Friday, January 20, 2006

Idris perlu tukar anggota Exco ‘Cap Ayam’

Oleh: Anuwa Jamalullail

Timbalan Unit Risikan Kewangan Bank Negara Malaysia, Yusof Sulong dilaporkan telah mencadangkan supaya kerajaan negeri Terengganu membuat rombakan Exco bagi memastikan Terengganu mencapai agenda penjenamaan semula. Beliau membuat gesaan itu pada majlis Penerangan dan Diskusi Bajet 2006 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada 25 Disember lalu.

Spekulasi rombakan Exco negeri mula menjadi bahan percakapan rakyat Terengganu sejak setahun lalu, iaitu belum pun sampai setahun Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaannya.  Desas-desus itu memuncak pada September 2005 apabila akhbar melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, membayangkan untuk berbuat demikian dalam salah satu sidang akhbarnya. Idris menegaskan bahawa rombakan boleh berlaku pada bila-bila masa jika didapati ada anggota Exco gagal menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.

Kini, kerajaan BN sudah berusia hampir dua tahun. Tempoh itu sudah cukup bagi Idris untuk menilai dan memberi markah kepada anggota Exconya. Sama ada lulus atau gagal, semuanya bergantung kepada penilaian Idris sendiri.

Ada di antara anggota Exco sedia ada dikatakan “tidak mesra” dengan rakyat kerana mungkin merasakan diri mereka sudah cukup hebat. Manakala Idris sendiri pernah didakwa melabelkan beberapa Exconya sebagai “cap ayam”, lantaran gagal menyempurnakan tugasan yang diberikan. 

Dalam bahasa Terengganu, “cap ayam” bermaksud koman, tidak berkelayakan atau low class.
Walaupun diperintah BN sejak 1961 (hanya empat tahun di bawah PAS), Terengganu masih dianggap salah sebuah negeri yang ketinggalan berbanding negeri-negeri lain. Berbeza dengan apa yang sering digambarkan para pemimpin negeri, tahap pembangunan Terengganu kini tidaklah boleh dibanggakan sangat. Aktiviti ekonomi rakyatnya ternyata masih lembab.

Beberapa kawasan perindustrian yang dipromosi begitu hebat masih kosong dan lengang.  Pelabur yang pernah diberitakan berminat membuka perniagaan mereka hingga kini masih belum muncul.

Prasarana di pusat-pusat perniagaan rakyat tempatan juga masih di takuk lama. Pasar Jerteh di Besut belum dibuat apa-apa pembaikan atau penaiktarafan. Pasar buah di Simpang Tiga Ajil di Hulu Terengganu masih daif, sesak dan menyakitkan mata memandang. Sedangkan ia berada di laluan masuk ke Terengganu dari pedalaman Pahang.

Kerosakan Pasar Kedai Payang pula lambat dibaiki. Bumbungnya dikesan bocor, manakala longkangnya tersumbat menyebabkan air sering bertakung. Keadaan menjadi bertambah kotor dengan sampah sarap yang terbiar.

Unit kedai dan industri di Bukit Kor, Maranag juga dilaporkan kurang mendapat sambutan kerana lokasi dan kurang kemudahan berkaitan. Kompleks Perusahaan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) berhampiran kawasan itu turut mengalami masalah sama.

Sejak hampir dua tahun lalu juga, bekalan air sering terputus. Soal tekanan air terlalu rendah pula sudah menjadi lumrah. Ia berlaku di seluruh negeri. Ke manakah perginya kehebatan para pemimpin BN menyelesaikan permasalahan tersebut?

Dalam kebuntuan mereka menangani masalah pembangunan, para pemimpin negeri cuba menukar suasana musim tengkujuh daripada kesedihan kepada keceriaan. Mereka membawakan Piala Monsun dengan menjemput para pelancong asing menjayakannya.

Apa yang dipersoalkan rakyat kini ialah sejauh manakah kesan kejohanan itu kepada ekonomi rakyat? Sepanjang tempoh kejohanan (29 November-4 Disember 2005), berapa banyak penambahan pendapatan diperolehi para peniaga di sekitar kawasan kejohanan, seperti di Pasar Kedai Payang, Losong dan Pulau Duyong sendiri? Betulkah hotel dan chalet fully-booked? Sejauh manakah kejohanan itu berjaya menarik kunjungan pelancong domestik?

Sebenarnya, rakyat Terengganu telah ada jawaban kepada soalan-soalan berkenaan. Sebab itu, walau pun Idris sendiri pernah menjanjikan 25,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Terengganu dalam masa lima tahun ini, mereka sudah tidak mahu membuang masa menunggu dan mengharapkan janji itu tertunai. Rakyat telah mencari penyelesaian sendiri bagi mempertingkatkan ekonomi keluarga.

Antara mereka ada yang sanggup mencari rezeki dengan mengutip sampah. Sebagaimana dilaporkan akhbar, tujuh keluarga menjadikan kawasan pelupusan sampah Majlis Daerah Hulu Terengganu di Ajil sebagai tempat mereka mencari rezeki. Cerita yang sama turut berlaku di kawasan pelupusan sampah berhampiran Bukit Payong, Marang. Apakah kerja selongkar sampah itu sebahagian daripada janji 25,000 peluang pekerjaan tadi?

Kebetulan atau tidak, wakil rakyat di kedua-dua DUN berkenaan (Ajil dan Bukit Payong) adalah anggota Exco kerajaan negeri. Barangkali ini salah satu petunjuk bahawa apa yang pernah dilafazkan Idris sendiri tentang kewujudan “Exco cap ayam” itu ada kebenarannya.

Bagi memastikan agenda memajukan negeri tidak tergendala dengan kehadiran “Exco cap ayam”, Idris perlu mempunyai barisan Exco yang mantap.  Rombakan Exco tidak dapat dielakkan, biar pun ia ibarat mengeluarkan kentut.  Jika dilakukan ia akan berbunyi, berbau busuk dan memalukan. Tetapi jika ditahan, ia akan terus menyeksa badan!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, Bil: 012, 20 Januari 2006, dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment