Friday, February 17, 2006

Rakyat Terengganu pun merempat juga?


Oleh: Anuwa Jamalullail

BUKAN mudah bagi rakyat negara ini melupakan wajah sayu dan sedih Timbalan Perdana Menteri menceritakan kemiskinan yang dilihatnya di kalangan penduduk Pasir Mas, Kelantan pada November lalu. Datuk Seri Mohd Najib menggambarkan seolah-olah beliau tidak pernah melihat kesusahan hidup seumpama itu di mana-mana pun dalam negara ini sebelum itu.

Kini rakyat tertunggu-tunggu apa pula reaksi Najib terhadap kisah sekumpulan orang Melayu yang sanggup mengemis di tangga tokong Cina demi mendapatkan seringgit-dua? Tambahan pula episod kebangsatan itu bukan berlaku di Kelantan, negeri yang diuar-uarkan sangat miskin itu.

Sebuah tabloid harian pada 31 Januari lalu menyiarkan berita mengenai sekumpulan ibu tunggal yang sanggup mengemis di hadapan sebuah tokong di Kampung Cina, Kuala Terengganu dari pagi hingga malam. Mereka dikatakan sanggup datang dari daerah Dungun sehari sebelum Tahun Baru Cina semata-mata mahu mendapatkan ang pau simpati daripada pengunjung tokong itu.

Insiden menyayat hati itu tentunya suatu tempelak buat Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh. Beliau terkenal suka “bercakap besar” seolah-olah segalanya beres di bawah pemerintahannya. “Rakyat Terengganu dah mula senyum sekarang, hidup mereka semakin senang!”, itulah yang sering beliau ucapkan kepada media. 

Idris sering menyandarkan hujahnya kepada projek-projek pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan Pusat di Terengganu. Antaranya ialah pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa II, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dan penubuhan Universiti Darul Iman Malaysia (UDIM).

Betulkah rakyat Terengganu kini sesenang yang didakwa MB mereka? Secara logik saja semua orang boleh menjawabnya. Pertama, projek-projek besar itu masih dalam pembikinan dan masih belum disiapkan. Maka, kesan dan manfaatnya masih belum dapat dirasai oleh rakyat.

Kedua, bukan semua rakyat yang berpeluang menggunakan LPT dan LTSM itu. Sekeluarga rakyat Terengganu yang miskin tidak pernah berangan mahu ‘makan angin’ ke Kuala Lumpur jika diberi rezeki yang lebih. Mereka lebih utamakan membeli beras, membaiki motosikal buruk, menyalin atap zink yang bocor dan memastikan anak-anak tidak kelaparan. Bagi mereka ini, tiada beza apakah LPT dibina atau tidak.

Kalau lebuh raya pun mereka tidak mampu rentasi, bagaimana pula hendak memanfaatkan lapangan terbang? Usah disebut secanggih mana pun LTSM yang sedang dibina itu, hanya mereka yang berkemampuan sahaja yang menaiki kapal terbang untuk ke KL.

Ertinya, pembangunan itu bukan untuk dinikmati rakyat terbanyak. Mereka yang rata-rata masih miskin lebih mengharapkan Barisan Nasional (BN) menunaikan janji menyediakan peluang pekerjaan. Idris sendiri pernah mengatakan kerajaannya akan menyediakan 25,000 peluang pekerjaan untuk rakyat dalam masa lima tahun bermula 2004 lalu.

Setakat ini janji itu masih terlalu jauh dari realiti. Rakyat Terengganu kini terpaksa melakukan berbagai-bagai kerja. Baru-baru ini telah didedahkan cerita rakyat Terengganu menjadikan tapak pelupusan sampah sebagai ‘kampung’ mereka. Di situlah mereka dirikan khemah untuk tinggal, di situlah juga mereka mencari rezeki.

Kerja itu tidak salah di sisi undang-undang mahu pun agama. Begitu juga dengan kerja mengemis di tangga tokong. Tetapi ia bukan peluang pekerjaan yang ditaburjanjikan oleh BN.

Terlalu banyak cerita kehidupan merempat kedengaran di Terengganu sekarang. Hujung Januari lalu ada cerita kedaifan sebuah keluarga di Kampung Kubang Durian, Kuala Terengganu. Ibu tunggal terpaksa menyara hidup enam anak. Mereka hanya mampu makan nasi berlaukkan gula atau minyak bekas goreng ikan.

Mereka sekeluarga terpaksa berlapar. Malah, anak-anak keluarga itu enggan ke sekolah kerana takut dimarahi guru akibat tidak dapat membayar yuran. Demikian pengakuan si ibu yang bekerja menenun songket.  Pendapatannya hanya RM240 sebulan. Apabila ditolak sewa rumah RM150, hanya tinggal RM90 untuk belanja sebulan.

Pada Jun 2005 ada cerita enam beradik di rumah usang di Kampung Langkap, Setiu yang terpaksa memakan ubi dan biskut kering kerana tidak mampu membeli beras. Ibu tunggal yang mengetuai keluarga itu mendakwa bantuan yang diterimanya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dikurangkan daripada RM200 kepada hanya RM100 sebulan. Beliau bekerja menoreh getah. Tiga anaknya berusia 17, 13 dan 10 tahun diberhentikan sekolah untuk menolongnya menoreh.

Di dalam kes-kes tadi, termasuk kes mengemis di tokong itu, mereka yang terbabit kesemuanya ibu tunggal. Mereka bekerja keras demi menanggung kehidupan anak-anak. Cuma mereka belum menerimapakai “fatwa” Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri tempoh hari. Kalau tidak, mungkin mereka telah  menjual diri, atas alasan darurat! Bukan bergurau, kesempitan hidup menyebabkan orang sanggup melakukan apa sahaja.

Kemiskinan terbukti ada di mana-mana, termasuk di bandar Kuala Terengganu yang diperintah BN. Apa yang kononnya dikesal oleh Najib di Pasir Mas itu adalah sandiwara beliau bagi mencapai agenda politik memastikan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil DUN Pengkalan Pasir, Kelantan.

Sikap berpura-pura TPM itu patut menjadi pengajaran kepada rakyat Terengganu, sepertimana mereka juga patut menilai sendiri ‘cakap-cakap besar’ MB mereka.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, Bil: 014, 17 Februari 2006, dengan tajuk ‘Balada merempak di mana saja’)

No comments:

Post a Comment