Muqoddimah
“Orang yang paling tahu tentang ilmu-ilmu al-Quran adalah Mujahid, yang
paling tahu tentang haji adalah ‘Atha’, yang paling tahu tentang hukum halal
dan haramnya suatu perkara adalah Thawus bin Kaisan, yang paling tahu tentang
talak adalah Said bin al-Musayyib, dan yang paling mampu mengombinasikan dan
menguasai semua disiplin ilmu tersebut adalah Said bin Jubair.”
Demikian kata sanjungan Khushaif, seorang ulama, memperihalkan ketinggian
ilmu Said bin Jubair rahimahullah. Kemampuan ilmunya dikatakan tiada tandingan
di kalangan ulama sezamannya, bahkan di zaman selepasnya.
Said bin Jubair ialah seorang imam yang menjadi tempat rujukan penduduk Kufah
di zaman para tabien. Beliau dikatakan lahir di zaman kekhalifahan Saidina Ali
bin Abi Talib dan sempat berguru dengan beberapa Sahabat terkenal, termasuk
Ibnu Abbas ra dan Ibnu Umar ra (biografi ringkasnya pernah disiarkan dalam
majalah Dian – Ihya’ as-Sunnah, edisi
17 lalu). Beliau merupakan seorang al-Hafiz (hafal banyak hadith dan al-Quran),
ahli tafsir dan seorang yang dianugerahkan mati syahid di tangan perosak agama
yang zalim.
Memerangi Al-Hajjaj
Kerosakan terhadap ajaran agama Islam dan akidah kaum muslimin semakin
ketara di bawah pemerintahan Al-Hajjaj bin Yusuf Ath-Thaqafi. Si zalim itu
bukan sahaja angkuh, sombong dan meninggalkan solat, malah bertindak
menghalang-halangi mereka yang solat serta merendah-rendahkan martabat kaum
muslimin.
Hal ini amat tidak dapat diterima oleh Said bin Jubair. Beliau dengan tegas
mengajak orangramai memerangi kaum perosak itu (Al-Hajjaj dan para
pengikutnya), kerana tindakan mereka yang telah meresahkan umat.
Apabila Ibnu Al-Asy’ath mengambil keputusan memerangai Al-Hajjaj, Said ikut
keluar bersamanya. Ketika perang sedang memuncak di Dir Al-Jamajim, Said berseru kepada kelompok kaum muslimin
bersamanya, “perangilah mereka kerana kezaliman mereka dalam menjalankan
pemerintahan, keluarnya mereka dari agama, kesombongan mereka terhadap
hamba-hamba Allah, mereka menghapuskan solat dan merendahkan martabat kaum
muslimin.”
Bersembunyi di Mekah
Nasib bagaimana pun tidak menyebelahi mereka. Pasukan Al-Hajjaj sangat
kuat. Kelompok Ibnu Al-Asy’ath kalah teruk. Ekoran itu, Said bin Jubair
melarikan diri dan bersembunyi. Beliau berpindah-pindah tempat di beberapa daerah
pedalaman di sekitar Mekah, selama hampir 12 tahun.
Adz-Dzahabi berkata, “waktu dia (Said) bersembunyi cukup lama. Peperangan dengan
Al-Hajjaj Ath-Thaqafi terjadi pada tahun 82 Hijrah. Mereka tidak mampu
menemukan Said kecuali pada tahun 95 Hijrah, tahun di mana Allah SWT juga
membinasakan Al-Hajjaj dan para pengikutnya.”
Berita pemburuan ke atas Said memang diketahui umum. Abu Husain berkata, “aku
pernah bersua Said bin Jubair di Mekah, lalu aku memberitahunya, “sesungguhnya
Khalid bin Abdullah (walikota Mekah) datang mencarimu dan aku tidak yakin kamu
wahai Said akan selamat.”
Said menjawab: “Demi Allah, aku telah melarikan diri terlalu lama (dari
peperangan dengan perusuh), sehingga aku merasa malu kepada Allah SWT.”
Dari kata-katanya itu dapatlah difahami bahawa Said sendiri sudah tidak
mahu bersembunyi lagi. Beliau sudah bersedia untuk dihadapkan kepada Al-Hajjaj.
Maka tertangkaplah Said oleh para pengikut Al-Hajjaj.
Penangkapan Said
Muhammad bin Said berkata, “orang yang mengetuai penangkapan Said bin
Jubair ialah walikota Mekah, Khalid bin Abdullah Al-Qusari. Dia dibawa kepada
Al-Hajjaj Ath-Thaqafi.” Diriwayatkan bahawa turut tertangkap bersama Said ialah
beberapa sahabatnya, termasuk Asy-Syaabi dan Ismail bin Ausath Al-Bali.
Abu Saleh pula menceritakan, “aku menemui Said bin Jubair ketika dia diajukan
kepada Al-Hajjaj. Kemudian aku melihat seorang lelaki bersamanya menangis. Lalu
Said bertanya, “apa yang membuatmu menangis?”
Lelaki itu menjawab: “Musibah yang telah menimpa Tuan.”
Said berkata: “Janganlah kamu menangis, sudah ketentuan Allah bahawa ini akan
terjadi.”
Dia lantas membacakan ayat (maksudnya): Tiada
suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan tidak pula pada dirimu sendiri,
melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya.
(Al-Hadid 57:22)
Penghakiman Al-Hajjaj
Said kemudiannya dibawa ke hadapan Al-Hajjaj. Si zalim itu lantas berkata
kepadanya, seraya mengejek: “Kamukah yang bernama Syaqi bin Kasir (membawa erti
yang buruk, kebalikan dari erti Said bin Jubair)?”
Said menjawab: “Aku adalah Said bin Jubair!”
Al-Hajjaj berkata: “Untuk apa kamu datang ke Kufah, sedangkan tidak ada
yang boleh memerintah Kufah kecuali orang Arab? Apakah kamu ingin aku
menjadikan kamu sebagai imam?”
Said menjawab: “Ya.”
Al-Hajjaj berkata: “Jika aku mengangkat kau menjadi hakim di Kufah,
pastinya penduduk Kufah akan mempertikainya dan berkata, “tidak ada yang boleh
atau sesuai memegang jawatan hakim di Kufah kecuali orang Arab.”
Al-Hajjaj melanjutkan andaiannya: “Lalu sebagai alternatif, aku mengangkat
Abu Burdah bin Abi Musa al-Asyaari sebagai hakim, tetapi aku perintahkan
kepadanya agar tidak memutuskan sesuatu perkara melainkan setelah meminta
persetujuanmu. Bagaimana?”
Said menjawab: “Ya.”
Al-Hajjaj bertanya lagi: “Mahukah kamu aku jadikan sebagai penasihatku,
sedangkan mereka para pemimpin itu berasal dari orang-orang Arab?”
Said menjawab: “Ya.”
Al-Hajjaj berkata pula: “Mahukah kamu aku beri wang 100 ribu untuk
dibahagikan kepada orang yang memerlukannya?”
Dia menjawab: “Ya.”
Menilai sikap Said yang bersetuju dengan semua cadangannya itu, Al-Hajjaj lantas
bertanya: “Justeru, apa lagi yang membuatmu memusuhiku?”
Said menjawab: “Sumpah setia yang terbeban dalam tanggungjawabku kepada
Ibnu Al-Asy’ath (musuh utama Al-Hajjaj).”
Mendengar jawaban itu, Al-Hajjaj terus naik darah, sehingga dia lantas
berkata, “jadi kamu adalah orang yang telah dibaiat Amirul Mukminin sebelumnya?
Aku pasti akan membunuhmu.”
Sudah diketahui umum bahawa di setiap penghakimannya, Al-Hajjaj akan
menanyai orang yang dihadapkan kepadanya satu soalan paling penting, “apakah
kamu menjadi kafir jika kamu memberontak kepadaku?” Jika orang itu menjawab,
“ya”, maka orang itu dibebaskannya.
Said turut ditanya soalan yang sama, tetapi dia memilih untuk
berterus-terang tentang sikapnya. Sedangkan terdapat dua sahabatnya memilih
teori taqiyyah, yakni menyesuaikan jawaban
untuk menyelamatkan diri.
Taqiyyah ini banyak dilakukan kaun Syiah dan Yahudi dan menjadi sebahagian
dari syariat mereka. Mereka menyatakan memeluk Islam, umpamanya, akan tetapi
hati mereka tetap Yahudi atau Syiah. Justeru, apabila ditanya soalan yang
menentukan antara hidup dan mati itu, ada sahabat Said bin Jubair memilih teori
taqiyyah ini, namun tidak bagi Said sendiri.
Al-Hajjaj bertanya: “Apakah kamu menjadi kafir jika memberontak kepadaku?”
Said dengan tegas menjawab: “Tidak!”
Al-Hajjaj sangat marah, lantas membentak: “Pilihlah, dengan apa aku harus
membunuhmu?”
Said menjawab: “Pilih sajalah sendiri. Sebelum itu, izinkan aku melakukan
solat dua rakaat terlebih dahulu.”
Al-Hajjaj dalam nada mempersenda lantas mengarahkan pengikutnya: “Hadapkan
dia ke arah kiblat orang Kristian!”
Said lalu membaca sepotong ayat (maksudnya): Dan kepunyaan Allahlah timur dan barat. Maka ke mana pun kamu
menghadap, di situlah wajah Allah. (Al-Baqarah 2:115)
Selanjutnya, Said berkata: “Sesungguhnya aku memohon perlindungan darimu
sebagaimana Maryam binti Imran memintanya.”
Al-Hajjaj bertanya: “Apa perlindungan yang diminta Maryam?”
Said menjawab: “Maryam berkata, (dibacakannya ayat al-Quran bermaksud): Sesungguhnya aku berlindung daripadamu
kepada Tuhan yang Maha Pemurah, jika kamu seorang yang bertaqwa.” (Maryam 19:18)
Mengidamkan syahid
Lalu Said dibawa ke tempat penyeksaan. Dicatatkan, beliau sempat
memberitahu beberapa orang yang berada bersamanya di kala itu, “aku tidak
melihat diriku kecuali orang yang (pasti akan) terbunuh, dan aku akan memberitahu
kamu semua bagaimana aku dan dua sahabatku memanjatkan doa ketika kami
menemukan manisnya berdoa. Kemudian kami memohon kepada Allah agar diberikan
mati syahid. Kedua sahabatku itu mendapatkan rezeki mereka, sedang aku melihatnya.”
Adz-Dzahabi mencatatkan, “ketika Said mengetahui keutamaan mati syahid dan
dia yakin akan dibunuh, dia tidak berkeluh-kesah. Jika tidak, tentu dia memilih
untuk melakukan taqiyyah, yang boleh
dilakukannya (seperti yang dipilih sahabatnya, Asy-Syaabi).”
Said bin Jubair diseksa oleh para perwira Al-Hajjaj, sebelum dibunuh pada
bulan Syaaban 95 Hijrah. Diriwayatkan lehernya dipenggal oleh algojo si zalim
itu.
Kita memohon kepada Allah agar mengangkat darjat dan kehormatannya di
sisi-Nya dan menganugerahkan kematian syahid buatnya.
Said boleh mendoakan agar Al-Hajjaj tidak membunuhnya, tetapi dia tidak berbuat
begitu. Sebaliknya, dia berdoa agar menjadi orang yang terakhir dibunuh Al-Hajjaj
dan bala tenteranya.
Menghantui Al-Hajjaj
Allah SWT memakbulkan doa Said. Ibnu
Uyainah berkata, “Al-Hajjaj tidak membunuh orang lagi setelah membunuh Said bin
Jubair, melainkan seorang saja.”
Allah benar-benar menghancurkan para perosak akidah umat Islam itu hanya
selang beberapa hari setelah syahidnya Said. Kematian Said benar-benar
menghantui Al-Hajjaj. Fikirannya sentiasa diganggu bayangan Said, sehingga
terbawa ke dalam tidurnya.
Diriwayatkan dalam satu mimpi buruknya, Al-Hajjaj ditanya seseorang, “apa
yang diperbuat Allah kepada Tuan, sehingga fikiran Tuan begitu terganggu?”
Al-Hajjaj lantas menjawab: “Setiap orang yang telah aku bunuh akan kembali
membunuhku dengan kejam satu kali pembunuhan, tetapi Said bin Jubair akan
membunuhku dengan 70 kali pembunuhan!”
Dalam riwayat yang lain, ketika Al-Hajjaj menghadapi sakaratul maut, dia
sering pengsan dan sedar semula. Ketika itu dia sempat bersuara, “apa yang
terjadi di antara aku dan kamu, wahai Said bin Jubair?”
Begitulah berakhirnya hidup seorang penguasa
zalim yang merosakkan agama dan suka menghina ulama. Matinya Al-Hajjaj dalam
kehinaan, sedangkan Said menikmati kemuliaan. – Mohd Nasir Awang
(Rujukan: Syaikh Ahmad Farid, 60 Biografi Ulama Salaf, Pustaka
Al-Kautsar, Jakarta Timur. 2009)
(Artikel ini disiarkan majalah DIAN Ihya' As-Sunnah, Bil. 20 (Januari 2014) di kolum SECEBIS KISAH dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment