Friday, October 14, 2005

Belanjawan 2006 galakkan budaya ‘tongkat’


Oleh: Anuwa Jamalullail

BELANJAWAN negara bagi tahun 2006 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada petang Jumaat, 30 September lalu. Saya tidak gemar menggunakan perkataan ‘bajet’, kerana merasakan istilah ‘belanjawan’ adalah lebih tepat dengan semangat memartabatkan Bahasa Melayu.

Tema belanjawan kali ini ialah ‘Membina Kekuatan, Menghadapi Cabaran’. Antara intipati utama yang dapat difahami ialah membentuk warganegara yang berdaya saing dan berdaya tahan, terutama bagi menghadapi zaman yang bertunjangkan pengetahuan serta kemajuan sains dan teknologi. Untuk itu, rakyat akan “dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai murni untuk menjadi tenaga kerja yang menghayati budaya kerja berprestasi tinggi”.

Bagaimanapun, budaya “payung” dan “tongkat” masih menjadi lumrah dikalangan  bumiputera.

Ingatan demi ingatan telah diberikan oleh para pemimpin negara. Jun lalu, Perdana Menteri mengingatkan kontraktor bumiputera agar tidak mengharapkan kontrak kerajaan semata-mata kerana tidak ada lagi ‘durian runtuh’ untuk mereka, apabila sektor pembinaan negara telah mengalami penguncupan dan tidak lagi sebesar dulu.

Malangnya, kesungguhan melihat daya saing di kalangan kontraktor itu dilunturkan oleh Perdana Menteri sendiri. Belanjawan 2006 ini adalah buktinya.

Sejumlah lebih RM5 bilion diperuntukkan bagi penyelenggaraan kemudahan awam. Selain peruntukan kepada agensi kerajaan sebanyak RM4.3 bilion, peruntukan khas sebanyak RM1 bilion turut disediakan bagi membolehkan kontraktor kecil melaksanakan projek mereka. Bukankah itu ‘tongkat’ namanya?

Antara aspek yang turut ditekankan dalam belanjawan tersebut ialah pembelaan golongan miskin dan berpendapatan rendah. Pelbagai langkah dan insentif diumumkan bagi mempertingkatkan ekonomi golongan tersebut, sama ada di sektor pertanian, pendidikan dan perniagaan.

Antara sektor yang mendapat perhatian ialah subsektor peruncitan. Di bawah Projek Usahawan Bumiputera dalam Bidang Peruncitan (Prosper) khusus untuk siswazah, kerajaan menjanjikan pembiayaan sehingga RM50,000 tiap seorang bagi membantu 200 siswazah memulakan perniagaan.

Sebelum ini kita difahamkan Prosper ialah antara projek yang hampir gagal membentuk bumiputera ‘berdaya saing’ dalam perniagaan. Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif  Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Datuk Mohd Nasir Ahmad mendedahkan lebih 121 atau 20 peratus daripada 550 peniaga runcit di bawah Prosper mengalami masalah kewangan yang berat akibat gagal bersaing. Manakala, sebanyak 55 peniaga runcit lagi telah menutup operasi mereka kerana mengalami kerugian.

Jika sebilangan mereka yang telah pun bertahun-tahun menceburi bidang peruncitan itu pun gagal bersaing, apakah ada jaminan bahawa golongan siswazah yang baru hendak berjinak-jinak ini akan mampu bersaing, berbekalkan ‘tongkat’ kerajaan itu?

Kegagalan program Amanah Ikhtiar Rakyat (AIM) sebagaimana didedahkan baru-baru ini tambah merisaukan. AIM yang ditubuhkan pada tahun 1986 bertujuan membantu penduduk miskin mendapatkan pinjaman cepat dan mudah tanpa cagaran. Malangnya, selepas 19 tahun terlaksana, rata-rata ‘sahabat’nya masih berada dalam kelompok rakyat miskin tegar.

Malah, sepanjang tempoh itu, dilaporkan kira-kira 45,000 sahabat AIM telah menarik diri daripada skim itu kerana mendakwa projek dijalankan gagal memberi keuntungan. Bayangkan sudah berapa banyak dibelanjakan kerajaan untuk menyediakan ‘tongkat’ kepada golongan ini selama tempoh itu?

Berdasarkan kes-kes yang disebutkan itu, dapatlah disimpulkan bahawa masalah utama pembangunan ekonomi bumiputera bukanlah kewangan atau modal. Ia lebih kepada sikap atau mentaliti subsidi, yang sentiasa mengharapkan huluran bantuan dari kerajaan.

Akibatnya, mereka yang berniaga tidak begitu serius soal daya maju perniagaannya. Malah sebilangannya mengambil mudah soal untung dan rugi.

Bumiputera akan terus ketinggalan dalam pelbagai bidang sekiranya daya saing dan daya tahan gagal dipupuk. Sudah tentu hasrat membentuk kedua-dua unsur kekuatan itu menuntut mereka berdikari dan berjayadiri, sedangkan konsep berdikari itu adalah bercanggah pula dengan ‘budaya tongkat’.

Sikap kerajaan sendiri yang menyediakan terlalu banyak ruang untuk menyuburkan ‘budaya tongkat’ itu sebenarnya menjadi penghalang utama membentuk warga yang berdaya saing dan berdaya tahan. Dalam konteks itu, apakah mungkin hasrat ‘Membina Kekuatan, Menghadapi Cabaran’ akan hanya tinggal harapan?

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 14-27 Oktober 2005 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment