Friday, February 3, 2006

Kontrak untuk survival pemimpin BN yang kalah


Oleh: Anuwa Jamalullail

HAMPIR separuh pelajar sekolah di Terengganu daripada keluarga yang miskin. Itulah kesimpulan yang dapat diambil dari laporan sebuah akhbar harian, 12 Disember 2005. Berita yang memetik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang mencatatkan terdapat 130,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri Terengganu.

Laporan yang sama menyebut, kerajaan negeri mengumumkan bantuan pakaian seragam sekolah dan basikal kepada 64,000 pelajar miskin di negeri ini. Ia membuktikan hampir separuh (64,000 daripada 130,000) pelajar sekolah di Terengganu terdiri daripada golongan miskin.

Terengganu hampir dua tahun diperintah semula BN. Parti itu beberapa kali mendakwa kononnya ia berjaya mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan rakyat negeri itu.  Bagaimanakah dengan fakta di atas?

Jika dakwaan pemimpin BN itu betul, maka fakta pelajar miskin tadi mestilah tidak tepat. Ia mungkin disalah kira, termasuk antaranya dengan mengisytiharkan pelajar yang sebenarnya bukan dari keluarga miskin sebagai miskin.

Perkara sebegitu bukan tidak pernah berlaku. Demi melayakkan diri menerima bantuan atau kemudahan tertentu pihak kerajaan, ada manusia yang sanggup menipu data peribadi mereka.  Tetapi tidak semua diperolehi melalui cara itu, seperti mana dalam kes dua anak anggota Exco mendapat biasiswa kerajaan negeri.

Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Wan Osman Wan Long, dilaporkan berkata pemilihan dua anak Exco itu kerana mereka layak ditawarkan biasiswa YT bagi melanjutkan pelajaran di Kolej Yayasan UEM, di Lembah Beringin, Selangor. Mereka ialah anak Dr. Abdul Latiff sendiri dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari negeri, Wan Mohd Wan Hassan. Mereka kini mengikuti pengajian A-Level dengan pembiayaan RM30,000 setahun.

Kini dipersoalkan, dalam keadaan semua pelajar yang memohon itu sama cemerlang, apakah soal pendapatan ibu bapa langsung tidak diberi pertimbangan, sehinggakan anak exco terpilih juga?

Apa yang jelas, prinsip dipakai BN adalah “hendak seribu daya”. Ia mampu mengemukakan pelbagai alasan atas apa jua tindakannya. Begitulah juga apa yang berlaku dalam kes budak pintar, Adi Putra Abdul Ghani. Pelbagai alasan dicari bagi menjustifikasikan tindakan MB Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh menjadikan Adi Putra sebagai anak angkat.

Kerajaan negeri, katanya, akan membiayai keseluruhan pendidikan Adi Putra kerana ia adalah contoh konsep Ulul Albab yang mahu dilahirkan dalam pembangunan insan di Terengganu.

Apa rasional Idris mengutamakan seorang pelajar yang bermastautin di Perak berbanding ribuan pelajar pintar (tetapi miskin) di negeri sendiri? Soalan lagi, apakah negeri Perak tiada kerajaan yang bertanggungjawab membiayai pendidikan Adi Putra, sehingga memaksa Terengganu mengambil alih tugasnya?

Barangkali BN melakukan demikian agar dikata orang ia sangat prihatin dengan pembangunan pendidikan. Tetapi bagaimana pula dengan kes sekolah yang gagal disiapkan? Contoh terbaru ialah Sekolah Menengah Seri Bandi dan Sekolah Menengah Cerul, Kemaman yang telah memakan hampir enam tahun pembinaannya, tetapi masih belum dapat disiapkan untuk persekolahan tahun 2006 ini.

Kalau dulu, kerajaan pimpinan PAS dituduh sengaja menyukarkan proses pengambilan tanah untuk tapak sekolah. Antara tuduhan itu ialah melambatkan proses dan mengenakan kadar premium yang tinggi.

Bagaimana pun, mengambil kira tempoh “enam tahun” itu menunjukkan ia mula dibina tahun 2000 (di bawah pemerintahan PAS). Ia bermakna bukan soal kelulusan tapak yang melambatkan pembinaan. Ia lebih kepada soal pelaksanaan pembinaan dan sikap kontraktor terbabit.

Sebahagian besar kontraktor ialah pendokong BN. Malah, dikatakan sebilangan projek pembinaan di Terengganu “sengaja” diwujudkan bagi memastikan survival pemimpin BN.  Malangnya, mereka tidak mengambil hirau soal kualiti mahu pun tempoh penyiapan yang dipersetujui. Barangkali atas anggapan mereka adalah “orang kuat pemimpin politik”.

Akhirnya, beberapa sekolah gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan. Manakala yang baru disiapkan pula menghadapi masalah kecacatan. Kejadian siling runtuh di bangunan baru Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Marang pada 16 Januari lalu boleh dijadikan contoh.

Kejadian dikatakan berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab kontraktor yang membiarkan sisa binaan seperti ketulan simen, batu bata dan genting di atas siling. Semua bahan itu melendutkan kayu siling sehingga menyebabkan ia runtuh.

Menurut sumber, kontraktor terbabit adalah seorang pemimpin kanan Umno Bahagian Marang.  Beliau juga salah seorang calon BN yang tewas dalam pilihan raya umum lalu. Hakikat itu menjelaskan tanda tanya masyarakat, mengapa berita kejadian itu hanya tersiar sekali sahaja.  Manakala pihak-pihak terlibat seperti pentadbiran sekolah atau Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) tiada menyuarakan sebarang bantahan atau laporan di atas kecuaian yang berpotensi membahayakan keselamatan murid-murid itu.

Itulah cara BN mempolitikkan pembangunan pentadbiran!  

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, Bil: 013, 3 Februari 2006, dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment