Friday, August 19, 2005

Lebihnya jika orang agama jadi orang politik


Oleh: Mohd Nasir Awang

SAHIBUS Samahah Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria ada sebab wajar untuk tersenyum lebar, 2 Ogos lalu. Apa tidaknya! Sebagai ulama yang sukar mendapati pandangannya tidak disanggah penguasa, kenyataan Timbalan Perdana Menteri sehari sebelum itu mengenai program realiti tv barangkali bagaikan ‘pucuk dicita ulam mendatang’ baginya.

Datuk Seri Najib Razak mengingatkan stesen tv tempatan agar tidak ‘mencedok bulat-bulat’ program tv Barat. Katanya, pengeluar, pengusaha atau penerbit tempatan tidak sepatutnya didorong pertimbangan komersial semata-mata, sehingga mengetepikan etika serta moral masyarakat.

“Format program realiti tv seperti Mencari Cinta, Mentor dan Akademi Fantasia kadangkala adegannya agak melencong daripada kebiasaan dan adat resam budaya Timur”, kata Najib.

Ia dianggap pendirian rasmi pertama kerajaan berhubung rancangan hiburan realiti yang kini menjadi trend di kalangan stesen tv swasta. Kenyataan Najib itu bunyinya senada dengan pendirian Harussani. Bezanya, Najib terlewat setahun berbanding Harussani untuk mengutarakannya.

Pada 30 Julai tahun lalu, Harussani menggemparkan negara dengan pendiriannya tentang konsert Sure Heboh TV3. Bercakap mewakili Majlis Mufti-Mufti Malaysia, Harussani berkata konsert itu adalah haram kerana ia melalai dan menggalakkan maksiat. Justeru, mereka yang menganjur, menghadiri dan menonton konsert itu juga haram. Oleh itu majlis seperti itu hendaklah dihentikan.

Seperti diduga keputusan badan agama itu dihujani kritikan pelbagai pihak, terutama ‘orang-orang politik’. Menteri Penerangan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir antara yang paling awal memberi reaksi. Kenyataan Harussani itu, baginya, ‘menimbulkan banyak kekeliruan dan menyusahkan banyak pihak’.

Beliau sebaliknya berpendapat konsert itu patut digalakkan ‘kerana memberi sedikit keceriaan kepada rakyat’.

“Saya tidak nampak penganjuran konsert Sure Heboh TV3 ini salah, tidak ada salahnya mengadakan sedikit hiburan untuk keluarga selepas mereka penat bekerja,” kata Kadir.

Tiada suara pembesar negara yang menyanggahi pendirian Kadir itu. Konsert yang dirancangkan 1 Ogos 2004 itu diadakan dengan jayanya di Stadium Nasional Bukit Jalil, tanpa sedikit pun rasa ‘terganggu’ oleh pendapat para mufti tadi. Tambahan pula, Perdana Menteri seakan-akan mempersoalkan kredibiliti kenyataan Majlis Mufti itu. Katanya, biasanya kalau ada satu ‘fatwa’, mesti ada kertas yang memberi segala hujah-hujah.

Dalam kenyataan susulan pada 2 Ogos, Harussani menjelaskan sebarang karnival atau konsert yang jelas bertentangan dengan syarak seperti mengabaikan solat, pergaulan bebas lelaki dan wanita serta pendedahan aurat adalah haram, walau pun ia tidak difatwakan.

“Kita tidak perlu menunggu fatwa, apabila sesuatu itu jelas bertentangan dengan kehendak syarak, ia adalah haram sekali pun tidak difatwakan. Ini termasuklah budaya berhibur yang keterlaluan seperti yang dipaparkan melalui rancangan Akademi Fantasia, Audition, Malaysian Idol dan sebagainya yang jelas bertentangan dengan hukum syarak”, katanya.

Namun, pandangan itu seakan tidak didengari sesiapa. Siri konsert Sure Heboh TV3 yang dirancangkan di seluruh negara tetap diteruskan. Malah, saban hari iklan mengenainya kerap diulang tayang di kaca tv, semacam sengaja ‘mempersenda’ pandangan mufti tadi. Begitu juga program hiburan realiti tv yang disebut Harussani itu.

Setahun berlalu, bukan tidak ada pihak yang menyuarakan rasa terkilan terhadap ‘kedegilan’ stesen tv menganjur dan menyiarkan program hiburan ‘melampau’ sebegitu. Bagaimana pun, suara mereka hanya sayup-sayup kedengaran.

Pemain utama semestinya media massa. Media berkuasa menjadikan isu ini tajuk paparan atau meminggirkannya. Namun, setakat yang kita tahu sejarah campur tangan orang politik dalam menentukan kepimpinan media utama, media tidak akan sewenang-wenangnya memainkan sesuatu isu tanpa mendapat lampu hijau orang politik.

Isu program hiburan realiti tv ini pun begitu. Kejelekan dan kesan negatifnya sudah jenuh dibicarakan termasuk oleh para ulama, pemimpin masyarakat dan budayawan.

“Kenapa perlu menangis dan berpeluk-peluk di hadapan khalayak ramai? Ke mana hilangnya budaya orang Melayu yang selama ini terkenal dengan sifat pemalu? Ia bukan realiti. Tidak usahlah kita pupuk budaya macam itu”, kata Azah Aziz, tokoh budaya.

Azah Aziz mungkin sudah berpandangan sebegitu sejak sekian lama. Tetapi kenapa pandangan positifnya itu baru dapat dibaca 3 Ogos lalu? Sudah tentu kerana akhbar baru mendapat ‘keberanian’ untuk menyiarkan pandangan yang ‘kontra-popular’ itu.

‘Keberanian’ media itu datang hanya setelah ‘orang politik nombor dua’ bersuara. Barulah para penjuak politik bawahan masing-masing turut menyuarakan rasa jelek terhadap moral dan etika program-program hiburan itu.

Perkembangan itulah barangkali yang mendorong Harussani berkata, “saya cukup seronok, mudah-mudahan kenyataan TPM itu mendapat perhatian mereka semua. Kalau itu pun mereka tidak mahu dengar, tak tahulah apa nak jadi”.

Harussani hanyalah seorang mufti. Kenyataannya tidak dianggap arahan, boleh dipakai atau dipertikai. Bayangkan apa yang beliau boleh lakukan sekiranya dia juga ‘orang politik’ yang mengetuai kerajaan.

Sekurang-kurangnya, dalam isu di atas, terbukti pemikiran ‘orang politik’ terlewat setahun berbanding ‘orang agama’ untuk menegur program hiburan di hadapan mata mereka. Itulah, lebihnya jika ‘orang agama’ menjadi ketua politik.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 19 Ogos-1 September 2005 di kolum tetap ‘PERSPEKTIF’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment