Muqoddimah
SUFYAN ATH-THAURI adalah antara ulama
tabiet-tabien tersohor. Beliau merupakan perawi hadith paling dipercayai,
seorang alim dan menjadi tempat rujukan serta teladan masyarakat di zamannya.
Sehingga dikatakan kerana keberadaannya zaman itu menjadi mulia dan dunia
seakan tersanjung dengan kedatangannya.
Latar diri
Namanya yang lengkap ialah Sufyan bin Said bin
Masruq bin Rafi’ bin Abdillah bin Muhabah bin Abi Abdillah bin Manqad bin Nashr
bin al-Harith bin Tsa’labah bin Amir bin Mulkan bin Thur bin Abdumanat bin Adda
bin Thabikhah bin Ilyas.
Beliau lahir di Kufah pada 77 Hijriah, yakni di
zaman pemerintahan khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Ayahnya, Said bin Masruq
ath-Thauri, merupakan seorang ulama besar di Kufah, sebaris dengan Asy-Sya’bi
dan Khaithamah bin Abdirrahman. Kesemua mereka dianggap para perawi yang dapat
dipercayai dan merupakan generasi terakhir tabien.
Sanjungan ulama terhadapnya
Ketika Sufyan bersama rombongannya tiba ke Mekah
untuk menunaikan haji, Syuaib bin Harb telah datang menemui mereka. Beliau
memuji-muji Sufyan di hadapan anggota rombongan tersebut, dengan katanya, “kamu
tidak melihat Nabi (Muhammad saw), tetapi kamu hidup bersama Sufyan
(Ath-Thauri).”
Sufyan bagaikan lautan yang tidak diketahui kedalamannya,
bagaikan air bah yang mengalir yang tak mungkin terbendung. Beliau menjadi
contoh kepada ulama lain dalam mengamalkan ilmunya, rajin beribadah, berbudi pekerti
luhur, warak dan takut kepada Allah. Beliau juga lantang dalam membela
kebenaran.
Berkata Al-Auzaie, “tidak ada orang yang mampu
membuat umat merasa redha dalam kebenaran kecuali Sufyan (Ath-Thauri).”
Sufyan bin Uyainah pula berkata, “aku tidak
melihat ada orang yang lebih utama dari Sufyan (Ath-Thauri), sedang dia sendiri
tidak merasa bahawa dirinya adalah orang yang paling utama.”
Al-Hafiz Abu Bakar Al-Khatib pernah menyifatkan
Sufyan dengan katanya, “Sufyan Ath-Thauri adalah pimpinan ulama Islam dan
gurunya. Sufyan adalah seorang yang mempunyai kemuliaan, sehingga dia tidak
memerlukan sebarang pujian. Selain itu, Ath-Thauri juga seorang yang boleh dipercayai,
mempunyai hafalan yang kuat, berilmu luas, warak dan zuhud.”
Sikap terhadap perselisihan
Disebabkan kelebihan ilmunya ke atas rakan-rakan
yang lain, pendapat Sufyan sering diutamakan setiap kali wujud perbezaan
pandangan antara mereka. Yahya bin Ma’in berkata, “tidak ada orang yang
berselisih tentang sesuatu dengan Sufyan, kecuali pendapat Sufyanlah yang
digunakan.”
Yahya bin Said pernah ditanya tentang siapa yang
lebih baik di antara Sufyan dan Syu’bah, beliau menjawab: “Syu’bah lebih aku
senangi dari Sufyan, kerana keunggulannya. Namun, Sufyan bersandarkan kepada
tulisan, sedang Syu’bah tidak bersandar kepada tulisan. Sufyan lebih kuat
ingatannya dari Syu’bah. Aku pernah melihat keduanya berselisih (tentang
sesuatu perkara), maka pendapat Sufyan Ath-Thauri yang digunakan.”
Pun begitu, Sufyan sendiri mempunyai prinsip yang
sangat jelas berhubung perselisihan pendapat ini. Baginya, hal itu tidak perlu
berlaku sekiranya masing-masing belum mempunyai cukup ilmu tentang perkara
diperselisihkan.
Zaid bin Abi Az-Zarqa’ menceritakan suatu
peristiwa dengan katanya, “ketika kami sedang membahas suatu masalah, kami
saling berdebat dalam mencari jalan keluar. Maka Sufyan keluar dan berkata,
“wahai segolongan pemuda, kamu telah tergesa-gesa untuk mendapatkan berkat dari
ilmu ini dan kamu tidak menyedari hal itu. Mungkin saja kamu belum sampai
terhadap apa yang kamu inginkan, sehingga mengeraskan suara di hadapan teman
kamu yang lain.”
Kuasai ilmu hadith
Sufyan sangat menyanjungi hadith. Abdullah bin
Bisyr berkata, beliau pernah mendengar Sufyan berkata, “sesungguhnya hadith itu
mulia. Barangsiapa yang menginginkan dunia dengan hadith, maka dia akan
mendapatkannya. Barangsiapa yang menginginkan akhirat dengan hadith, maka dia
juga akan mendapatkannya.”
Di atas keyakinannya itu, Sufyan muncul sebagai
seorang yang disanjungi tentang ilmu hadithnya. Ibnu Al-Mubarak berkata, “aku
telah menulis hadith dari 1100 guru, namun aku tidak mampu menulis sebaik
Ath-Thauri.”
Beberapa ulama besar sezamannya, seperti Syu’bah,
Sufyan bin Uyainah, Abu Ashim An-Nabil, Yahya bin Ma’in dan lain-lain berkata,
“Sufyan Ath-Thauri adalah Amirul Mukminin
dalam hadith.”
Ahmad bin Abdillah Al-Ajli menambah, “sebaik-baik
sanad yang berasal dari Kufah adalah dari Sufyan dari Mansur dari Ibrahim dari
‘Alqamah dari Abdullah.”
Yahya al-Qaththan pula menceritakan keghairahan
Sufyan menimba ilmu hadith. Katanya, “aku tidak melihat ada orang yang lebih
utama dari Sufyan. Jika ia tidak sibuk dengan hadith, maka ia akan solat di
waktu terluangnya, seperti waktu antara Zohor dan Asar, dan antara Maghrib dan
Isyak. Dan jika dia mendengar orang menyebut hadith, maka dia akan segera
meninggalkan solat sunatnya.”
Kuat ibadat, menangis
Tidak syak lagi, seorang yang mulia dan
dimuliakan seperti Sufyan Ath-Thauri sudah tentu mempunyai keghairahan yang
tinggi terhadap ibadat. Sebagaimana disebutkan di atas, beliau gemar memenuhi
waktu lapangnya dengan bersolat sunat. Bahkan, diceritakan beberapa ulama
bahawa sujudnya tersangatlah panjang.
Ibnu Wahab berkata, “aku melihat Ath-Thauri
sedang berada di Masjidil Haram. Selesai melakukan solat Maghrib, dia bersujud
dan tidak mengangkat kepalanya hingga kami mengajaknya untuk solat Isyak.”
Ali bin Fudhail pula berkata, “aku melihat Sufyan
Ath-Thauri bersujud di sekitar Kaabah. Kemudian aku melakukan tawaf sebanyak
tujuh pusingan, dan Ath-Thauri belum mengangkat kepalanya dari sujud.”
Beliau juga diceritakan sering menangis lantaran
takutkan Allah dan bimbangkan nasib dirinya di sisi Allah. Muzahim bin Zafar berkata,
“kami sedang melakukan solat Maghrib bersama Sufyan, dia membaca surah
Al-Fatihah sampai pada ayat, “hanya
kepada-Mu kami menyembah dan hanya kepada-Mu kami meminta pertolongan”,
lalu dia (Sufyan) menangis hingga terhenti bacaannya. Kemudian dia mengulangi
bacaan itu dari awal surah.”
Atha’ Al-Khafaf pula memberitahu, “aku tidak
bertemu Sufyan Ath-Thauri melainkan dia dalam keadaan menangis. Maka pada suatu
hari aku bertanya kepadanya, “apa sebenarnya yang menyebabkan engkau selalu
menangis?” Dia menjawab, “aku takut jika aku termasuk orang yang tidak
beruntung sesuai dengan isi Ummul Kitab.”
Ibnu Mahdi pula bercerita, “suatu malam Ath-Thauri
berada di rumahku. Dia tidak boleh tidur dan selalu menangis, sehingga
seseorang bertanya kepadanya apa yang menyebabkan dia berkeadaan begitu.
Ath-Thauri menjawab, “jika dosaku lebih ringan dari ini (seraya mengangkat
sebongkah tanah), maka aku khuatir kalau imanku hilang sebelum aku mati.”
Guru dan muridnya
Jumlah guru kepada Sufyan Ath-Thauri sangatlah
ramai. Selain ayahnya sendiri, Said bin Masruq Ath-Thauri yang merupakan ulama
hadith, beliau dilaporkan turut menerima riwayat hadith daripada Abu Ishaq
Asya-Syaibani, Abdul Malik bin Umair, Al-Aswad bin Qais, Al-A’masy, Hammad bin
Abi Sulaiman, Amr bin Murrah, Fathr bin Khalifah, Bayan bin Bisyr, Habib bin
Abi Thabit dan sebilangan lagi.
Di antara guru-gurunya dari Kufah pula ialah
Ziyad bin Alaqah, Sulaiman At-Taimi, Yunus bin Ubaid, Ibrahim bin Maisarah,
Dawud bin Abi Hind, Ibnu Aun, Khalid Al-Hadza’, Habib bin Asy-Syahid, Hamad bin
Ath-Thawil, Ashim Al-Ahwal dan Abdul Aziz bin Rafi’.
Beliau turut menerima ilmu daripada sejumlah
ulama Basrah. Antara mereka ialah Zaid bin Aslam, Abdullah bin Dinar, Amr bin
Dinar, Ismail bin Umayyah, Suhail bin Abi Saleh, Musa bin Uqbah, Hisyam bin
Urwah, Yahya bin Said Al-Anshari dan lain-lain.
Orang-orang yang pernah mengambil ilmu daripada
Sufyan tersangatlah ramai dan tidak terhitung jumlahnya. Sebilangan mereka
adalah guru-guru Sufyan sendiri, yang kemudiannya mengambil riwayat darinya.
Begitu juga dengan sebilangan rakan pengajian sezamannya.
Manakala sejumlah besar yang lain, antaranya
ialah Abdurrahman bin Mahdi, Yahya bin Said, Ibnu al-Mubarak, Hafsh bin
Ghayyath, Abu Zubaidah Athir bin Al-Qasim, Fudhail bin Iyadh, Abdullah bin
Dawud Al-Khuraibi dan ramai lagi.
Kematiannya
Terdapat catatan berbeza berhubung tarikh sebenar
Sufyan Ath-Thauri meninggal dunia. Menurut Yahya Al-Qaththan, tarikh kematian
Sufyan ialah pada awal tahun 161 Hijrah. Adz-Dzahabi pula berkata, Sufyan
meninggal pada bulan Syaaban tahun 161 Hijrah. Pendapat ini disokong Al-Waqidi.
Manakala Khalifah pula berpendapat bahawa kematian Sufyan ialah pada tahun 162
Hijrah.
Isa bin Yunus berkata, “Sufyan meninggal dalam
keadaan tersembunyi, bajunya telah dijadikan peta dan penuh dengan tulisan.”
Diriwayatkan sebelum meninggal, Sufyan telah
mewasiatkan kepada Abdurrahman bin Abdul Malik agar menyolatinya. Hal itu
disempurnakan oleh Abdurrahman bersama penduduk Basrah.
Semoga Allah memberkan rahmat-Nya yang luas kepada Sufyan Ath-Thauri dan memasukkannya ke dalam syurga-Nya yang tinggi. – Mohd Nasir Awang
(Rujukan: Syaikh Ahmad Farid, 60 Biografi Ulama Salaf. Pustaka
Al-Kautsar, Jakarta Timur, 2009.)
(Artikel ini disiarkan majalah DIAN - Ihya' As-Sunnah, Bil. 20 di kolum ULAMA PEWARIS NABI dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment