Friday, February 3, 2006

Kemenangan Hamas 'paku buah keras' buat Amerika


Oleh: Mohd Nasir Awang

AMERIKA Syarikat (AS) bukanlah pejuang demokrasi yang jujur. Negara haram Israel pula tidak pernah berniat baik terhadap negara-negara jirannya. Kedua-dua entiti bermasalah ini sebenarnya menjadi punca sebilangan besar keganasan dan kacau-bilau di seluruh dunia, terutama di rantau Asia Barat.

Setiap kali disebut tentang kepentingan Israel, maka yang menjadi mangsa ialah Palestin. Sudah lebih 50 tahun rakyat Palestin hidup tanpa negara. Jutaan menjadi pelarian. Sebahagian lagi merempat dan dilayan macam binatang di kampung halaman sendiri.

Atas nama menegakkan demokrasi, AS secara zahirnya membantu Palestin untuk kembali memiliki pemerintahan sendiri. Tetapi, jangan lupa AS hanya akan melakukannya sejauh mana dan selagi mana kewujudan negara Palestin itu tidak menghakis kepentingan Israel. Jauh sekali untuk mengganggu-gugat atau mengancam negara haram itu.

Pada 25 Januari lalu, Palestin mengadakan Pilihan Raya Parlimen. Ia dimenangi Harakatul Muqawwamatul Islamiyyah atau Hamas yang julung kali menyertai pilihanraya berkenaan, menguasai 76 kerusi daripada 132 kerusi yang dipertandingkan, mengalahkan Fatah yang mendapat hanya 43 kerusi.

Hamas ditubuhkan pada 14 Disember 1987 di Gaza, beberapa hari selepas bermulanya intifadhah menentang pendudukan Israel. Tujuan penubuhannya adalah bagi mengembalikan kedaulatan negara Palestin sekali gus menamatkan penguasaan Zionis ke atas bumi mereka.

Perjuangan mereka dipenuhi serangan dan kematian. Media dunia yang dikuasai Yahudi tidak pernah melaporkan sesuatu yang baik mengenai Hamas. Ia digambarkan sebagai militan, pencetus keganasan dan serangan bunuh diri. Sedangkan dorongan utama penubuhannya ialah bagi menuntut hak asasi mereka, hak kebebasan untuk hidup dan memiliki negara sendiri.  Bukankah kewujudan Hamas itu sendiri adalah sebagai reaksi kezaliman dan keganasan tanpa henti oleh Israel?

Dunia lebih didedahkan dengan raungan kesedihan penduduk Israel disebabkan letupan bom penyerang berani mati dan “balingan batu” para pemuda Palestin. Sedangkan tindakan keganasan yang dicetuskan Israel tidak terkira jumlahnya.

Saban hari penduduk Palestin diburu dan dibunuh dengan pelbagai cara. Mereka hidup dalam ketakutan. Sesiapa sahaja di antara mereka boleh menjadi mangsa raifel Israel pada bila-bila masa di atas apa jua alasan. Ada kanak-kanak yang sedang berseronok dengan plastik mainan ditembusi peluru askar Israel, semata-mata kerana “binatang bersenjata” itu menyangka manusia kerdil itu memegang senjata api.

Israel tidak pernah berhenti memburu darah rakyat Palestin. Pengasags Hamas, Sheikh Ahmed Yassin dibunuh dalam serangan peluru berpandu pada Mac 2004. Mayat pemimpin itu berkecai.  Penggantinya, Abdel Aziz Rantisi menerima nasib dengan cara yang sama selang empat minggu kemudian. Manakala Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Mishaal, terselamat daripada cubaan bunuh oleh agen Israel di Jordan pada 1997.

Kini, Hamas diisytiharkan menang dan menguasai bumi Palestin. Ia dicapai bukan melalui serangan bersenjata. Ia melalui proses demokrasi yang sangat dibanggakan AS. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam kenyataan awalnya menyeru semua pihak agar menghormati keputusan rakyat Palestin itu. Beliau mengakui pilihanraya berlangsung secara telus dan adil.

Kemenangan Hamas itu adalah sesuatu yang sudah dijangka. Ini kerana, Hamas memenangi pilihanraya tempatan di Tebing Barat pada pertengahan Disember lalu. Ia mendapat lebih 70 peratus undi, menewaskan Parti Fatah yang memerintah.

Sikap AS dan Israel terhadap kejayaan Hamas adalah jelas. AS sudah mengancam akan menyekat bantuan pembangunan semula negara Palestin. Manakala negara haram Israel siang-siang lagi menolak sebarang kemungkinan damai dengan jirannya itu jika Hamas memerintah.

Itulah yang saya maksudkan tadi, bahawa AS dan Israel hanya akan berpegang kepada prinsip damainya selagi mana ia tidak mengancam kepentingan Israel. Sejarah membuktikan AS sangat hipokrit dalam tindakannya. Dunai pernah menyaksikan bagaimana campurtangan AS telah menggagalkan Barisan Penyelamat Islam (FIS) memerintah Algeria. Sedangkan parti itu sudah diambang kemenangan melalui proses demokrasi yang ditaja oleh AS sendiri.

Sikap hipokrit AS itu bakal dilihat lebih menyerlah selepas ini, apabila satu demi satu negara yang meminjam demokrasinya “tumbang” ke tangan gerakan Islam. Ikhwanul Muslimin menang 87 kerusi Parlimen Mesir dalam pilihanraya umum negara itu yang berakhir awal Disember lalu. Jumlah itu hampir enam kali ganda lebih tinggi daripada jumlah diperolehi sebelum ini.

Pilihanraya Parlimen di Iraq pada 15 Disember lalu turut mencatatkan kemenangan kepada kumpulan berhaluan Islam, Perikatan Iraq Bersatu (UIA). Sebelum ini, pilihanraya di Turki dimenangi parti berhaluan Islam. Manakala pelaksanaan syariat Islam berjalan di Sudan dan beberapa wilayah Nigeria.

Kadangkala, saya tertanya-tanya, bagaimana mungkin sebuah kuasa besar dunia terpaksa menerima “paku buah keras” melalui sistem yang ditajanya sendiri - demokrasi dan pilihanraya.  Apakah parti-parti kroni AS di negara-negara berkenaan tidak diajar menggunakan strategi pengundi pos atau “membangkitkan semula” orang yang sudah mati agar kembali mengundi?

Jika taktik itu digunakan, mungkin ia dapat membantu AS menyekat kebangkitan parti-parti Islam. Barangkali AS perlu belajar daripada para pemimpin negara kita tentang taktik memastikan kemenangan berpihak kepadanya.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, Bil: 013, 3 Februari 2006, di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk serupa)

No comments:

Post a Comment