Friday, February 17, 2006

Tidak Sensitif Punca Bahan Provokatif Tersiar


Oleh: Mohd Nasir Awang

TIDAK sensitif! Itulah punca utama mengapa bahan-bahan yang menghina kesucian Islam sering ‘terlepas’ siar di negara ini. Media massa terutamanya akhbar dan tv sudah acapkali di masuki agen-agen provokatif. Pelbagai bahan bersifat destruktif (merosakkan) dan deviatif (menyeleweng) terhadap Islam sering dijumpai lewat media massa.

Mutakhir ini dunia sedang berhadapan isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w oleh beberapa akhbar terutama di negara-negara Barat. Ia bermula dengan tindakan akhbar Denmark, Jyllands Posten, menyiarkan lukisan Baginda s.a.w pada 30 September lalu. Sebarang imej bagi menggambarkan Junjungan Besar s.a.w adalah haram di sisi Islam.

Universiti Al-Azhar paling awal mengemukakan bantahan kepada PBB dan agensi hak asasi manusia berhubung isu itu. Duta 11 negara Islam mendahului yang lain menghantar surat bantahan kepada Perdana Menteri Denmark, Anders Fogh Rasmussen dan menuntut akhbar berkenaan memohon maaf.

Bantahan itu tidak dilayan, atas alasan kebebasan bersuara. Lebih biadab lagi, beberapa akhbar di negara-negara lain turut menyiarkan karikatur sama. Sebuah akhbar dalam negara kita, Sarawak Tribune juga menyertai mereka. Apakah ia sengaja menguji sensitiviti umat Islam?

Dalam sejarah negara, Sarawak Tribune bukanlah akhbar pertama dibatalkan penerbitannya angkara penyiaran bahan yang menghina Islam. Jika tidak salah ingatan, lebih dua dekad lalu kebodohan serupa telah dilakukan akhbar Tamil Malar. Sebuah tulisannya menyamakan perbuatan anggota jemaah di Masjid India, Kuala Lumpur makan setalam umpama sekumpulan gagak yang mengerumuni bangkai atau sampah. Ekoran kebiadaban itu, akhbarnya terkubur.

Penyiaran dan penyebaran bahan-bahan yang bukan sahaja provokatif, malah destruktif dan deviatif terhadap Islam tidak pernah berhenti. Berikut adalah beberapa contoh.

Pertama, pada 5 Oktober 1993, sebuah stesen tv swasta menayangkan siri komedi Lenny dengan episod The Loan Ranger. Dalam salah satu dialognya, watak Tracy berkata: “Jika Tuhan benar-benar berkuasa, bolehkah Dia cipta sebiji batu besar hingga Dia sendiri tidak mampu mengangkatnya?” Dialog itu kemudian ditertawakan penonton.

Kedua, sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris pada 24 Julai 2005 menyiar semula sebuah rencana dari akhbar Indonesia, The Jakarta Post bertajuk ‘No one has returned from heaven’.  Ia antara lain mencoretkan “Many Christians believe Islam is not a real religion, but because Christians are in minority in this country, they may not have the courage to express that publicly”.  Malah ia lebih berani apabila menyebutkan “Whether we realize it or not, hatred against other religions is often sowed from very early ages. We just pretend to respect others”.

Ketiga, penglibatan seorang peserta Melayu-Islam dalam rancangan Fear Factor Malaysia pada 23 Disember 2005 lalu menerusi saluran tv berbayar. Salah satu acaranya ialah mengunyah mata kambing (mentah) dan meludahkan ‘jus’nya ke dalam gelas sehingga penuh sebelum meminumnya habis.

Ia bukan sahaja menjijikkan, malah menimbulkan kekeliruan dari segi hukum agama. Lain ceritanya jika semua peserta itu bukan Islam. Sedangkan hukum memakan darah (termasuk daging dan lendiran mentah) adalah jelas di sisi Islam (baca al-Maaidah 5:3 juga al-An’aam 6:145).

Islam turut dihina lewat kaset dan cakera padat. Antaranya sepertimana didedahkan akhbar harian 22 Mei 1992 tentang penyebaran album lagu ‘thrash’ dan ‘death metal’ oleh artis Barat di Kuala Lumpur yang mengandungi lirik menghina Islam. Antaranya lagu berjudul For They Shall Be Slain di mana antara liriknya berbunyi “cursed are the slaves of Islam, for they shall be slain, religion of the lowest minds, Allah is dead”.

Dilaporkan juga pada 5 Oktober 1996 seorang pekerja swasta di Johor Bahru mendapati CD-Rom bertajuk The Holy Quran yang dibelinya di pusat membeli-belah Holiday Plaza, menampilkan tujuh Rukun Iman (menurut ajaran Islam Rukun Iman adalah enam). Baris ketujuh rukun itu berbunyi Beriman Dengan Jin.  Deviatif, bukan?

Bagaimana pula dengan tindakan puluhan bas dan teksi di sekitar Lembah Kelang mengiklankan jenama arak?  Ia berlaku apabila Sukom Ninety Eight Berhad, syarikat yang diawasi kerajaan bagi mengendalikan Sukan Komanwel ke-16, September 1998, tanpa rasa sensitif telah menandatangangi perjanjian penajaan RM5 juta dengan Carlsberg Brewery Malaysia Berhad (pembuat minuman keras jenama Carlsberg).

Sedangkan pernah ada cerita betapa sukar kereta nasional kita menembusi pasaran negara-negara Barat. Di antara sebabnya ialah kerana logo Proton itu mengandungi bulan sabit. Bagi kita, ia hanyalah modifikasi bendera kebangsaan. Tapi bagi masyarakat Barat, bulan sabit ialah lambang Islam. Ada dakwaan mengatakan itu antara sebab Proton tidak lagi menggunakan bulan sabit dalam logonya sekarang.

Saya sekadar menyebut beberapa contoh. Tidak termasuk ucapan dan tulisan orang-orang ternama yang secara jelas menghentam dan menghina ulama dan golongan yang mahu mendaulatkan Islam. Harapnya saya tidak tersilap apabila menyatakan kita masih kurang sensitif terhadap penjagaan kesucian Islam.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, 17 Februari 2006, di ruangan ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment