kemaman, April nanti. Kilang tersebut yang bernilai RM190 juta juga merupakan kilang pertama mengeluarkan komponen tersebut di Asia.

Menurut laporan itu lagi, satu Perjanjian Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara PMINT dengan Solarin Holding (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat usahasama dengan Denmark Solar Industry (DSI) yang beribu pejabat di Copenhagen, Denmark. Ia dibuat pada Oktober lalu, iaitu selepas hampir sebulan penyiaran karikatur itu.

Itulah yang menjadi kebanggaan para pemimpin dan penjuak Barisan Nasional (BN) di Terengganu - berjaya membawa pelaburan asing ke negeri mereka. Kononnya ia bakal memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu, sekali gus memajukan negeri.

Apakah mereka tidak sedar bahawa perbuatan itu seolah-olah meletakkan kepentingan ekonomi dan kebendaan mengatasi tanggungjawab mempertahankan kemuliaan Rasullullah s.a.w? Malah, apabila ada rakyat yang mempersoalkan kewajaran menandatangani MoU tersebut, para penjuak BN tampil dengan berbagai dalih.

Pertama, mereka menganggap pemboikotan terhadap barangan atau syarikat Denmark adalah tidak wajar. Bagi mereka, yang bersalah ialah akhbar Jyllands Posten. Rakyat Denmark tidak patut dihukum di atas kesalahan satu pihak itu, kata mereka.

Hujah itu adalah senada dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi yang tidak bersetuju dilakukan pemboikotan. Hujah yang sama juga diucapkan oleh pegawai kedutaan Denmark di Kuala Lumpur, Stesen Hommel selepas penyerahan memorandum bantahan oleh PAS kepada pihaknya pada 11 Februari lalu.

Di mana rasional dan realistiknya menghukum Jyllands Posten dalam negara kita? Berapa puluh orang rakyat Terengganu, atau seluruh Malaysia yang melanggan akhbar tersebut? Hujah ini bukan sahaja kebudakan, malah layak ditertawakan oleh sang buaya di sungai. Ia tidak akan memberikan sebarang kesan terhadap pengedaran akhbar biadab itu!

Kedua, para penjuak BN juga berdalih kononnya MoU itu adalah antara PMINT dengan Solarin, sebuah syarikat Malaysia. Ia bukan usaha sama PMINT-DSI secara langsung.

Pada kita, ia satu lagi hujah loyar buruk. Rakyat Terengganu bukan ‘buta kayu’ terhadap ilmu ekonomi. Mereka tahu apa yang dimaksudkan dengan usaha sama itu. Sebagai perbandingan, baru-baru ini disiarkan cerita dua kapal selam Belanda yang kini menjadi ‘besi buruk’ di Lumut, Perak.

Pemilik kapal itu, Rotterdamsche Droogdok Maatschappij (RDM) dari Belanda mengambil sebuah syarikat perkapalan Malaysia, PSC Naval Dockyard sebagai rakan kongsi lima tahun lalu. Tujuannya untuk menjual kapal selam itu kepada Malaysia.

Laporan itu mendedahkan, taktik sama telah digunakan oleh German Naval Group (GNG) yang bekerjasama dengan PSC untuk memperoleh tender pembinaan 27 kapal peronda baru dari kerajaan Malaysia.

Di sektor automotif, Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) secara usaha sama dengan Mitsubishi Motors Corporation (MMC) mengeluarkan kereta pertama negara, Saga. Produknya memang buatan Mitsubishi, cuma pemasangan dibuat di Malaysia.

Itulah antara cara syarikat Jepun itu memasarkan kereta buatannya di negara ini. Begitu juga dengan Perodua Kancil, yang merupakan hanya versi tempatan bagi Daihatsu Mira yang memasuki pasaran Thailand.

Jadi, apakah pemimpin BN Terengganu masih mahu memperbodohkan rakyat dengan alasan kononnya usaha sama industri solar itu hanyalah dengan Solarin dan bukan DSI?

Apa rasionalnya, di saat seluruh dunia Islam bukan setakat membantah tindakan keji penyiaran karikatur itu, malah memboikot barangan Denmark, negeri ‘Islam Hadhari Terengganu Bestari’ tergamak menghulurkan tangan kerjasama dengan ‘tangan kotor’ yang mencemarkan kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w?

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, Bil: 015, 3 Mac 2006, dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment