Friday, August 5, 2005

‘Darurat’ di sisi Mashitah dan ayah pesakit jantung


Oleh: Anuwa Jamalullail

Kes 1: Demi kasih terhadap anak, seorang ayah terpaksa menjual rumah kos rendah bagi menampung perbelanjaan rawatan anak bongsunya yang menghidap sindrom Rubella, selain menghadapi masalah saluran darah ke bahagian jantung tersumbat.

Kes 2: Seorang warga emas, yang merompak RM200 dari seorang penolong pengurus syarikat pengangkutan menggunakan revolver dengan alasan membiayai pengajian anaknya, dihukum penjara sepanjang hayat oleh Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, 16 Jun lalu.

Kes 3: Seorang Setiausaha Parlimen mengatakan bahawa melacur atau menjual diri dimaafkan jika terdesak dan darurat, termasuk demi memberi makan dan membesarkan anaknya.

Ketiga-tiga kes yang dinyatakan di atas benar-benar berlaku di negara kita. Semuanya berkisar persoalan “darurat dari segi kewangan”. Kes 1 berlaku di Pulau Pinang. Johari Omar, 41, menjaul rumah kos rendah miliknya di Teluk Kumbar, Georgetown dengan harga RM25,000 sebagai jalan terakhir bagi membiayai kos rawatan anaknya.

Anaknya, Siti Nazirah Johari, 4, yang sehingga kini tidak boleh bercakap turut menghadapi komplikasi jantung akibat Rubella dan dijangka menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 26 Oktober ini.

Johari berkata, kesukaran menyediakan kos rawatan berjumlah RM20,000 menyebabkan dia mengambil keputusan menjual rumah kos rendah yang dibelinya empat tahun lalu.

Kes 2 juga memaparkan tindakan nekad akibat desakan hidup. Loo Moy Shan @ Loo Mooi Heong, 63, didakwa melakukan rompakan bersenjata di lampu isyarat persimpangan Jalan Hang Kasturi/ Jalan Leboh Pasar Besar, Dang Wangi, Kuala Lumpur pada jam 12 tengah hari, 23 Mac 2001. Dia didakwa menunjukkan sepucuk revolver .38 Smith & Wesson kepada Yeow Lan Song, 60.

Dalam keterangannya, Loo berkata dia melakukan kesalahan itu kerana hendak mencari wang bagi membiayai pengajian anaknya. Loo mempunyai empat orang anak di samping menjaga ibunya yang berusia 85 tahun.

Bekas pemandu bas, Loo menjadi mangsa kemelesetan ekonomi apabila syarikat bas ekspress di Ipoh memberhentikannya pada tahun 1998 lalu. Beliau kemudiannya gagal mendapatkan sebarang pekerjaan lain.

Kes 3 dicetus oleh Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim. Melalui kolumnya di Harian Metro, 21 Jun lalu, beliau memberikan respons kepada satu soalan mengenai wanita  (terutama ibu tunggal) yang terpaksa menjual diri untuk membesarkan anak.

Jawabnya, “mengikut istilah yang dipakai di sini, iaitu “terpaksa” membayangkan wanita berkenaan terdesak melakukan perbuatan terlarang dan bukan dengan kehendak hatinya. Dia terdesak berbuat demikian demi menyelamatkan anak dan memberi makan.”

“Perkara dilakukan dalam suasana darurat terlepas dari hukuman biasa. Dalam keadaan biasa, memang melacur itu haram. Tetapi jika terdesak dan darurat, ia dimaafkan.”

Kenyataan seorang pemuka negara yang kebetulan pula memiliki imej ilmuan agama itu mengundang reaksi pelbagai pihak. Keseluruhan pandangan itu mempertikai kewajaran Dr Mashitah yang begitu mudah “menghalalkan” perbuatan melacur, yang pada hakikatnya adalah zina.

Beberapa reaksi yang menyanggah “fatwa” Dr Mashitah itu menjurus kepada penghuraian darurat menurut Islam. Pandangan beberapa ulama terkenal seperti Imam Abu Bakar Al-Jasas, Imam Abu Zuhrah dan Al-Bazdawi menyimpulkan bahawa darurat itu ialah satu keadaan ditakuti atau dikhuatiri akan berlaku kemusnahan ke atas nyawa atau beberapa bahagian anggota badan ataupun maslahat dharurinya (agama, nyawa, harta, akal, maruah) terancam apabila tidak memakan makanan yang haram.

Dalam kata lain, darurat menurut Islam hanya dihubungkait dengan soal mengambil makanan yang haram. Ia tiada kaitan langsung dengan soal menjual diri atau melacur.

Kedudukan “darurat” di sisi undang-undang sekular yang diterimapakai dalam negara kita pula dapat dinilai berdasarkan Kes 2. Jelas sekali prinsip sekular yang dipelopori Niccolo Machiavelli yang menyebut “matlamat menghalalkan cara” tidak diterima pakai di sini. Sebab itu hakim bicara kes berkenaan tidak memaafkan tindakan tertuduh yang mendakwa dirinya terdesak dan terpaksa melakukan rompakan itu.

Masih banyak lagi jalan lain yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah dan mencari jalan keluar dari “darurat kewangan” ini, lebih-lebih lagi disokong dengan statistik peluang pekerjaan yang diuar-uarkan oleh para pemimpin negara.

Tambahan pula, masih terdapat badan-badan kebajikan kerajaan mahupun swasta dan masih ramai warganegara ini yang berjiwa pemurah dan dermawan yang suka membantu orang yang dalam kesusahan.

Tindakan Johari (Kes 1) adalah satu contoh penyelesaian yang bijak. Ia bukan sahaja bermaruah dan menepati syarak, malah mengundang simpati anggota masyarakat yang membaca kisahnnya.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 5-18 Ogos 2005 di ruangan ‘KOMENTAR’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment