Thursday, January 30, 2014

Ustaz Harun yang ku kenali


Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

(Bahagian Pertama)

“KITA kehilangan seorang pemimpin, yang bukan saja seorang ulama dan tok guru yang memiliki ribuan anak didik, bahkan seorang pemimpin politik yang sangat digeruni disebabkan ucapan dan hujahnya yang sukar dipatahkan, tetapi sangat berbisa mematahkan hujah lawan”, demikian kata Haji Zabidi Abdul Halim, seorang peguam muda berpejabat di Kuala Terengganu.

Pemimpin yang dimaksudkannya itu ialah Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ustaz Haji Harun Taib. Tokoh yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Manir selama enam penggal itu telah kembali ke rahmatullah pada awal pagi 23 Rabiul Awal 1435 bersamaan 25 Januari 2014, akibat komplikasi kencing manis yang dihidapinya sejak sekian lama.

Biar pun umum sudah mengetahui betapa keadaan kesihatannya tidak pernah pulih sepenuhnya, terutama sejak diserang angin ahmar beberapa tahun lalu, kematiannya pada Sabtu lalu tetap mengejutkan. Ini kerana dalam keterbatasan pergerakan fizikal dialaminya, almarhum tidak pernah “menguzurkan diri” daripada menyertai mana-mana program anjuran parti. Selagi terdaya, biar pun bertongkat atau berkerusi roda, beliau akan tetap menggagahkan diri mengambil bahagian.

Bahkan, kalau tidak salah pengamatan penulis, hanya seminggu sebelum berita kematiannya itu, foto beliau bersama sekumpulan pemuda yang datang berusrah bersamanya tersiar di laman sosial facebook. Ertinya, dalam keadaan sebegitu lemah dan uzur sekali pun, almarhum masih bersedia melayani hasrat anak-anak muda yang dahagakan tarbiyah dan tunjuk ajar beliau.

Itulah salah satu sifat yang ada pada diri Ustaz Harun yang penulis kenali. Bahawa “tidak ada istilah rehat atau bersara dalam perjuangan” merupakan antara prinsip yang dipegang kemas olehnya hingga ke akhir hayat. Justeru, biar pun disahkan berkeuzuran dari segi fizikalnya, almarhum tetap juga tidak mahu ketinggalan menjayakan apa-apa aktiviti, terutama dianjurkan parti.

Beliau sangat “degil” dan tidak mudah mengalah, bukan sahaja terhadap serangan dan asakan pihak lain, malah juga terhadap kepayahan yang menimpa dirinya.

Sifat itu dipercayai menjadi penyebab utama mengapa almarhum selalunya kelihatan begitu berkeyakinan di dalam mengemukakan hujahnya, sama ada untuk memperjelaskan sesuatu pertikaian mahu pun di dalam mematahkan hujah pihak lain.

Sebagai pemimpin di saf utama kepimpinan parti, beliau juga tidak mudah “diyakinkan” untuk menerima apa-apa analisa atau hasil kajian. Penulis teringat bagaimana beliau mengkritik analisa awal politik Terengganu oleh Mohd Nasir Awang yang tersiar dalam sebuah majalah sejurus sebelum Pilihan Raya Umum 1999 dulu.

Di dalam analisa itu, penulisnya mengemukakan SWOT Analysis agak menyeluruh dan menyimpulkan bahawa Terengganu berkemungkinan besar dapat ditawan PAS. Antara yang disifatkan sebagai “peluang” bagi PAS ketika itu ialah apabila politik Terengganu hanya memerlukan enam peratus peralihan undi untuk menidakkan kekuasaan Barisan Nasional. Kadar enam peratus itu bersamaan sekitar 1,000 pemilih setiap DUN, yang mana menurut penulis itu bukan angka yang besar menilai perubahan politik ketika itu.

Ustaz Harun bagaimana pun berpandangan sebaliknya. Katanya ia bukanlah angka perubahan yang mudah dicapai. Sikap diambilnya itu akhirnya menyebabkan jentera parti tidak memandang mudah perancangan gerakerja pilihan raya. Bahawa “bayang-bayang kemenangan” yang semakin ketara ketika itu tidak sepatutnya melenakan pemimpin dan ahli PAS daripada terus berusaha sehingga kejayaan sebenar dicapai. Alhamdulillah, sikapnya itu banyak membantu PAS Terengganu menempa kejayaan paling manis pada 1999 lalu.

Harun bin Taib dilahirkan pada tahun 1943 di Kampung Kesom, Manir, Kuala Terengganu. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Belara, tidak berapa jauh dari rumahnya. Seterusnya, beliau memasuki Kelas Khas 7 di Sekolah Umum Serada, sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Arab Tok Jiring (sekolah menengah agama). Beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Di samping pintar dalam pelajaran dan mampu menguasai bahasa Arab dengan baik, Ustaz Harun juga dikatakan sangat aktif dalam bidang sukan. Beliau terkenal sebagai seorang pemain bola sepak yang handal di sekolahnya.

Ustaz Harun melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah. Di sana beliau mula aktif dalam gerakan pelajar sehingga memperolehi ijazah pertamanya.

Selepas itu almarhum melanjutkan pula pelajarannya ke peringkat sarjana di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Sewaktu di sana bakat kepimpinannya semakin menyerlah. Beliau sangat aktif dalam persatuan-persatuan pelajar dan sering berhubung terus dengan para pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir, serta tokoh-tokoh gerakan Islam serata dunia. Beliau memperolehi ijazah Sarjana dalam jurusan Siasah Syar’iyyah, dengan keputusan ‘cemerlang’.

Sifat dahagakan pendidikan mendorongnya melanjutkan lagi pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi, PhD. Hasrat itu bagaimana pun tidak sempat dipenuhi apabila pada tahun 1978 beliau dipanggil pulang oleh PAS untuk bertanding dalam pilihan raya umum.

(bersambung...)

(Artikel ini disiarkan di dalam sisipan FIKRAH Harakah Bil: 1916, 29 Rabiul Awal 1435/31 Januari 2014 di kolum 'FOKUS KHAS' dengan tajuk "Tidak pernah uzurkan diri sertai program parti".)

No comments:

Post a Comment