Tuesday, May 16, 2006

Idris kuburkan Kusza warisan Wan Mokhtar


oleh: MAT ZAIN MAT ISA

KALAU ada – walau pun seorang – orang Umno Terengganu yang terkilan melihat Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) dikuburkan, maka besar kemungkinan orang itu adalah bekas Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Amar Diraja Wan Mokhtar Ahmad. Beliau adalah MB Terengganu dari 1974-99.

Persidangan Dun Terengganu, 19 April lalu meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Pembubaran) 2006 yang dikemukakan BN. Itu bermakna Kusza yang dipelopori penubuhannya oleh Wan Mokhtar secara rasmi dibubarkan. Langkah itu diambil bagi memberi laluan penubuhan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) di kampus sama.

Kusza ditubuhkan 27 Januari 1980. Ia memulakan pengajian Jun 1982 dengan objektif “melahirkan generasi muslim yang berilmu dan mampu menyebarkan Islam mengikut al-Quran dan as-Sunnah”.

Sepanjang tempoh 24 tahun, Kusza menawarkan tidak kurang 23 program pengajian diploma pelbagai bidang, tiga diploma lanjutan serta program persijilan. Kusza menerima pelbagai pengiktirafan akademik dari universiti tempatan, Timur Tengah dan Eropah.

Lepasan Kusza tidak menghadapi masalah melanjutkan pelajaran ke mana-mana universiti dalam negara. Beberapa universiti luar negara turut mengadakan program pengajian berkembar dengan Kusza sejak beberapa lama.

Manakala Universiti Sains Malaysia (USM) pernah bersetuju mengadakan kerjasama dengan Kusza bagi mewujudkan fakulti perubatannya di Terengganu. Hasrat itu bagaimana pun gagal direalisasikan semata-mata kerana Terengganu diperintah PAS ketika itu.

Kusza adalah satu-satunya pusat pengajian tinggi Islam yang menjadi kebanggaan rakyat Terengganu. Tidak sebagaimana jirannya Kelantan, Terengganu tidak dikenali dengan kebanjiran institusi pondok dan sekolah-sekolah agama di bawah tadbir kerajaan negeri. Beberapa maahad tahfiz yang wujud di Terengganu kini juga hanya wujud dalam dekad terakhir ini.

Hakikat ini menjadikan kemunculan Kusza sebagai suatu “kejayaan” yang sangat dinanti-nantikan rakyat Terengganu. Hingga kini, Kusza dianggap seluruh rakyat Terengganu sebagai warisan terbaik yang ditinggalkan pemerintahan Wan Mokhtar dulu.

Kemasyhuran dan nilai sentimental Kusza di kalangan rakyat Terengganu menyebabkan ia menjadi antara bahan utama dalam manifesto, PAS mahu pun BN, di setiap kali pilihan raya. Soal kelangsungan, kemajuan dan penaiktarafan Kusza adalah antara “janji dan jaminan” kedua-dua pihak kepada rakyat.

Amat malang, hanya kerana sikap kemaruk terhadap sebuah universiti, Kusza dimangsakan. Ironisnya, ia bukan bikinan kerajaan PAS, yang selama ini ditohmah sebagai menentang apa saja program BN. Sebaliknya, Kusza yang dibina BN akhirnya dikuburkan BN sendiri.

Pada dasarnya, tiada rakyat Terengganu yang tidak setuju wujudnya universiti di negeri mereka. Tetapi mengorbankan sebuah institusi pendidikan Islam yang telah sekian lama wujud adalah suatu yang tidak dialu-alukan. Bagi mereka, adalah lebih baik Kusza dikekalkan. Di masa yang sama, UDM turut diwujudkan.

Tetapi kebijaksanaan menghasilkan suasana “menang-menang” itu gagal dipamerkan para pemimpin BN Terengganu. Apakah Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh tidak terfikirkan hal itu, ataukah beliau memang mempunyai agenda tersirat di sebalik pembubaran Kusza?

Dalam politik, prasangka tidak mudah diketepikan. Lebih-lebih lagi apabila ia dikukuhkan tindakan lain yang menjurus ke arah sama. Bagaimana dengan telahan Idris cuba lari dari “bayang-bayang warisan pemerintahan Wan Mokhtar”? Rasionalnya tetap ada, terutama mengambil kira insiden Kusza bukan yang pertama seumpamanya.

Satu lagi institusi pendidikan Islam yang diwujudkan di zaman Wan Mokhtar ialah Kolej Sains dan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) di Serada, Kuala Terengganu. Apa sudah jadi dengan kolej itu? Ia juga senasib Kusza, hanya tinggal kenangan. Bangunannya masih ada, tetapi namanya ditukar kepada Sekolah Imtiaz.

Apalagi warisan penting pemerintahan Wan Mokhtar? Antaranya royalti petroleum. Kerja carigali dan penemuan emas hitam itu di luar pantai Terengganu berlaku di zaman pemerintahannya. Perjanjian yang mengesahkan hak menerima royalti minyak juga ditandatangani Wan Mokhtar mewakili Kerajaan Terengganu. Telah berdekad hasil itu dinikmati rakyat.

Bilakah ia dihentikan dan siapakah yang empunya angkara? Perampasan hak itu berlaku hanya setelah Wan Mokhtar tiada. Ia terbukti angkara pemimpin Umno Terengganu yang dipimpin Idris. Mereka lah yang mula-mula mendesak Kerajaan Pusat menarik balik royalti berkenaan. Walau pun ia didorong rasa dengki terhadap kerajaan PAS, di masa sama tindakan Idris itu turut “menguburkan” satu lagi warisan pemerintahan Wan Mokhtar.

Ada yang berkata antara tujuan Idris beriya-iya menukar logo Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT), selain bencikan warna hijau pada latarnya, juga kerana logo itu adalah warisan bekas MB itu. Entah apa lagi yang bakal dikuburkannya selepas ini?

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 18 Jamadilawal-3 Jamadilakhir 1427/16-31 Mei 2006 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment