Friday, March 3, 2006

Dilema wanita bertudung di Negara Islam


Oleh: Mohd Nasir Awang

AGAK sukar dipercayai,  tapi oleh kerana pendedahan mengenainya dilakukan di ibu pejabat sayap parti pemerintah, dan disiarkan pula oleh sebuah akhbar harian yang didokongi para pemimpin negara, saya terdorong untuk mempercayainya.

Seorang pekerja wanita di negara kita ‘dipaksa’ berhenti kerja semata-mata kerana berpakaian Islam ke tempat kerja? Itulah pendedahan Habsah Jaafar, Pengarah Akaun Hotel Renaissance Kuala Lumpur baru-baru ini. Beliau mendakwa terpaksa melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak 10 tahun lalu setelah diberi kata dua oleh pengurusan hotel terbabit sama ada mematuhi peraturan yang melarang pemakaian tudung ketika bekerja atau melepaskan jawatannya.

Habsah turut mendakwa pihak pengurusan hotel telah memberikan pelbagai ‘tekanan’ yang akhirnya memaksa beliau berhenti kerja pada 17 Februari lalu. Pihak peengurusan hotel itu dalam kenyataan balasnya bagaimana pun menafikan dakwaan itu.

Adalah menjadi tugas semua pihak, terutama kerajaan, untuk melindungi kaum wanita supaya martabat dan maruah mereka sentiasa terpelihara. Di sisi Islam, ukuran martabat dan maruah wanita ialah sejauh mana mereka mematuhi kod perilaku yang ditentukan Allah Ta’ala. 

Antaranya sebagaimana disebutkan di dalam al-Quran: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah an-Nur 24:31)

Cerita kontroversi pemakaian tudung sudah acap kita dengar sebelum ini. Di atas nama menunaikan kewajiban itu wanita Islam, terutama di negara-negara minoriti Islam, terpaksa menghadapi pelbagai mehnah.

Ogos 2003 lalu, seorang polis wanita di Amerika Syarikat (AS), Kimberlie Webb dihina ketua pejabatnya, malah diarah tidak datang bekerja tanpa diberi gaji sehingga dia membuka tudung.  Webb mula menyertai pasukan polis pada 1995 dan memeluk Islam pada 2001. Dia mula pakai tudung ketika datang bertugas pada 2003.

Di Perancis, dua beradik Lam’ie,18, dan Laila Levi,16 dari Sekolah Over Valley St Dean di Aubervillers, utara negara itu adalah antara puluhan pelajar yang diusir daripada sekolah kerana bertudung. Awal 2002, empat pelajar perempuan di Singapura digantung persekolahan kerana bertudung. Seorang lagi dikenakan tindakan yang sama setahun kemudian.

Namun, kes-kes itu bukanlah terlalu mengejutkan. Apalah sangat yang boleh diharapkan daripada pemerintah bukan Islam untuk membela Islam?

Tetapi lain ceritanya apabila kes serupa turut berlaku di negara bermajoritikan orang Islam.  Antaranya kes seorang Ahli Parlimen Turki hampir sedekad lalu. Merve Kavacki bukan setakat dihalang menyertai sidang Parlimen, malah dilucutkan kerakyatan apabila tidak bersedia menanggalkan tudung.

Di Azerbaijan, seorang guru, Shaela Ismail Alieva dipecat Mac 2005 dari Sekolah Rendah Istedad kerana bertegas untuk memakai tudung. Sebagaimana di Turki ketika itu, bertudung di Azerbaijan turut dianggap mencabar undang-undang sekular negara.

Bukan senang untuk mendapatkan hak mengamalkan Islam, walau pun di negara yang kononnya memperjuangkan kebebasan hak asasi rakyatnya. Malah antara mereka terpaksa melalui proses mahkamah. Pada Julai 2002, tiga wanita di Tatarstan, Rusia, menyaman kerajaan tempatan selepas mereka dilarang bertudung untuk mengambil gambar pasport.

Nashala Hearn, 12, penuntut tahun enam di Muskogee, Oklahoma, AS juga memfailkan tuntutan di mahkamah. Hasilnya, bermula musim luruh 2004, Jabatan Kehakiman Oklahoma membenarkan penuntut memakai tudung mengikut tuntutan agama.

Di Stuttgart, Jerman, September 2003, Mahkamah Perlembagaan Persekutuan Jerman memberi hak kepada seorang guru, Fereshta Ludin, untuk memakai tudung ke sekolah setelah dihalang dari bertugas sejak 1998.

Apakah Habsah juga perlu melalui proses mahkamah bagi mendapatkan hak bertudung ke tempat kerja? Rasanya kes beliau tidaklah sekontroversi itu. Masyarakat negara kita sudah menerima realiti bahawa wanita bertudung juga kelihatan menarik dan beridentiti. Tudung bukanlah halangan bagi wanita untuk berkerjaya.

Justeru, apakah rasional (jika benar) pihak pengurusan Hotel Renaissance Kuala Lumpur mengenakan larangan terhadap Habsah?

Kes-kes yang disebutkan tadi berlaku di negara-negara sekular. Kita kata ‘jahatnya kerajaan kafir sekular itu, mengongkong kebebasan rakyatnya!’

Kini ia berlaku di depan mata kita sendiri. Memang mendukacitakan apabila ia berlaku di sebuah negara yang majoriti penduduknya Islam, dan tampuk pemerintahan dikuasai orang-orang Islam. Malah sering disebut sebagai ‘Negara Islam contoh’.

Saya kira, barangkali hal ini berlaku kerana pihak pengurusan hotel tersebut telah agak lama berada di negara kita. Barangkali juga dia telah meneliti ucapan-ucapan para pemimpin negara selama ini. Antaranya ada yang pernah berkata, ‘tidak semestinya orang yang memakai tudung kepala itu lebih baik daripada yang tidak memakai tudung. Boleh jadi orang yang bertudung itu lebih jahat daripada yang tidak bertudung.’

Logiknya, kalau seorang pemimpin Islam yang masyhur tergamak menuturkan ‘keraguan’ sebegitu, apa peliknya apabila bukan Islam turut berfahaman serupa?

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, Bil: 015, 3 Mac 2006, di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment