Thursday, June 20, 2013

‘Generasi kedua’ penerus legasi perjuangan PAS


Oleh: Mohd Nasir Awang

SAYA bukanlah antara orang pertama menuturkan tahniah kepada Haji Muhyidin Abdul Rashid atas kejayaannya memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu lewat Pilihan Raya Umum 1999 lalu. Saya hanya berkesempatan bertemu beliau buat pertama kali setelah agak lama usai pilihan raya tersebut. Entahkan sudah berapa ratus ucapan tahniah yang beliau terima sebelum tuturan saya itu.

Namun saya agak yakin bahawa besar kemungkinan saya orang pertama memberikan pengiktirafan kepada beliau selaku ‘pewaris politik’ pertama dalam sejarah PAS Terengganu. Maksud saya, beliau ialah orang pertama yang berjaya mewarisi pencapaian ayahnya di gelanggang politik sebagai ‘Yang Berhormat’. Hal itu bagi saya merupakan catatan sejarah tersendiri buatnya dan PAS negeri itu.

Semua orang yang mengikuti perkembangan politik tanahair tahu Muhyidin menjadi wakil rakyat. Tidak sedikit juga yang tahu bahawa almarhum ayahnya juga bekas wakil rakyat PAS. Cuma tidak ada yang mengambil kisah fakta bahawa beliau adalah pencipta rekod sebagai ahli politik pertama dari generasi kedua pemimpin PAS Terengganu yang menang pilihan raya.

Muhyidin dilahirkan pada 4 Julai 1961 dalam sebuah keluarga ahli perniagaan dan ahli politik di Kuala Berang. Almarhum ayahnya, Haji Abdul Rashid Su adalah bekas wakil rakyat PAS di Dun Kuala Brang pada 1974.

Pemegang ijazah Pengurusan Perniagaan dari Institut Teknologi Mara (ITM) ini aktif dalam berbagai bentuk perniagaan, seperti pembekalan bahan binaan, urusniaga getah dan kayu-kayan. Beliau pernah menjawat Setiausaha Eksekutif Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, beribupejabat di Kuala Lumpur.

Muhyidin yang kini Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu memang sangat aktif dalam parti. Beliau pernah memegang berbagai jawatan di peringkat kawasan mahu pun negeri. Antaranya, Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Hulu Terengganu, Ketua Penerangan PAS Kawasan, Setiausaha PAS Kawasan, Ketua Penerangan DPP negeri, Ketua DPP negeri dan Ketua Penerangan PAS negeri.

Mula bertanding PRU 1995 bagi kerusi Dun Kuala Berang, tetapi tewas. Pada 1999 beliau beralih ke kerusi Parlimen Hulu Terengganu dan menang. Beliau tewas di situ pada 2004. Di tahun sama juga dipilih sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil Dun Kuala Berang. Pada PRU 2008 dan 2013, Muhyidin mencuba lagi di Dun sama, namun nasib tidak menyebelahinya.

PRU ke-13 baru-baru ini bagaimana pun berjaya melahirkan dua lagi ‘pewaris politik’ di negeri itu. Mereka ialah Ustaz Ridzuan Hashim dan Ustaz Hilmi Harun.

Ridzuan dipertaruhkan PAS untuk merampas semula Dun Teluk Pasu. Beliau adalah anak Almarhum Ustaz Hashim Embong, bekas Adun PAS-Jeram pada 1969. Dun Jeram ditukar nama kepada Teluk Pasu bermula 1986.

Ridzuan lahir pada 2 Januari 1972 di Kampung Teluk Pasu, Kuala Terengganu. Beliau adalah anak keenam daripada 11 beradik. Selesai pengajian diploma di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) dalam jurusan Syariah Islam, beliau menyambung ke peringkat ijazah pertama jurusan sama di Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau kemudian mendapat ijazah sarjana (Syariah) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2002.

Pernah bertugas sebagai imam di Masjid Subang, Selangor sebelum dipecat kerana faktor politik. Sejak itu beliau kembali ke Terengganu dan giat mengadakan kuliah mingguan dan bulanan di beberapa tempat, khususnya sekitar Dun Teluk Pasu. Beliau mencuba nasib dalam PRU 2008 di Dun tersebut, namun kemenangannya tertangguh. Dalam PRU-13 baru-baru ini, beliau berjaya merampas semula kerusi berkenaan dari BN, sekaligus menempatkan namanya sebagai “pewaris politik” di Terengganu.

Di dalam parti, Ridzuan pernah memikul berbagai amanah. Antaranya Timbalan Pengarah 2 Majlis Tindakan Dun Teluk Pasu, Pengarah Jabatan Mahasiswa DPP negeri, Ketua DPP Kawasan Kuala Nerus dan Timbalan Ketua DPP Negeri.

Ustaz Hilmi pula adalah anak kepada bekas Adun Manir, yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Dato’ Harun Taib. Beliau memiliki jalur pendidikan agak menarik. Bermula dengan pencapaian Syahadah 4 Thanawi di Maahad Darul Quran, Rusila, beliau kemudiannya memperolehi Sarjana Muda Pengajian Islam dan Bahasa Arab, dari Universiti Abu Nour, Syria.

Kedahagaannya terhadap ilmu diteruskan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sehingga menggenggam ijazah Sarjana Syariah. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat PhD jurusan Sains Politik di University of Western Australia, Perth. Ini menjadikannya fasih berbahasa Arab dan Inggeris, sesuatu penguasaan yang jarang dimiliki kebanyakan ustaz.

Dikatakan atas permintaan orang ramai di Dun Manir, beliau dipanggil pulang sejak setahun lalu, ketika sedang menyiapkan 'tesis' ijazah kedoktorannya. Walau pun tidak begitu dikenali di negeri sendiri, pemilihannya sebagai calon dikatakan turut dibantu rekod penglibatan aktifnya sebagai pendukung utama Majlis Perwakilan PAS Australia Barat (PRCWA).

Pemilihannya kemudian disahkan di peringkat cawangan-cawangan PAS dalam Dun Manir. Sokongan padu akar umbi di Dun itu terbukti apabila pada 5 Mei lalu, Ustaz Hilmi dinobatkan wakil rakyat yang baru, sekaligus mengambil alih tempat ayahnya, Dato’ Harun.

Setakat ini hanya mereka bertiga yang berjaya mencatatkan nama dalam senarai “pewaris politik” PAS di Terengganu. Ramai lagi sebenarnya aktivis “generasi kedua” seperti mereka yang, disebabkan pelbagai faktor, belum berkesempatan membuktikan kemampuan masing-masing. Antara mereka ialah Zaihan Mohd Daud Samad dan Mohd Khalil Abdul Hadi Awang. Manakala nama-nama seperti Fariz Irwan Mustafa Ali dan Fathi Aziz Abu Bakar Chik juga pernah disebut-sebut sebagai penerus perjuangan ayah masing-masing.

Dalam hal ini, parti lawan Barisan Nasional (BN) nampaknya jauh lebih agresif mengetengahkan politikus “generasi kedua” mereka ke pentas pilihan raya. Terbaru (lewat PRU 2008) ialah Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, anak bekas MB Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. Dalam PRU-13 ini, beliau mengekalkan kerusi Dun Air Putih.

Sebelum beliau, sudah ada beberapa nama, termasuk bekas Adun Bandar, Toh Chin Yaw. Wakil MCA ini bukan sahaja mewarisi kerusi berkenaan daripada bapanya. Turut diwarisinya ialah jawatan Exco kerajaan negeri (penggal lalu).

Bapanya, Dato’ Maha Kurnia Toh Seng Chong, menjadi Adun Bandar selama dua penggal bermula 1969. Beliau juga dilantik sebagai Exco kerajaan negeri selama tempoh itu.

Bekas Adun Rantau Abang, Zaabar Mohamed Adib adalah juga generasi kedua politik Terengganu. Beliau adalah anak kepada Mohamed Adib Omar, Adun BN-Merchang bagi penggal 1974-82.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus dan bekas Adun Bukit Tunggal, Mohd Nasir Ibrahim Fikri pula adalah anak kepada MB Terengganu ke-7, Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad. Ibrahim Fikri memenangi Dun Kuala Nerus selama tiga penggal bermula 1959 dan menjadi MB antara 1961 hingga 1970.

Kedua-dua pihak nampaknya telah menemui “pewaris politik” masing-masing. Diharap kehadiran mereka bukan sahaja untuk mengekalkan legasi orang-orang tua mereka, malah tambah memeriahkan demokrasi dengan nafas baru yang lebih segar dan progresif.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil: 1854, 12-14 Syaaban 1434/21-23 Jun 2013 di ruangan 'F22 KOLUMNIS' dengan tajuk serupa)

No comments:

Post a Comment