Friday, March 17, 2006

Tuduh Melayu Dengki, Najib Meludah ke Langit


Oleh: Anuwa Jamalullail

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sewaktu berucap merasmikan Konvensyen Melayu Glokal di Kuala Terengganu pada 16 Februari lalu banyak menyentuh perihal budaya dan sikap orang Melayu. Antaranya ialah kekesalan beliau tentang sikap suka berdengki sesama bangsa, yang menyebabkan orang Melayu tidak maju.

Sebagai pemimpin nombor dua dalam Umno, parti Melayu terbesar, Najib sedar bahawa setiap kritikan terhadap bangsa Melayu akan kembali kepada partinya sendiri. Tambahan pula soal ‘kedengkian politik’ adalah perangai yang paling terserlah di dalam Umno.

Di luar parti, PAS yang sebangsa dan seagama dengan Umno menjadi seterunya paling teraniaya. Pengalaman PAS memerintah dua negeri, Kelantan dan Terengganu, menjadi bukti betapa dakwaan Najib tadi memang suatu kenyataan. Dengki telah menyebabkan Melayu (baca ‘Umno’) rela membiarkan dua negeri bermajoriti Melayu itu ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

Kelantan dan Terengganu adalah dua negeri yang paling tinggi peratus penduduk Melayu.  Sepatutnya ia paling maju dan dimajukan oleh Umno yang memperjuangkan kepentingan bangsanya. Malangnya, ia tidak berlaku apabila dua negeri itu diperintah PAS. Sebaliknya, ia didiskriminasi dan disekat berbagai bantuan. Geran wajib oleh Kerajaan Pusat turut dilengah-lengahkan.

Dalam kes Terengganu, royalti petroleum yang selama berdekad dinikmati negeri itu di bawah Barisan Nasional (BN) telah ditarik balik sebaik ia diperintah PAS.

Mereka inilah yang mula-mula memberi laluan jahat dengan mengisytiharkan royalti itu hanyalah ehsan Kerajaan Pusat. Bahkan di Perhimpunan Agung Umno tahun itu, perwakilan Umno Terengganu dengan lantang mendesak Kerajaan Pusat menarik balik pemberian berkenaan. Bukankah itu dengki namanya?

Anggaran terimaan royalti petroleum dan gas oleh kerajaan negeri bagi tahun 2000 ialah sebanyak RM530 juta atau 76.56% daripada jumlah hasil negeri. Bayangkan betapa ‘tempangnya’ sesebuah kerajaan tanpa tiga perempat pendapatan.

Di tahun yang sama, beberapa peruntukan lain turut ditarik balik atau dilengahkan. Antaranya, kerajaan Terengganu sepatutnya menerima RM1.907 juta peruntukan penyelenggaraan landskap dan pengindahan Bandar. Tetapi sehingga akhir tahun 2000, hanya RM505,000 atau 26.5% sahaja disalurkan oleh kerajaan Pusat.

Sejumlah 14 projek perumahan rakyat yang telah diluluskan peruntukannya oleh kerajaan Pusat, malah sebahagiannya sedang dalam pembinaan, juga telah ditarik balik.

BN yang diterajui Umno turut menafikan peruntukan pembangunan RM500,000 setahun bagi setiap Ahli Parlimen dari parti selain BN. 

Sekali lagi, negeri paling teruk menerima kesan penafian itu ialah Kelantan dan Terengganu.  Kesemua kerusi parlimen Terengganu dikuasai Barisan Alternatif (BA), manakala di Kelantan hanya satu daripada 14 kerusi parlimennya dimenangi BN. Bayangkan keseluruhan dua negeri bermajoriti Melayu dinafikan kemajuan semata-mata kerana perbezaan politik.

Kedengkian Umno di Terengganu melangkaui pentas politik. Ia merebak ke sektor pendidikan.  Contohnya, penutupan dua Maktab Rendah Sains MARA Yayasan Terengganu (MRSM-YT) sewaktu Terengganu di bawah PAS.

Turut disabotaj ialah pengembangan pengajian di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA).  Satu persetujuan awal telah dicapai antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan kerajaan Terengganu untuk mewujudkan program pendidikan bersama USM-KUSZA. Bagaimana pun, permohonan USM menubuhkan fakulti perubatan di Terengganu ditolak Kementerian Pendidikan.

Beberapa perancangan sebelum Pilihan Raya Umum 1999 turut ditangguhkan apabila Terengganu diperintah PAS. Antaranya ialah cadangan pembinaan dua lagi MRSM, pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa Kedua dari Kuantan ke Kuala Terengganu dan projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Manakala rancangan menaikkan taraf Pelabuhan Kemaman agar dapat memenuhi tuntutan infrastruktur sebuah pelabuhan terbaik di rantau ini telah ditarik balik. Khabarnya peruntukan itu telah dipindahkan ke Pelabuhan Kuantan.

Nampaknya, Najib telah tersalah pilih tempat untuk bercakap soal dengki. Kerana, telah terbukti dengan apa yang dilakukan sepanjang empat tahun pemerintahan PAS dahulu, para pemimpin Umno Terengganu ialah manusia paling dengki dalam dunia! Teguran Najib itu tidak ubah ibarat ‘meludah ke langit’.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 17 Mac 2006, di ruangan ‘Komentar’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment