Friday, October 28, 2005

Wajarkah krisis rumahtangga berakhir tragedi


Oleh: Mohd Nasir Awang

ENTAHLAH apa nak jadi dengan institusi keluarga di negara kita? Mutakhir ini, ada-ada saja dilaporkan kes-kes membabitkan persengketaan suami isteri. Bahkan sebilangannya sampai berakhir dengan kejadian yang sangat mengerikan, malah mengakibatkan kematian.

Pada 31 Julai lalu, negara dikejutkan dengan kes seorang isteri mencurahkan asid ke atas suaminya yang sedang tidur di rumah mereka di Jeli, Kelantan. Siti Khalifah Sulong, 53, bertindak terhadap suaminya Lans Koperal Tuan Azman Tuan Ludin, 31, kerana membantah hasrat sang suami untuk berkahwin lagi.

Siti Khalifah kemudiannya didakwa di mahkamah dan mengaku tidak bersalah. Sedangkan suaminya menderita kecacatan kekal seumur hidup.

Insiden serupa berulang lagi pada 8 Ogos. Kali ini di Pasir Mas, juga di Kelantan. Seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Man melecur 20 peratus badannya selepas cuka getah dalam botol yang dipegang isterinya tertumpah semasa mereka berdua bergelut. Semuanya gara-gara hasrat Man ingin berpoligami. Beliau menceraikan isterinya, Rosnani Awang, ekoran insiden itu.

Namun Man tidak dapat menahan cemburu apabila mengetahui Rosnani menjalin hubungan dengan lelaki lain. Pada 27 September lalu, Man dikatakan menampar lelaki itu yang sedang minum di sebuah warung. Tindak balas lelaki itu bersama adik dan dua rakannya menyebabkan Man menetak pula mangsa dengan sebilah parang.

Gara-gara cemburu juga, seorang jururawat kanan di Melaka mati dibelasah bekas suami. Allahyarham Nor Asmah Ismail, 36, dipukul sehingga koma oleh bekas suami, Anuar Mohamed, pada hari pertama Ramadhan (5 oktober). Juruteknik kilang itu dikatakan berang apabila mangsa dihubungi lelaki lain ketika sedang berbincang mengenai hubungan mereka awal pagi itu.

Anuar, 35, mengaku bertindak di laur kawalan dengan merampas telefon bimbit mangsa setelah mendengar suara lelaki itu. Mangsa dipukul di bahagian kepala di rumah bekas suaminya itu di Pengkalan Batu, Melaka. Mereka bercerai OgoS tahun lalu. Mangsa mati setelah tiga hari tidak sedarkan diri, meninggalkan empat orang anak.

Seluruh negara gempar dengan kejadian itu. Memang, isu keganasan terhadap wanita sangat cepat meraih simpati masyarakat. Namun, sebagaimana dibuktikan di dalam kes dua simbahan asid di Kelantan tadi, potensi melakukan keganasan rumahtangga bukan dimiliki kaum lelaki atau suami sahaja.

Kejadian di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 21 September lalu adalah contoh yang lebih tragik. Seorang lelaki mati setelah ditikam di dada dan dikelar di kepala oleh isterinya dengan sebilah pisau di rumah mereka. Mangsa, S. Basoobathy, 22, yang baru pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dikatakan bergaduh dengan isterinya yang berumur 19 tahun dipercayai berpunca dari masalahnya yang tiada pekerjaan tetap. Dia meninggalkan seorang bayi berusia 11 bulan.

Di Ulu Tiram, Johor Bahru, pada 2 Oktober lalu pula, seorang suami mati dibelasah tiga rakan isteri gara-gara cuba menghalang bekas isterinya daripada merampas anak mereka. R. Murugayah mati di hadapan rumahnya setelah dipercayai dipukul dengan beberapa batang besi dan topi keledar. Tiga lelaki berkenaan datang ke rumah mangsa bersama bekas isterinya untuk menuntut anak mereka. Bagaimanapun berlaku pertengkaran yang berakhir dengan kematian mangsa.

Ngeri bukan? Inilah apa yang dikata orang, “rumahtangga adalah syurga, tetapi ia juga boleh bertukar menjadi neraka”. Apa yang pasti, dalam semua kes tadi, yang menjadi mangsa ialah anak-anak. Norsafida Tuan Azman, terpaksa merintih kesepian, “bapa dalam wad, ibu dalam lokap”.

Anak-anak mendiang Murugayah dan Basoobathy pula hilang bapa masing-masing. Manakala ibu mereka meringkuk di dalam penjara. Anak-anak Allahyarham Nor Asmah pula telah kehilangan ibu ekoran ‘ketidakwarasan’ bapa mereka sendiri.

Kes-kes yang dipaparkan itu menyebabkan beberapa kes lain menjadi “kecil” dan kurang mendapat perhatian. Misalnya, seorang anggota tentera wanita berpangkat koperal di Pengkalan Chepa, Kelantan, dilaporkan lebam di paha dan badan setelah diterajang suami, gara-gara meminta diceraikan.

Di Pulau Pinang pula, dua kes berasingan melibatkan kecederaan kepada isteri. Seorang isteri pecah gegendang telinga dipercayai ditumbuk suaminya dalam pertengkaran di rumah mereka di Kepala Batas. Manakala di Georgetown, seorang isteri patah tulang rusuk dipijak suaminya dalam pertengkaran yang dipercayai berpunca daripada mabuk arak.

Bagaimana pula halnya apabila sang suami tidak tahan melihat dua isteri sering bertengkar. Lalu bertekad meminum racun rumput? Itulah yang dilakukan seorang pemandu lori di Felda Jengka 5, Pahang pada 7 Ogos lalu.

Manakala pada 10 Oktober lalu pula, seorang lelaki bertindak membakar rumah mentuanya di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, Kuala Terengganu. Kejadian berlaku apabila isterinya enggan pulang bersamanya ke Kemaman.

Itulah gambaran betapa ada sesuatu yang tidak kena dengan pembangunan keluarga di negara ini. Sehinggakan, seolah-olah sudah tidak ada jalan keluar dari krisis rumahtangga selain mengakhirinya dengan tragedi.

Ya Allah! Selamatkanlah Malaysia!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, 28 Oktober 2005 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment