Oleh: Mohd Nasir Awang
Jutaan takziah kita ucapkan kepada mangsa-mangsa banjir
yang melanda beberapa negeri awal bulan ini (Disember). Pada setiap kali
kedatangan bencana alam itu, setiap mangsa pastinya mengalami kepayahan hidup
dan kerugian harta benda, banyak atau sedikit.
Kawasan yang dikenalpasti paling teruk dilanda banjir
“gelombang pertama” itu adalah sebahagian Pahang dan selatan Terengganu.
Beberapa daerah yang terjejas teruk ialah Kuantan, Temerloh, Pekan, Rompin,
Jerantut dan Maran, di Pahang, selain Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman di
Terengganu.
Di masa sama banjir turut melanda beberapa daerah di
Johor seperti Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Muar dan Batu Pahat. Kelantan dan
Melaka juga tidak terkecuali dilanda fenomena tahunan itu.
Media melaporkan di saat kemuncak bencana itu, lebih 30
ribu penduduk di kawasan-kawasan terbabit dipindahkan, melibatkan lebih 200
pusat pemindahan di lima negeri tersebut.
Banjir kali ini dikatakan tersangat luar biasa. Justeru,
kemusnahan ditinggalkannya juga di luar kebiasaan yang pernah kita dengar dan
lihat. Harta-benda yang musnah ditaksirkan berkali ganda berbanding kesan
dialami mangsa-mangsa saban tahun sebelum ini.
Saya tidak berhasrat memanjang bicara mengenai
keluarbiasaan itu. Melanjutkannya tidak mungkin dapat menampung kerugian
dialami mereka yang terbabit, sebaliknya akan hanya mengingatkan kembali mereka
kepada detik pilu yang wajar dilupakan itu.
Namun, di antara perkara menarik yang dapat saya kutip
dalam perbincangan masyarakat mengenai banjir musim ini ialah soal keselesaan
di tempat pemindahan. Keseluruhan komen yang saya temui tidak mengenepikan
ucapan syukur kepada Allah SWT atas keselamatan jiwa masing-masing. Mereka juga
berterimakasih kepada pihak berwajib kerana menyediakan tempat berteduh
daripada kebasahan dan kesejukan.
Bagaimana pun, rata-rata mereka juga mengakui tahap
keselesaan tempat-tempat pemindahan ini amat perlu dipertingkatkan. Wajar
diingat, maksud ‘selesa’ yang diharapkan mereka itu bukanlah bererti
“memindahkan” segala tahap keselesaan di rumah masing-masing ke situ. Dalam
keadaan darurat sebegitu, rasanya semua mangsa boleh meninggalkan status sosial
di pagar rumah masing-masing dan berkongsi apa yang ada secara ala-kadar di
pusat pemindahan.
Namun, itu tidak bermakna pemberian barang-barang
keperluan boleh dilewatkan. Contohnya, walau pun sudah sehari semalam di pusat
itu, dikatakan barang-barang keperluan asas seumpama makanan, minuman, lapik
duduk (tikar) dan selimut - yang sepatutnya sudah tersedia untuk kegunaan
mereka - belum kelihatan. Dalam keadaan kritikal sebegitu, tempoh sehari
semalam tidak wajar dianggap “sekejap”.
Catatan pengakuan dan pemerhatian jujur beberapa rakan
saya yang berada sendiri di pusat-pusat tersebut mengukuhkan kesimpulan ini.
Bagi saya ia sekaligus menggambarkan betapa tahap kesiapsiagaan pihak
bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan asas itu masih belum boleh
dibanggakan.
Banjir adalah fenomena tahunan. Saban tahun kita
menghadapinya, bahkan musim kedatangannya sudah boleh dijangkakan. Justeru,
soal ia melanda di luar jangka tidak sepatutnya menjadi alasan lagi. Persediaan
menghadapi bencana ini sepatutnya suatu yang mengalami peningkatan tahun ke
tahun, mengambilkira pengalaman lalu.
Lebih menghangatkan perbincangan mengenai bantuan kepada
mangsa banjir ini ialah wujudnya laman sosial di internet. Teknologi kini
membantu rakyat membuat perbandingan antara kualiti dan tahap persediaan tempat
pemindahan banjir di negara kita dengan beberapa nagara dunia yang sering
mengalami bencana alam.
Ada negara dikatakan mampu menyediakan katil bertilam
beserta selimut untuk setiap mangsa bencana mereka. Kita mungkin tidak mampu
setahap itu. Buat masa ini lupakanlah hasrat untuk mendapat “layanan seistimewa
itu’. Tetapi takkan sebidang tikar pun tidak mampu disediakan?
Jepun pula dikatakan menyediakan khemah, atau lebih
berupa bilik-bilik berdinding kain memenuhi ruang dewan atau hangar yang luas.
Ia kelihatan seperti petak-petak kiosk atau booth di dewan eksposisi besar.
Barangkali yang menghuni setiap bilik itu satu keluarga. Sekatan itu
sekurang-kurangnya menjadikan ia lebih eksklusif untuk kelompok lebih kecil,
berbanding dewan terbuka memuatkan ratusan mangsa.
Pemimpin negara kita bagaimana pun tidak gemar melihat
bersemaraknya cadangan agar langkah-langkah sebegitu diterapkan di negara ini.
Dikatakan bahawa menyediakan khemah berasingan untuk setiap keluarga mangsa
banjir tidak sesuai dengan iklim negara kita.
Boleh jadi ia berasaskan andaian berada dalam khemah menjadikan
mangsa panas dan berpeluh. Sedangkan di masa sama, kita bercakap soal
membekalkan selimut untuk mangsa. Bahkan, terdapat laporan bahawa itu antara
perkara dituntut mangsa. Ertinya, soal panas jika berada dalam khemah tidak
begitu tepat, kerana suasana sekitaran masih sejuk sehingga memerlukan selimut.
Menguatkan cadangan penyediaan khemah ini ialah soal aurat
dan kehormatan diri mangsa, terutama kalangan muslimat. Dalam hal ini saya
tertarik dengan inisiatif peribadi seorang mangsa banjir yang ditempatkan di
Dewan Sukan, Balai Besar, Dungun. Beliau membeli sendiri
khemah sebaik dipindahkan, kerana memikirkan ia suatu keperluan bagi ahli
keluarganya. Keadaan dewan yang terbuka tidak sesuai bagi golongan wanita untuk
memelihara aurat.
Akhbar harian, 9
Disember memetik katanya, “bagi yang ada anak gadis, tentu tidak berapa sesuai
mereka tidur di tempat terbuka. Bagi isteri pula, takkan nak dedahkan aurat
kita ketika tidur kepada bukan muhrim”.
Beliau mengakui
dengan memasang khemah sebegitu, ia
memberi “keselesaan dan jaminan kepada golongan wanita.”
“Bayangkan kalau isteri kita sedang tidur (di tempat
terbuka) dan dilihat lelaki yang bukan mahramnya, mungkin situasi itu tidak
berapa sesuai untuk kita orang Islam”, katanya.
Ya, saya amat menyokong kenyataan beliau itu. Sudah
sampai masanya aspek hukum agama turut dijadikan perkiraan dalam penyediaan
kemudahan tempat pemindahan bencana alam negara kita.
Malah, bukan wanita yang mementingkan penutupan aurat sahaja yang merasa tidak selesa untuk
bergerak atau tidur di tempat terbuka. Saya kira kaum lelaki juga tidak semua
selesa dengan keadaan itu. Jangan ingat semua lelaki suka jika sepanjang hari terpaksa
tengok perempuan saja. Toleh kiri perempuan, toleh kanan perempuan, tengok
depan pun perempuan. Apatah lagi, dengan trend
berpakaian sekarang ini, ditakdirkan kebetulan kesemua perempuan itu semacam
berpakat pula memakai “t-shirt adik” masing-masing. Kita kaum lelaki pun tahu
rasa rimas juga!
(Artikel ini disiarkan majalah Era Muslimah, Bil. 21 di kolum 'Coretan Ketua Pengarang' dengan tajuk sama)
(Artikel ini disiarkan majalah Era Muslimah, Bil. 21 di kolum 'Coretan Ketua Pengarang' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment