Friday, October 28, 2005

Penyu pun lari dari Terengganu?


Oleh: Anuwa Jamalullail

TIDAK logik! Mana mungkin sebuah jabatan meluluskan lesen untuk melakukan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang dan peraturan?

Tetapi itulah yang didakwa berlaku di Terengganu sejak beberapa tahun lalu. Orang yang mendakwanya pula tidak lain daripada Menteri Besarnya, Datuk Seri Idris Jusoh sendiri.

Sebuah akhbar harian pada 13 Oktober lalu melaporkan Idris sebagai berkata bahawa pelbagai spesies ikan di Tasik Kenyir semakin pupus. Beliau mengenalpasti punca utama kepupusan itu ialah tindakan kerajaan negeri pimpinan PAS dahulu yang meluluskan lesen penangkapan ikan secara komersial di situ.

Idris mendakwa kelulusan itu, termasuk kebenaran menggunakan pukat, bubu dan teknik pengeboman telah diberikan kepada 34 pengusaha. Berikutan kekurangan ikan, Idris mendakwa jumlah pelancong terutamanya mereka yang berminat dengan aktiviti memancing semakin kurang mengunjungi tasik tersebut.

Meskipun ada pihak yang menelan bulat-bulat tohmahan Idris itu, secara logiknya, dakwaan itu masih boleh dipertikaikan. Pertama, ini bukan kali pertama Idris dan konco-konconya mengkambing-hitamkan bekas kerajaan PAS dalam perkara berkaitan pemerintahan negeri Terengganu, terutama di dalam hal yang mereka gagal tangani dengan baik.

Sewaktu tercetus isu “Kerajaan Langit” pimpinan Ariffin Mohamad di Besut beberapa bulan lalu, Idris menyatakan bahawa ajaran itu berkembang pesat ketika Terengganu diperintah PAS. Kebanyakan replika di markas ajaran itu di Kampung Batu 13, Bukit Payong, katanya, dibina antara tahun 2002 dan 2003 iaitu semasa pemerintahan PAS.

Sedangkan ajaran itu telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Negeri Terengganu pada 1997 lagi, iaitu semasa BN masih memerintah. Manakala Ariffin buat pertama kali ditahan, dibicara dan dipenjarakan ialah pada 2001, oleh kerajaan PAS.

Apabila beberapa daerah di Terengganu sering mengalami masalah bekalan air pada Julai 2004 lalu, Exco berkenaan, Wan Hisham Wan Salleh, mendakwa kononnya masalah bekalan air bersih di Terengganu berlaku sebaik PAS memerintah negeri.

Apa rasionalnya mengaitkan bekalan air dengan pemerintahan PAS? Lainlah jika semua negeri yang tidak diperintah PAS tidak mengalami masalah itu!

Pendek kata, membohongi fakta dan mengkambinghitamkan PAS adalah lumrah bagi pemimpin BN Terengganu.

Kedua, secara rasional, bagaimana begitu mudah PAS sebagai sebuah kerajaan (ketika itu) boleh meluluskan aktiviti “mengebom” ikan, sedangkan ia antara teknik yang dilarang?

Ketiga, kelulusan lesen tersebut tertakluk di bawah Akta Perikanan, dan dikendalikan oleh Jabatan Perikanan. Jabatan itu sebahagiannya di bawah Kerajaan Persekutuan.

Keempat, keseluruhan Tasik Kenyir itu di bawah pentadbiran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah). Siapa yang tidak tahu betapa sukarnya kerajaan PAS untuk campurtangan dalam urusan Ketengah? Dan, bukankah Pengerusi Ketengah adalah Idris sendiri? Difahamkan, segala aktiviti di kawasan tersebut adalah dalam maklumannya.

Kelima, fakta yang berlaku kini bukan sahaja ikan di Tasik Kenyir yang semakin berkurangan, malah ikan dan penyu di laut juga “lari” dari Terengganu. Awal tahun ini, seorang pegawai di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu dilaporkan berkata jumlah hasil tangkapan laut bagi tahun 2004 (di bawah BN) merosot sebanyak 17 peratus berbanding tahun sebelumnya (di bawah PAS).

Kerajaan BN cuba menafikan fakta tersebut. Ia gagal mencari logik untuk mengkambing-hitamkan PAS. Akhirnya ia mengakui kekurangan hasil itu disebabkan jumlah nelayan yang semakin berkurangan, kerana mereka memilih untuk mencari pekerjaan lain.

Bagaimana pula dengan penyu, yang tidak memerlukan nelayan “memburunya” bagi memastikan kewujudannya? Jumlah penyu tidak ada hubungkait dengan jumlah nelayan. Tetapi hanya 1,500 ekor penyu sahaja yang naik bertelur di pantai-pantai Terengganu tahun ini berbanding 3,086 ekor pada tempoh yang sama tahun lepas. Demikian menurut kajian oleh Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) Rantau Abang, Dungun.

Setakat ini, Idris belum temui alasan untuk menyalahkan PAS sebagai punca kemerosotan pendaratan penyu itu. Bagaimana pun fenomena itu meresahkan pelbagai pihak.

Sewaktu bencana tsunami melanda sebahagian rantau ini hujung tahun lalu, cerita ikan “lari” dari gempa itu banyak kita dengar. Oleh kerana pusat gempa berlaku di tengah laut, maka ikan-ikan itu menuju ke darat. Maka ramai nelayan mendapat “ikan runtuh”, tangkapan berganda banyaknya. Manakala sebahagian ikan itu sampai meloncat ke darat, macam todak melanggar Singapura dalam lagenda dulu.

Dalam bencana gempa bumi di benua Indo-Pakistan baru-baru ini, kes serupa juga dikatakan berlaku. Beberapa ketika sebelum kejadian gempa dikesan oleh manusia, burung-burung didapati telah terbang meninggalkan sarang masing-masing dalam jumlah yang sangat ramai. Ertinya, binatang lebih cepat menghidu bencana yang bakal datang. Mereka cabut lari awal-awal.

Kalau ikan dan penyu pun sudah mula “lari” dari laut Terengganu, “bencana” apakah pula bakal tiba ke negeri itu selepas ini? Harap-harapnya kebimbangan kita itu tidak menjadi kenyataan!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 28 Oktober-17 November 2005 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment