Friday, November 18, 2005

Kusza serlahkan sikap lepas tangan BN Terengganu


Oleh: Anuwa Jamalullail

KERAJAAN Negeri Terengganu telah nekad untuk menyerahkan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) kepada Kerajaan Pusat bagi dijadikan kampus cawangan Universiti Daruliman Malaysia (UDM) yang bakal ditubuhkan tahun depan. Apa yang dirasionalkan kerajaan negeri hanyalah dari tanggungan perbelanjaannya.

Menteri Besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, dalam kenyataannya pada 5 November lebih menekankan kemungkinan dapat mengurangkan beban perbelanjaan antara RM70-80 juta setahun apabila Kusza diletakkan di bawah pentadbiran UDM.

Kusza satu-satunya pusat pengajian tinggi Islam yang menjadi kebanggaan negeri Terengganu. Tidak sebagaimana jirannya Kelantan, Terengganu tidak dikenali dengan kebanjiran institusi pondoknya. Beberapa maahad tahfiz al-Quran di Terengganu juga hanya wujud sedekad-dua kebelakangan ini.

Hakikat ini menjadikan kemunculan Kusza pada 1982 sebagai suatu ‘kejayaan’ yang sangat dinantikan rakyat Terengganu, terutama mereka yang cintakan pendidikan Islam. Hingga kini, Kusza dianggap seluruh rakyat Terengganu sebagai legasi terbaik yang ditinggalkan pemerintah Barisan Nasional (BN) diketuai Tan Sri Dato’ Amar Wan Mokhtar Ahmad (MB Terengganu 1974-99).

Kemasyhuran dan nilai sentimental yang ada pada Kusza di kalangan rakyat Terengganu menyebabkan ia menjadi antara bahan utama dalam manifesto pilihan raya PAS dan BN. Soal kelangsungan pembelajaran, kemajuan dan penambahbaikan Kusza adalah antara ‘janji dan jaminan’ kedua-dua pihak kepada rakyat.

Dalam kesibukan para pemimpin BN Terengganu mencanangkan bahawa Kusza bertambah baik di bawah kerajaan baru, tersirat sebenarnya beberapa perkembangan negatif terhadap program pembelajaran di institusi berkenaan.

Menurut sumber, program kerjasama pendidikan dengan dua universiti asing telah pun dihentikan sejak BN memerintah. Dua universiti berkenaan ialah University of East London (UEL) dan Universiti Hasanuddin, Makasar, Sulawesi. Manakala program penghantaran pelajarnya ke Universiti Dublin juga dikatakan telah dihentikan.

Maka apakah yang didakwa pemimpin BN sebagai ‘bertambah baik’ itu? Dan, apakah jika ia benar bertambah baik, begitu mudah pula BN melepaskannya kepada Kerajaan Pusat? Ataukah benar dakwaan BN sememangnya berhasrat ‘berlepas tangan’ dalam pentadbiran sekolah-sekolah agama?

Perasaan tidak senang para pemimpin BN terhadap institusi pendidikan Islam memang diketahui umum sejak sekian lama. Paling ketara ialah pemberhentian bantuan per kapita kepada sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) oleh Kerajaan Pusat beberapa tahun lalu.

BN Terengganu pula menambah lagi episod sedih bagi pendidikan Islam. Kolej Sains dan Teknologi Al-Quran (KOSTAQ) yang ditubuhkan di zaman pemerintahan PAS dilenyapkan. Manakala Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) yang baru diasaskan lebih lima tahun lalu, kini diambang penutupannya.

Kelemahan BN Terengganu dalam menguruskan sekolah agama terbukti apabila beberapa sekolah di bawah pentadbirannya terus terabai. Bahkan, sudah didesas-desuskan semua sekolah menengah agama negeri akan diserahkan pentadbirannya kepada Kementerian Pelajaran.

Di mana tanggungjawab dan kebijaksanaan BN negeri memajukan sekolah-sekolah tersebut? Apakah wajar ia berlepas tangan dalam hal pendidikan agama?

Semasa pemerintahan BN sebelum ini pun, sebilangan sekolah agama negeri diserahkan kepada Kementerian Pelajaran. Antaranya ialah Sekolah Menengah Agama (SMA) Tok Jiring dan SMA Batu Rakit, di Kuala Terengganu, SMA Wataniah dan SMA Nurul Ittifaq (Besut), SMA Rantau Abang (Dungun) dan SMA Durian Guling (Marang).

Kini, fenomena serupa bakal dihadapi Kusza pula. Alasan Idris sangat mudah. “Adalah lebih baik Kusza diurus Kerajaan Pusat bagi memastikan kecemerlangan berterusan institusi berkenaan”, katanya sebagaimana dilaporkan akhbar.

Sindrom bergantung harap kepada Kerajaan Pusat sememangnya menjadi ciri utama kerajaan pimpinan Idris. Bagi menutup kegagalannya membangunkan negeri dengan perancangan dan acuan sendiri, BN Terengganu sering menumpang nama pada projek mega yang bakal dilaksanakan.

Pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Taman Tamadun Islam, hospital baru di beberapa daerah, pembesaran jalan-jalan raya dan lain-lain lagi, semuanya di bawah pembiayaan Kerajaan Pusat dan tiada kaitan dengan sifat berdikari atau jayadiri BN Terengganu.

BN Terengganu juga menumpang nama pada sekolah-sekolah millik Kerajaan Pusat dengan memberikan mereka label baru seperti ‘sekolah elit’, ‘sekolah primer’,’ sekolah bestari’ dan seumpamanya. Macamlah rakyat tidak tahu segala tanggungjawab pengurusan dan pentadbirannya dilakukan Kerajaan Pusat!

Jadi, rakyat kini bertanya, kalaulah semua projek dan institusi pendidikan dibiayai dan diuruskan Kerajaan Pusat, maka di manakah kemampuan BN sebagai sebuah kerajaan negeri?

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 18 November – 1 Disember 2005 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment