Saturday, July 13, 2013

Kelebihan memihak calon PAS di Kuala Besut

Bukan sekadar faktor ‘anak jati’

Oleh: MOHD NASIR AWANG

Tidak ada rekod jelas berhubung keterlibatan aktif Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman di dalam politik Umno/Barisan Nasional (BN) di Besut, lebih-lebih lagi di Kuala Besut. Tidak kedengaran juga bual bicara masyarakat setempat mengenai “gelomok” nya beliau dengan orang-orang kampung, termasuk sepanjang tempoh menjawat Jurutera di Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) Daerah Besut sejak lima tahun lalu.

Satu-satunya faktor ditonjolkan BN dalam menjustifikasi pemilihan Tengku Zaihan sebagai calon terbaik parti itu berdepan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, 24 Julai nanti ialah kerana beliau anak jati Dun tersebut. Tengku Zaihan anak kelahiran Kampung Nail, kira-kira satu kilometer dari pekan Kuala Besut dan muara Sungai Besut.

PAS juga mengambil serius desakan dan pengesyoran pelbagai pihak yang cenderung mengharapkan parti itu mengemukakan seorang anak jati Kuala Besut sebagai calonnya. Maka di atas perkiraan itu PAS memilih Haji Azlan @ Endut Yusof sebagai calonnya. Ahli perniagaan dan kontraktor berusia 48 tahun itu anak kelahiran Kampung Baru, salah sebuah lokaliti di dalam Dun Kuala Besut.

Ertinya kedua-dua pihak mengemukakan calon yang menepati kriteria paling diperbahaskan umum itu. Namun ternyata faktor anak jati Kuala Besut bukan satu-satunya jaminan memberi kelebihan kepada mana-mana pihak antara kedua mereka. Penelitian terhadap beberapa aspek lain menyerlahkan betapa calon pilihan PAS, yang lebih dikenali dengan nama ‘Che Long’ setakat ini mempunyai kelebihan agak ketara berbanding calon diisytiharkan BN itu.

Pertama, apa yang lebih memihak kepada Che Long dalam perbandingan ini ialah kebersamaan beliau dengan penduduk setempat pada sebahagian besar tempoh hidupnya. Dari zaman persekolahan, zaman pekerjaannya, hingga ke zaman berpolitiknya, ketiga-tiga tempoh perkembangan hidupnya itu secara jujur dilihat menzahirkan kelebihan di pihak Che Long berbanding Tengku Zaihan.

Calon PAS itu bersekolah di Kuala Besut. Maka seramai mana kawan, guru dan kenalan diperolehinya sepanjang persekolahan itu sudah tentu ramai dari kalangan penduduk Kuala Besut. Sedangkan Tengku Zaihan menghabiskan zaman persekolahan dan pengajiannya di perantauan. Beliau bersekolah menengah di Dungun, sebelum melanjutkan pula pengajian ke peringkat universiti di Pulau Pinang. Sekerap mana pun dia pulang sebelum ini (kalau pun dia kerap pulang bercuti sepanjang tempoh pengajian itu), sudah tentu tidak sama dengan seorang lain (Che Long) yang ‘bertumah’ di kampung sepanjang masa itu.

Apabila memasuki alam pekerjaan pula, kelebihan sekali lagi memihak kepada Che Long. Nama beliau mula menjadi sebutan masyarakat sebagai peniaga stor kayu yang “mudoh bbaso, senae kkiro”. Ertinya, beliau suka mempermudahkan segala urusan jual-beli, tidak terlalu ‘pegang harga’ dan pemurah.

Sifat pekerjaannya itu juga menjadikannya berinteraksi dengan masyarakat setiap hari. Para pekerjanya adalah penduduk tempatan, pelanggan yang berurusan dengannya pula kebanyakannya dari kampung-kampung sekitar Kuala Besut juga. Cara interaksi antara mereka itu tentu sekali berbeza dengan seorang pegawai kerajaan (calon BN), yang hanya akan turun menemui masyarakat atas tugasan rasmi, di dalam menyelesaikan kes-kes tertentu sahaja.

Kedua, perbezaan amat ketara juga ialah dalam sumbangan bakti kedua-dua mereka kepada masyarakat. Sifat dermawan Che Long kepada masyarakat Besut, terutama di Kuala Besut sendiri telah diketahui umum sejak sekian lama. Kekayaan anugerah Ilahi kepadanya menerusi usaha niaganya yang berjaya ternyata tidak dihabiskannya untuk diri dan keluarganya semata-mata.

Hampir tidak ada program besar parti yang tidak menerima sumbangan bermakna daripada Che Long. Saya teringat dalam satu mesyuarat AJK PAS Kawasan Besut, ketika mana saya masih berada di dalam hierarki parti di situ, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan, Puan Napisah Ismail, membentangkan program-program yang mahu dilaksanakan sayap parti itu. Beliau lantas memohon peruntukan daripada PAS Kawasan, dan secara spesifik meminta sumbangan peribadi daripada dermawan-dermawan, terutamanya Che Long.

Hamba Allah ini yang turut berada di dalam mesyuarat tersebut selaku Bendahari PAS Kawasan Besut tanpa teragak terus bertanya, “agak-agak berapa (RM) yang Muslimat perlukan?” Saya dimaklumkan kemudiannya, jumlah disumbangkan Che Long kepada Muslimat sangat besar, sekira-kira tidak perlu Dewan itu meminta sumbangan kewangan daripada pihak lain bagi menjayakan program tersebut. Setakat saya tahu, sumbangan itu dari poket peribadi Che Long, bukan dari akaun PAS Kawasan.

Jumlah masjid dan surau/musolla yang mendapat sumbangan pembinaan daripada poket Che Long juga sangat banyak. Seorang sahabat baik saya yang juga seorang guru selaku penggerak sebuah surau di Kampung Keluang (Dun Kota Putera) pernah memberitahu saya bahawa kebuntuannya mencari sumber kewangan menyiapkan surau yang baru dibina di qaryahnya beberapa tahun lalu akhirnya terlerai selepas perbualan ringkas dengan Che Long. Hanya dengan satu panggilan telefon, dia mendapat peruntukan “perkakas atas”, yakni atap dan segala struktur kekuda yang menampungnya.

Begitu juga dengan jumlah rumah kediaman golongan tidak bernasib baik yang diberikan bantuan berbagai alatan pembinaan. Dalam setiap kejadian bencana yang menimpa masyarakat di Besut, apabila perjalanan bantuan diambil menerusi saluran parti, pasti akan ada sumbangan peribadi daripada kontraktor berjaya ini. Paling tidak pun, jika parti menjanjikan pembiayaannya, Che Long tidak teragak mendahulukan perbelanjaan peribadinya untuk penyelesaian segera permasalahan rakyat.

Pendekata, jiwa menabur bakti dan tidak “kupid” menjadikan beliau sangat sesuai dijadikan tempat mengadu hal oleh masyarakat, terutama khalayak yang tidak bernasib baik. Tidak sia-sia Alah Ta’ala berterusan menganugerahkan rezeki kepadanya. Lebih tidak sia-sia Allah mengilhamkan kepada para pemimpin PAS untuk memilih insan mulia ini sebagai sandaran menakluki hati-hati para pengundi di Dun Kuala Besut, 24 Julai nanti.

Ertinya, kelebihan di pihak Che Long bukan sekadar faktor beliau anak jati Dun Kuala Besut. Beliau anak jati yang dekat dan berdampingan dengan permasalahan masyarakat. Semoga Allah membantu perjuangan ini dengan tampilnya seorang tokoh yang benar-benar “mudoh bbaso, senae kkiro” ini!

(Artikel ini adalah versi asal (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil. 1861, 6-9 Ramadhan 1434/15-18 Julai 2013 di ruangan 'F4 FOKUS PRK KUALA BESUT' dengan tajuk 'Che Long 'mudoh bbaso, senae kkiro')

PRK di bulan puasa – SPR sengaja sulitkan PAS?


Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

SEMAKIN sukar untuk dinafikan bahawa setiap keputusan dan tindak-tanduk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cenderung mengambilkira kepentingan Barisan Nasional (BN) selaku kerajaan. Pemilihan hari dan tarikh bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, Terengganu, sepertimana diumumkannya 5 Julai lalu, seakan mengukuhkan persepsi selama ini bahawa suruhanjaya itu sebenarnya berhasrat memberi keuntungan politik kepada parti pemerintah itu.

SPR telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK tersebut ialah pada Jumaat, 12 Julai. Manakala hari pembuangan undi ialah pada 24 Julai nanti. Penetapan itu mengundang rasa tidak senang khalayak umum, terutamanya para pendukung pakatan pembangkang. Bukan semata-mata mahu membangkang apa jua yang dibuat pihak kerajaan, tetapi hujah dan pertikaian mereka agak munasabah. Ia bukan kerana angka-angka pada tarikh tersebut, tetapi lebih kerana tempoh itu jatuh di bulan Ramadhan al-Mubarak.

Ramadhan adalah bulan bagi umat Islam menunaikan ibadat puasa. Sinonim dengan bulan penuh keberkatan itu juga umat Islam akan menyemarakkan kehadirannya dengan pelbagai ibadat lain, di sebelah siang mahu pun malamnya. Jadual umat Islam sepanjang Ramadhan selalunya sangat padat dengan ibadat-ibadat khusus, seperti bertadarus al-Quran, berzikir, beristighfar, bertarawih, qiyamullail dan seumpamanya.

Fokus ibadat itu tidak sepatutnya dialihkan kepada aktiviti politik. Namun, dalam kes di Kuala Besut ini, keadaan itu sudah tidak dapat dielakkan. Kesengajaan SPR memilih tarikh-tarikh tersebut untuk PRK ini agak mendukacitakan. Seolah-olah sudah tidak ada tarikh lain lebih sesuai dalam kalendar tahunan badan tersebut. Seolah-olah juga SPR tidak mengambilkira kepentingan memanfaatkan bulan Ramadhan untuk ibadat-ibadat khusus tadi.

Sedangkan, berdasarkan tarikh kematian bekas Adun Kuala Besut, Dr. A. Rahman Mokhtar dan tarikh pewartaan kekosongan kerusi Dun berkenaan oleh SPR sendiri, badan itu ada masa sehingga akhir Ogos untuk menyelesaikan proses mengisi kekosongan tersebut.

Sebab itu banyak pihak sebelum ini menjangkakan PRK Kuala Besut akan diadakan sejurus selepas umat Islam menyambut Idul Fitri, yang dijangka jatuh pada 8 & 9 Ogos nanti. SPR ada hampir tiga minggu untuk adakan pilihan raya selepas itu. Justeru, mengapa dipilih bulan puasa?

Lebih dipersoalkan ialah penetapan hari penamaan calon dan pembuangan undi, masing-masing pada Jumaat dan Rabu. Dalam konteks Kuala Besut (Terengganu), Jumaat adalah hari cuti mingguan. Menjadi tradisi masyarakat di sana untuk tidak mengisi hari itu dengan program besar, melainkan program-program yang menjuruskan kepada persediaan menghayati hari Jumaat sebagai penghulu segala hari. Justeru, mengapa SPR pilih hari Jumaat?

Hari Rabu pula merupakan hari bekerja, sama ada untuk penjawat di sektor awam mahu pun swasta. Sedangkan pada kebiasaannya proses pembuangan undi diadakan pada hari cuti umum atau cuti mingguan. Ia bukan sahaja akan melibatkan penutupan beberapa sekolah yang bakal dijadikan pusat pembuangan undi, malah turut membabitkan proses pelepasan kerja sebahagian pengundi daripada majikan masing-masing.

Tidak syak lagi kesengajaan SPR memilih tarikh-tarikh tersebut mengundang penilaian negatif, khususnya daripada pihak pembangkang yang dirasakan bakal menerima beberapa kesulitan dalam menjayakan kempen mereka.

Pertama, nadi utama kempen PAS ialah ceramah, sama ada umum atau kelompok. Masa diadakan ceramah selalunya di waktu malam. Dalam keadaan umat Islam memfokuskan ibadat-ibadat khusus, pelaksanaan kempen melalui ceramah agak sukar dioptimumkan keberkesanannya.

Gambaran awal telah pun dapat dilihat pada malam perisytiharan calon pada 9 Julai lalu. Ia merupakan malam pertama umat Islam menunaikan solat tarawih, apabila keesokannya akan bermula ibadat puasa. Majlis tersebut hanya dapat dimulakan selepas jam 10 malam. Itu pun agak awal, kerana kehadiran amat memuaskan.

Tarikan utama majlis itu ialah keghairahan setiap hadirin mengetahui siapa calon yang bakal mewakili PAS dan Pakatan Rakyat menentang BN. Dapat dibayangkan nanti untuk ceramah biasa, apabila keghairahan hadirin tidak lagi sama seperti malam itu. Justeru, PAS perlu bersedia menerima hakikat sambutan untuk ceramah-ceramah kempennya kemungkinan di tahap kurang memuaskan.

Sedangkan di pihak BN, ia tidak memerlukan penganjuran majlis ceramah untuk memaut sokongan pengundi kepada parti itu. Bn malah tidak pernah pun menjadikan pentas ceramah sebagai nadi utama kempennya. Sebaliknya, ia tidak pernah rasa bersalah memanipulasi kuasanya sebagai kerajaan memaksa seluruh jabatan dan agensi di bawahnya mengadakan pelbagai program, siang atau malam. Para pengundi dilibatkan dan dipaut hadir ke majlis kempen BN dengan berbagai umpan - pemberian bantuan, sumbangan dan segala macam taburan kebendaan.

Kedua, pengundi luar yang sudah semakin tidak dipercayai BN mungkin tidak sempat pulang menunaikan tanggungjawab mereka. Pengalamannya dalam dua pilihan raya umum terkemudian (2008 dan 2013) menyebabkan BN dikatakan’serik’ membiayai kepulangan pengundi luar. Kebanyakan mereka, di usia muda dan tinggal/bekerja di bandar-bandar besar seluruh negara, tidak lagi cenderung memilih BN. Kehidupan di bandar mendedahkan mereka kepada maklumat tentang apa jua perkembangan dari sumber yang pelbagai. Ia sekaligus membentuk kesedaran politik lebih terbuka. Lalu, mereka pulang dengan biaya BN tetapi tidak memangkah calon-calon BN.

Pemilihan tarikh mengundi dalam tempoh dua minggu sebelum hari raya bagaimana pun dijangka menyulitkan kepulangan mereka untuk menunaikan tanggungjawab demokrasi itu. Mereka dilanda dilema, terutama kalangan yang berpendapatan tidak seberapa, untuk memilih antara pulang untuk pilihan raya atau hari raya. Sedangkan untuk pulang dua kali dalam satu bulan adalah satu yang hampir mustahil bagi kebanyakan anak muda ini. Maka, tidak pulangnya mereka ini, yang dikatakan akan terkesan lebih teruk ialah PAS berbanding BN.

Ketiga, kehadiran jentera pembantu dari negeri-negeri lain di seluruh negara, begitu juga kawasan-kawasan lain dari seluruh Terengganu juga dijangka tidak semaksima mungkin. Bahkan, sudah kedengaran ada negeri yang sebelum ini berura-ura akan turun dengan sekian ramai petugas, sudah mengkaji semula jumlah petugas yang akan dihantar ke Kuala Besut, mengambilkira faktor bulan puasa. Dikatakan ramai petugas yang pada awalnya menyatakan kesediaan untuk turun berkempen, kemudiannya menarik diri apabila tarikh PRK diumumkan.

Tiga implikasi besar itu jelas sekali menjadi cabaran buat PAS, tidak buat BN. Kesulitan yang timbul itu seolah-olah sengaja dirancang untuk ‘membantutkan’ kelancaran gerakerja kempen parti yang nyaris merampas semula Terengganu itu.

(Artikel ini adalah versi asal (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil. 1861, 6-9 Ramadhan 1434/15-18 Julai 2013 di ruangan 'F22 KOLUMNIS' dengan tajuk serupa)

Kontraktor pemurah jadi calon PAS


Oleh: MOHD NASIR AWANG

MAJLIS perisytiharan calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, 9 Julai lalu bermula agak lewat. Memandangkan malam itu permulaan umat Islam menunaikan solat tarawih bagi menyambut kehadiran Ramadhan, arus kehadiran pendengar ke tapak majlis itu agak lembab.

Jam sudah menghampiri pukul 10 malam. Suasana di hadapan pentas utama masih lengang. Sudah kelihatan di pentas ketika itu ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Pengarah PRK Kuala Besut, Dato’ Husam Musa, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan sebilangan pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat peringkat negeri dan kawasan Besut.

Hanya selepas melangkaui jam 10 malam, baru kedengaran pembesar suara dari pentas. Mempengerusikan majlis ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad. Beliau adalah salah seorang yang disebut-sebut memasuki senarai pendek untuk dipilih sebagai calon PAS.

“Sah lah Ustaz Wan Azhar bukan calon. Mana mungkin calon jadi pengerusi majlis isytihar calon?”, simpul hati saya.

Kehadiran pendengar meningkat mendadak sejurus majlis dimulakan. Dalam masa tidak sampai setengah jam kemudian, hampir seluruh ruang dataran ceramah itu dipenuhi orang. Ketika itulah rombongan Tuan Guru Presiden dan Dato’ Setiausaha Agung PAS tiba.

Aturduduk hadirin malah semakin padat menjelang jam 11 malam. Yang hadir bukan sahaja dari kalangan pendukung PAS/Pakatan Rakyat di Besut. Antara mereka ada kenalan-kenalan saya dari Setiu, Kuala Terengganu, Pasir Puteh dan Bachok.

Saya kira dorongan utama kehadiran setiap orang malam itu ialah untuk memuktamadkan teka-teki siapakah bakal dipilih menjadi calon PAS. Sudah dua minggu teka-teki itu bermain di bibir anggota masyarakat setempat, khususnya para pendukung PAS.

Nama-nama seperti Haji Ya (seorang tauke ikan di situ), Ustaz Ridhuan Mohd Nor (bekas calon PAS bagi Parlimen Besut) dan Puan Napisah Ismail (bekas calon Dun Kuala Besut) antara yang laris disebut orang.

Namun, senarai ‘paling pendek’ dikatakan melibatkan Ustaz Wan Azhar, Ustaz Nik Zawawi Salleh (bekas Adun Kuala Besut 1999-2004) dan Azlan @ Endut Yusof (Bendahari PAS Kawasan Besut).

Kesemua mereka ada keistimewaan, kewibawaan dan pengaruh tersendiri. Mereka juga sosok-sosok yang sudah sedia dikenali masyarakat setempat. Hakikat itu menyulitkan lagi teka-teki yang diperkatakan itu.

Tepat jam 11.50 minit malam, segala teka-teki itu terjawab. Tuan Guru Presiden mengumumkan orang yang dipilih PAS ialah Azlan @ Endut Yusof, atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Che Long’. Beliau adalah anak jati Kuala Besut, seorang kontraktor berjaya dan dikenali dengan sifat pemurah, suka membantu orang dan mudah didekati.

Pengumuman itu disambut laungan takbir bersahut-sahutan dari para hadirin.

(Artikle ini disiarkan akhbar Harakah Bil. 1861, 6-9 Ramadhan 1434/15-18 Julai 2013 di halaman 24 sisipan FIKRAH dengan tajuk 'Kontraktor pemurah, Che Long jadi calon PAS')

Thursday, July 11, 2013

MAAF MEK, AYOH... Oghe malu nok pakoh Barisae!

(pemuisian dilema jiwa pengundi Kuala Besut)

nukilan: NUWA AITAWA

(i. Anak Lelaki)
Mek... Ayoh...
Oghe nok mitok maaf bbanyok
Terik ni oghe toksir doh pakoh Barisae,
Bukae toksir sokong parti Mek-Ayoh,
bukae toksir pakai nasihat Mek-Ayoh...

Oghe malu bedo’oh ko saing-saing,
Saing-saing hak duk di bandar-bandar nuh..
– Hok duk KL, Kuantan, Pulau Pinang, Shah Alam, Johor Bahru..
Nak-nak kali kelik, betemung jah... semua duk royak
pakat toksir belako doh... toksir doh ko Barisae!

Demo tu wat nganjing nah pulok ko oghe...
“bakpo gak mung soghe nih... duk pakoh ko Barisae lagi...???
kemah-mening dak ddegih nah nih???
Oghe pakat toksir blako doh ko dacing!
Mung ni telae “beh” gamok nyo???”

Bukae setakat tu Mek, Ayoh...
Saing-saing kato oghe ni ketinggalae zamae, ttingal keretapi dah..
Napok do’oh, walau duk d’bandar, oghe tak ikut perkembangae,
Tak maju pemikirae suppo saing-saing laeng...

“Acu gak mu tilik kelih!!
Mana ada lagi bandar besar hak buleh ko Barisae nyo?? Mano??
Dari 13 negeri, tolok Johor ngae Perlis jah,
semua ibu negeri buleh ko Pakatan Rakyat belako doh!
Kota Bharu PAS, Kuala Teganung PAS, Kuotae Keadilan..
KL, Pulau Pinang, Seremban, Melaka.. nya tang ko DAP
Pah ko Kuching Sarawok, Kota Kinabalu Sabah pong Barisae kaloh belako doh!”

“Dalae negeri kito sdiri... Teganung, tengok laa...
Tolok Besut, Setiu, semua bandar ibu dekroh laeng
Toksir belako doh ko Barisae...
Cukai Kemamae, Sura Dungun, Rhu Rendae Marae, Bandar Kuala Teganung sediri..
Buleh ko PAS belako doh!!!
Puok-puok duk d’hulu jah, hak duk jauh dari bandar jah duk sokong lagi Barisae nih!!!
Suppo mung laaa....!!!”

Aduhhh... bilo saing-saing duk palu ggitu semmo..
Oghe pun naik bera lah jugok muko nih...
Oghe malu Mek... Ayoh...
Pulok tu oghe tilik kelih, memae jolor sengoti hak saing-saing duk royak tu...
Oghe kawasan bandar, semua pakat nok ko PAS, nok ko Pakatan Rakyat belako doh..

Tinggal hak d’hulu-hulu jah duk sokong Barisae lagi...
Kohor hulu, kohor kuat Barisae...
Tu ya oghe malu sangat tuh Mek... Ayoh,
Oghe beraso suppo “daghak” bedo’oh duk sokong lagi ko Barisae nih...

(ii. Anak Perempuan)
Kito pung ggitu jugok Ma... Abah
Kito terik ni nok ko Bulae la pulok,
Selamo kening duk pakoh Barissaaaeee sokmo-sokmo...
Berpuluh tahun dah Barisae sokmo jjadi tok wokil kawasae kito nih,
Negeri Terengganu pun Barisae la jadi khajoae sokmo-sokmo
Kuala Besut kito ni kkalae kuat Barisae... yak bejamae ghetu lagi!
Tapi ggapo gak hok ado? Ggapo gak hak rakyat buleh?

Takkan Ma... Abah tak ingat dah...
Molek-molek kompleks ikan duk alik sini...
Khajoe nya gi alih buat hak baru seberae alik nun!
Alik nun tuh Seberae Kastae doh... Dun Kota Putero doh tuu...
Dun oghe laeng doh tu... Bukae Kuala Besut doh tuu...

Patut-patut gak... Doh mugo Barisae sokmo-sokmo jadi tok wokil,
Barisae sokmo-sokmo jadi khajoae.. maju benar dah tepat kito nih.
Tapi gak... ggapo sangat ado ssining???
Nok nyohor ado stesen bas, stesen teksi?
Kat oghe lain pun ado belako, comel lagi pada tepak kito benahhh!!!

Biar gak ada peluae khijo ko anok-anok mudo suppo kito nih!!
Kalu sengoti maju, sengoti ado peluae khijo tepat kito,
Nnamo khijoae anok Ma... anok Abah ni gi bederap pah ko Johor, pah KL cari khijo nyo???

Soh ko begapo Ma... Abah...
Tengok jeti pelancongae di ssungai tu sudoh laa...
Tepat oghe lain pun ado jeti suppo kito jugok... tapi cukup lekap dengae macae-macae..
Ado kedai, di jeti tu sediri, ado talipon, ado restoreng, ado mesin wat tubik pitih...
Sapo-sapo hak nak naik bot pelancong dak payah susah-susah gi atah beris nuh,
cari mesin wat tubik pitih...

Lamo doh awok-awok di kkalan bot nambang nih duk ssungut bab ni...
Barisae dengar, tapi dak ambil cakna pun...
Bakpo Ma... Abah?? Sebab orang kuat dio kato, “kalu kito dak layan puok-puok ni pun, taing pilihae rayo, demo pakoh Barisae semacae”.

Sabak tu kito raso malu ko diri, Ma.... Abah...
Malu... beraso suppo nyo tipu hidup-hidup ko Barisae!
Terik ni kito nok try wi tok wokil ko PAS la pulok sekali,
mana tahu dio buleh asoho wi ado kemudahae hok rakyat duk mitok tu...

(iii. Rakan Warga Tua)
Senoh, Dolloh... Lijoh, Deramae...
Aku ning saeng lamo mung... lamo benar doh kita besaing nih.
Aku nok royak nyo, jolor sengoti hak anak-anak mung duk royak tu...
Mung jangae duk begaduh maroh kak ku...
Mugo hak budok-budok tu sebut tu
memae barre sebenar berlaku atas tepat kito nih...

Eh... budok-budok ni.. Noh, Joh... dio tak suppo kito mulo doh...
Betul laa mung buleh kato mung makae garae lebih dulu pada demo nih...
Tapi mung pun tahu anok-anok mung sediri ni ngaji lebih tinggi pada mung...
Anok-anok mung berjalan lebih jauh pada mung,
bersaeng-rodong lebih ramai pada mung...

Anok-anok mung, suppo anok-anok aku jugok,
demo ni lebih cerdik pada kito... Mae, Loh...
Demo ni buleh tilik kelih, buleh nilai mana baik, mana tak comel...

Pah pulok tu.... Aku pun duk tengok kito ni beranjak tak kena arah,
Tepat kito ni, Kuala Besut kito ni memae kohor ssohor,
Tapi ssohor dalam bab tak kena gaya...

Tak patut mung tak ingat...
Tepat kito ni, yak di’jamae kito kecik lagi besohor doh...
Kuala Besut kito ni asalnya kawasae oghe nutut ilmu,
Ado pondok, ado tepat ngaji ugamo, ado ulama ssohor tepat kito ni...
Ramai anok murid dio, pakat mari dari serata dekrah, serata negeri...

Arwah Tok Guru Ayoh Mat... ssohor namo tu,
ado pondok dio kat Ssejid Kuala Besut.
Lo ni, pah mmano ssemo tuh???
Bukae setakat pondok takdok bako...
Suasano ilmu agamo tu pong payoh nok juppo..

Patut-patutnya kito kohor sari kohor lah ke depae kohor lah kecomel...
Tapi hak jjadinyo, kohor ssohor, kohor naik malu muko kito-kito hok tuo-tuo nih...

Takkan mung tak rajin kelih dalae suratkobar,
Kuala Besut dianggap kawasae itae...
dalam bab ramainya penagih dadah,
Dalam bab ramainya pengidap HIV/AIDS,
Kereknya berlaku kejadian jenayah hak besar-besar..
Berlakunya pesta minum arak....

Alo la wey.... Ssohor memae ssohor laa...
seluruh negara baca cerita suratkobar, tengok berita tv,
dengar laporae radio sebut... “Kuala Besut.... Kuala Besut....”

Dolloh, Deramae, Senoh, Lijoh...
Kito ni kohor sari kohor alah kotuo...
Esok karae nak masuk kubur dah...
Aku tak tahu lah mung balah mana...
Tapi aku soghe duk rasa padae dah duk pakoh Barisae selamo kening...

Aku pong toksir doh subahat rosoknya akhlak masyarakat,
Hilangnya ilmu agamo, nyo ganti dengae macae-macae benda hak tak molek
Henggo kae aku sediri mari besero malu nak ngaku aku oghe Kuala Besut...

Walhasilnya...
Kito keno ppakat tukar selero, alih raso laa etek...
Senoh, Dolloh.... Lijoh, Deramae.... Kito wi peluae ko PAS la deh sekali ning...
Mugo mulo jamae dio jjadi khajoe kito buleh kelih dah...
Masjid-surau hidup molek, oghe ppakat nak ko ugamo,
Kito hak penaik dio jjadi khajoe pun BULEH TIDUR JENERA...


Kampung Air Tawar, Besut,
2 Ramadhan 1434.

(Puisi ini dideklamasi tiga suara untuk dokumentasi audio-visual khas sempena PRK Kuala Besut, Terengganu, http://www.youtube.com/watch?v=DP6ukdxv1XI&feature=player_detailpage)