Friday, August 5, 2005

Ayah Pin dan kampung ‘Melayu-Hindu’


Oleh: Mohd Nasir Awang
 
MAJLIS Fatwa Negeri Terengganu pada 1997 mengisytiharkan ajaran yang dipelopori Ariffin Mohamad di Besut adalah sesat mengikut Seksyen 25, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu 1986.

Ariffin, atau lebih dikenali Ayah Pin, memimpin sebuah perkampungan yang dinamakan “Kerajaan Langit”, bertempat di Kampung Batu 13, Hulu Besut. Beliau pernah mengisytiharkan secara terbuka meninggalkan Islam pada 1998. Begitu juga para pengikutnya. Bagaimana pun, beliau dan penganutnya seakan bebas mengamalkan ajaran itu tanpa sebarang tindakan dari pihak kerajaan buat beberapa lama.

Ayah Pin ditahan hanya selepas kerajaan Terengganu bertukar tangan, ekoran Pillihan Raya Umum 1999 lalu. Beliau dibicarakan atas dakwaan menghina Islam. Pada 27 Jun 2001, dia didapati bersalah oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut dan dihukum penjara 11 bulan serta denda RM2,900.

Empat pengikut Ayah Pin pula turut menuntut pengisytiharan mahkamah untuk meninggalkan Islam. Semuanya dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada 19 November 2000 setelah didapati bersalah mengingkari perintah Mahkamah Rendah Syariah supaya bertaubat kerana terlibat dengan ajaran sesat itu. Mereka menjalani hukuman penjara di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Selepas dibebaskan, mereka memfailkan kes ke Mahkamah Rayuan pada 2003 untuk mendapat deklarasi hak mutlak dan bebas menganuti serta mengamalkan agama pilihan mereka. Kes turut dipanjangkan ke Mahkamah Persekutuan apabila Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka itu.

Hingga Julai 2005, terdapat 120 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak tinggal di dalam 34 buah rumah kayu di perkampungan “Kerajaan Langit” itu. Manakala ratusan lagi “rakan seanutan” mereka dikatakan bertebaran di serata negara.

Beberapa binaan atau replika gergasi yang dibina di situ diakui Ayah Pin sendiri sebagai memiliki signifikan menurut ajaran Hindu. Antaranya sebuah teko yang dikaitkan dengan air suci yang memancut dari dahi Dewa Shiva. Manakala replika payung pula dikaitkan dengan sembilan planet di dalam ajaran Hindu.

Ayah Pin dan pengikutnya, sebagaimana dirakam VCD yang disebar meluas di seluruh negara, pernah melakukan beberapa ibadat mengikut agama Hindu di Batu Caves, Selangor. Manakala sekeping VCD lain memaparkan beliau diberikan sambutan sebagai “Maha Guru Bhagawan Tok Ayah” oleh masyarakat Hindu di kepulauan Bali, Indonesia. Hadirin bergilir mencium tangan, menyembah serta sujud dan mencium kaki Ayah Pin.

Penularan aktiviti kumpulan Ayah Pin dibawa ke pengetahuan umum hanya setelah kerajaan Terengganu merasa “serba-salah” ekoran beberapa tindakannya meroboh rumah rakyat dan sebuah masjid di negeri itu. Rakyat yang berang dan terhina dengan tindakan itu telah menempelak kerajaan negeri sebagai “double standard”.

Antara rasional mereka ialah, mengapa masjid diroboh, binaan di kampung ajaran sesat tidak disentuh? Sedangkan, jika di atas alasan pembinaan tanpa kebenaran dari pihak berkuasa, maka binaan-binaan di kampung tersebut juga telah lama diakui oleh pihak Pentadbir Tanah Daerah Besut sebagai “dibina tanpa kebenaran yang sah”.

Didorong keinginan “mengimbangi” kemarahan rakyat akibat perobohan masjid dan rumah mereka itulah barangkali, maka kerajaan negeri terpaksa bertindak ke atas perkampungan “Kerajaan Langit” itu. Operasi tangkapan pertama dilakukan pada Sabtu 2 Julai 2005. Seramai 21 pengikut kumpulan tersebut ditahan, termasuk seorang inspektor polis dan ahli kumpulan rock.

Operasi kedua pula dilangsungkan pada 20 Julai lalu. Seramai 58 orang lagi ditahan. Ayah Pin sendiri gagal dikesan.

Agak panjang lebar catatan ini menghuraikan kisah “Kerajaan Langit”. Tujuannya bukanlah untuk turut mensensasikan kumpulan ajaran sesat tersebut. Sebaliknya, untuk sama-sama mengajak rakyat negara ini, khususnya masyarakat Melayu-Islam, memperakui bahawa sudah wujud di negara kita ini sebuah perkampungan “Melayu-Hindu”.

Hakikat bahawa sudah ada orang Melayu yang menganut agama Hindu bukanlah cerita baru sebenarnya. Ia berlaku sejak beberapa lama. Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia bagi tahun 1980 boleh dijadikan bukti. Daripada 6.1 juta penduduk berbangsa Melayu di Semenanjung Malaysia 4,766 menganut agama Kristian.

Seramai 522 orang Melayu menganut agama Hindu, 746 menganut Buddha, 456 menganut ajaran Confusius, Tao dan lain-lain agama tradisi orang Cina. Manakala seramai 13,666 orang Melayu tidak menganut sebarang agama (atheis).

Sengaja kita memetik perangkaan 25 tahun lalu, sekaligus membuktikan bahawa fenomena orang Melayu tidak beragama Islam bukannya perkara baru.

Tulisan ini tidak bermaksud menafikan kebebasan penganut agama selain Islam untuk mempraktikkan agama masing-masing. Jauh sekali untuk mengapi-apikan persoalan agama yang sememangnya sangat sensitif dalam negara ini. Kita sebenarnya mahu membuktikan bahawa Melayu tidak semestinya beragama Islam semuanya, sebagaimana Islam itu juga tidak semestinya dianuti orang Melayu sahaja.

Ertinya, kita tidak boleh lagi berkata Islam dan Melayu adalah sinonim. Lantaran itu, slogan “Hidup Melayu, Hiduplah Islam!”, sudah tidak relevan dengan realiti kini.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 5-18 Ogos 2005 di kolum tetap ‘PERSPEKTIF’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment