Muqoddimah
Baru-baru ini umat Islam sekali lagi diterjah dengan satu
bentuk penghinaan yang seakan menjadi kecenderungan baru para pengkarya Barat
mutakhir ini. Islam sekali lagi dijadikan bahan persendaan. Secara lebih
spesifik, yang sekali lagi menjadi fokus ejekan dan persendaan mereka ialah
peribadi Rasulullah saw.
Menerusi pembikinan treler video bertajuk “Innocence of Muslims”, Baginda saw cuba
digambarkan sebagai seorang yang ganas, zalim, kaki perempuan, tidak
berperikemanusiaan dan sebagainya. Bagai diduga, tidak ada individu muslim yang
benar-benar cintakan Rasulullah saw yang akan bersedia menerima sebarang bentuk
penghinaan mahu pun ejekan terhadap peribadi teragung dan termulia itu. Seruluh
dunia Islam yang sensitif jiwa mereka terhadap kesucian agama bangkit
membantah.
Kami mengambil kesempatan ini untuk ikut menyatakan
bantahan terhadap karya yang jelas bermaksud memberikan gambaran sangat salah
terhadap Islam itu. Malah, kita beranggapan bahawa kes terbaru ini adalah salah
satu mata rantai perjuangan kuffar yang sengaja dan berterusan berusaha
menjatuhkan imej dan maruah agama suci ini.
Sebagai pengiktibaran, berikut kami paparkan sorotan siri
penghinaan serupa yang pernah berlaku dan menjadi fokus bantahan umat Islam
serata dunia dalam tempoh lebih dua dekad lalu. – Editor
Innocence of Muslims
Innocence of
Muslims ialah video anti-Islam, dihasilkan oleh Nakoula Basseley Nakoula,
menggunakan nama samara “Sam Bacile”. Biar pun pada awalnya dia menafikan,
siasatan pihak berkuasa di Amerika Syarikat (AS) mendapati Nakoula dan Sam
Bacile adalah orang yang sama.
Dalam pengakuannya, Nakoula mendakwa hasrat sebenarnya ialah menghasilkan
filem epik berdurasi dua jam. Bagaimana pun filem dimaksudkan itu tidak pernah
disahkan kewujudannya.
Klip video 14 minit ini mula dimuatnaik ke YouTube pada Julai 2012, di
bawah tajuk The Real Life of Muhammad dan Muhammad Movie Trailer.
Video yang menggunakan bahasa Arab dimuatnaik pada awal September 2012, dan
dipromosi oleh seorang bernama Morris Sadek, menerusi emel dan blog National
American Coptic Assembly.
Pada 9 September, 2012, petikan video YouTube itu disiarkan Al-Nas TV,
sebuah stesen tv milik gerakan Islam Mesir. Ekoran itu, pada 11 September,
protes dan demonstrasi membantah filem tersebut meletus di Mesir dan Libya. Ia
kemudiannya merebak dengan cepat ke negara-negara Arab lain dan seluruh dunia
Islam.
Kematian Duta AS ke Libya, J. Christopher Stevens dan tiga pegawainya
sering dicatat sebagai kasualti utama bantahan itu. Bagaimana pun, menurut
pegawai AS dan Libya, serangan ke atas misi diplomatik AS di Benghazi, Libya
pada 11 September yang mengakibatkan kematian itu mungkin sesuatu yang telah
pun dirancang lebih awal dan tiada kaitan dengan video tersebut.
Apa pun yang sebenarnya berlaku di situ, yang jelas ialah video tidak
bertanggungjawab itu telah membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.
Mereka memprotes dan menyatakan bantahan terbuka, termasuk mengadakan rapat
umum di jalan-jalan raya, menyerahkan nota bantahan kepada kedutaan AS di
negara masing-masing serta mendesak agar Google
selaku pengendali YouTube segera
memadamkan paparan video di laman itu.
Charlie
Hebdo
Charlie Hebdo (bahasa Perancis, bermaksud Mingguan Charlie) ialah majalah/akhbar
satira mingguan yang memaparkan kartun, laporan dan berita, polemik dan lawak
jenaka. Dengan sikap non-conformist dan tidak menghormati kemuliaan pihak lain,
penerbitan ini menzahirkan sikapnya yang anti-agama, berhaluan kiri dan
anarkis.
Berbekalkan sikap dan prinsip itu, majalah ini tidak sunyi dari usaha
memburukkan kepercayaan orang lain, terutama umat Islam. Dilaporkan antara
penghinaan terawalnya terhadap Islam ialah menerusi paparan edisi 9 Februari
2006.
Muka depannya memaparkan lakaran yang ditujukan kepada Nabi Muhammad saw
dalam keadaan menangis, disertakan tajuk "Mahomet
débordé par les intégristes" (Muhammad dikerumuni para fundamentalis").
Disertakan juga kata-katanya, "C'est dur d'être aimé par des
cons" (amat sukar apabila anda disayangi oleh para penyangak ).
Majalah ini juga menyiarkan semula 12 karikatur kontroversi (yang
didakwa menggambarkan Nabi Muhammad saw) yang pernah disiarkan akhbar Denmark, Jyllands-Posten, tanpa menghiraukan
bantahan umat Islam yang sedang memuncak ketika itu.
Siri penghinaannya terhadap Islam diteruskan. Edisi 3 November 2011
memaparkan karikatur seseorang yang dinamakan sebagai Muhammad, yang berserban
dan berjanggut panjang. Ada kata-kata di sebelahnya bermaksud, “100 sebatan
jika anda tidak mati akibat ketawa."
Edisi khasnya itu turut menamakan “Nabi Muhammad” sebagai “ketua
pengarang”. Dipercayai akibat persendaan yang wewenangan itu, pejabat majalah
itu diserang pada awal pagi 2 November, 2011.
Umat Islam Perancis membantah. French Council of Muslim Faith dalam
kenyataan awalnya menganggap penyiaran itu sebagai sikap biadab majalah
tersebut terhadap Islam dan Nabinya, walau pun menegaskan tidak bersetuju
dengan sebarang bentuk serangan fizikal terhadap kepentingan majalah tersebut.
Tabiat jahat itu bagaimana pun diulangi lagi. Pada September 2012, majalah itu menyiarkan siri kartun satira memaparkan
“Mohammed”, sebahagiannya dalam keadaan berbogel. Mengambilkira penyiaran ini
dibuat hanya beberapa hari selepas siri serangan ke atas kedutaan AS di Timur
Tengah sebagai reaksi terhadap filem anti-Islam Innocence of Muslims, kerajaan Perancis terpaksa mengambil langkah
keselamatan menutup kedutaan, konsulat, pusat kebudayaan dan sekolah
antarabangsa miliknya di lebih 20 negara umat Islam.
Menteri Luarnya, Laurent Fabius, malah menganggap kesengajaan Charlie Hebdo itu tidak ubah ibarat
“menuangkan minyak ke dalam api” kemarahan umat Islam serata dunia ketika itu.
Pejabat majalah itu turut diberikan kawalan ketat.
Submission
Submission ialah filem pendek berdurasi 10 minit dihasilkan
pengarah dan penerbit filem Belanda, Theodoor “Theo” van Gogh. Ia dihasilkan
berdasarkan skrip ditulis Ayaan Hirsi Ali, Ahli Parlimen Belanda kelahiran
Somalia.
Filem ini menyentuh apa yang didakwa sebagai keganasan terhadap wanita di
sebilangan masyarakat Islam; dengan menggunakan teknik visual, ia menceritakan
kisah empat wanita Islam yang didakwa didera.
Tajuknya, Submission, ialah terjemahan perkataan "Islam", bermaksud
“penyerahan”, merujuk kepada penyerahan diri umat Islam kepada Tuhan. Di dalam
filem ini, wanita berbogel dengan teks al-Quran tertulis di badan mereka dan
dilitupi pakaian separuh lutsinar dipaparkan sedang melutut dan berdoa,
seolah-olah meluahkan penderitaan mereka kepada Allah.
Pada Ogos 2004, selepas Submission
ditayangkan di tv awam Belanda, Van Gogh and Hirsi Ali menerima ancaman bunuh. Sementara
Hirsi Ali menyembunyikan diri, Van Gogh sebaliknya tidak mengambil ancaman itu
suatu yang serius dan menolak diberikan perlindungan keselamatan.
Sebelum itu pun, Van Gogh memang sudah dikenali sebagai
seorang yang sangat kuat mengutuk Islam, terutama selepas serangan 11 September
2001 ke atas Pusat Dagangan Dunia, di New York, AS. Bukunya yang menyusul
selepas itu (2003) bertajuk Allah weet
het beter (Allah lebih mengetahui) sarat dengan kutukan dan penghinaannya
terhadap agama Islam.
Pada pagi 2 November 2004, Van Gogh ditembak mati ketika
berbasikal dalam perjalanan ke pejabatnya di Amsterdam Eastborough. Ekoran
kejadian itu, pihak keselamatan Belanda menahan sebilangan individu Islam yang
disyaki terlibat. Manakala bantahan masyarakat awam mensasarkan masyarakat
Islam turut tercetus.
Lebih seratus serangan fizikal ke atas orang-orang Islam
direkodkan. Berbelas masjid dan pusat kepentingan umat Islam turut menjadi
sasaran pengkhianatan, termasuk beberapa buah sekolah rendah Islam yang
dilontar bom api.
Jyllands-Posten
Jyllands-Posten ialah sebuah akhbar Denmark. Kontroversi mengenainya
tercetus ekoran tindakannya menyiarkan 12 karikatur yang didakwa menggambarkan
Nabi Muhammad saw dalam berbagai gaya dan perbuatan. Karikatur itu disiarkan
pada edisi 30 September 2005, dengan tajuk "Muhammeds ansigt", bermaksud
"Wajah Muhammad".
Masyarakat Islam Denmark membantah dan isu itu kemudiannya mencetuskan protes
seluruh dunia. Kemuncak protes berlaku empat bulan kemudian, iaitu antara lewat
Januari dan awal Februari 2006.
Kedutaan Denmark di Pakistan dibom. Kedutaannya di Syria, Lubnan dan
Iran pula dibakar. Sebilangan syarikat multinasional dari negara-negara Arab
memboikot urusan dagang dengan syarikat-syarikat Denmark. Di beberapa negara,
protes aman bertukar ganas, mengakibatkan keseluruhannya lebih 100 nyawa
terkorban.
Perdana Menteri Denmark, Anders Fogh Rasmussen menyifatkan apa yang
dialami negaranya itu sebagai krisis antarabangsa paling buruk sejak Perang
Dunia II.
Taslima
Nasreen
Taslima Nasreen adalah penulis kelahiran Bangladesh yang sangat
konsisten melontarkan pertikaian terhadap hukum dan peraturan Islam, khususnya
bersabit hal ehwal wanita. Bukan sekali-dua, malah berkali-kali beliau
menghasilkan karya yang mengundang kontroversi, sekaligus membuakkan kemarahan
umat Islam.
Sikapnya itu berkekalan sedari awal dekad 90-an hingga kini. Kerap kali
pula subjek dipertikaikannya itu menyerlahkan lagi kecetekan ilmunya terhadap
hukum dan peraturan Islam dimaksudkan.
Walau pun dilahirkan di dalam sebuah keluarga Islam, Nasreen memilih untuk
menjadi seorang atheis. Manakala di dalam penulisannya, beliau mengambil
pendekatan feminis.
Hasil karyanya tidak begitu diperkatakan orang, sehinggalah terbitnya novel
Lajja (Keaiban) pada 1993. Novel ini mengisahkan bagaimana sebuah
keluarga Hindu dihukum oleh masyarakat Islam. Ia turut memaparkan grafik
menceritakan bagaimana seorang wanita Hindu dirogol lelaki Islam. Buku ini diharamkan
oleh kerajaan Bangladesh pada tahun sama.
Penerbitan novel ini jelas cubaan memfitnah umat Islam. Ia membangkitkan
kemarahan mereka. Akibatnya, Nasreen berdepan serangan fizikal, kutukan dan
ancaman.
Pada Oktober 1993, sebuah kumpulan fundamentalis Islam dinamakan Majlis
Tentera Islam menawarkan ganjaran untuk kematiannya. Pada Ogos 1994, beliau
didakwa di mahkamah atas dakwaan mengeluarkan kenyataan menghina Islam dan
berdepan ancaman bunuh daripada kumpulan fundamentalis.
Selepas menghabiskan masa dua bulan menyembunyikan diri, di penghujung 1994,
beliau memboloskan diri ke Sweden. Beliau tidak pernah dapat kembali ke
Bangladesh selepas itu, sebaliknya hidup dalam pelarian di Eropah Barat dan
Amerika Utara selama sedekad. Pasportnya dibatalkan oleh kerajaan Bangladesh,
sebaliknya diberikan kerakyatan oleh Sweden, dan hidup di Jerman.
Antara 2004-2007, beliau tinggal di Kolkata, India. Di kesempatan itu
beliau meneruskan tabiatnya yang suka mengusik hukum dan peraturan Islam
menerusi tulisan di akhbar tempatan. Umat Islam bangkit membantah dan mendesak
tindakan sepatutnya oleh pihak pemerintah. Beliau akhirnya dipaksa meninggalkan
India pada Mac 2008.
Di antara kenyataannya yang paling dipertikaikan ialah apabila beliau menyifatkan
perkahwinan hanyalah sebagai lesen untuk kaum lelaki menjadikan wanita (isteri)
sebagai hamba seks dan mangsa deraan.
Di kesempatan lain, Nasreen mempersoalkan kenapa wanita
Islam perlu menerima hukuman sama berat dengan kaum lelaki, sedangkan dalam hal
pembahagian harta pusaka kaum itu hanya berhak memperolehi separuh bahagian
diperolehi kaum lelaki. Begitu juga dalam bab kesaksian, penerimaan kesaksian
daripada seorang lelaki sama nilai dengan dua saksi wanita. Justeru, beliau
mencadangkan agar wanita yang didapati bersalah melakukan apa-apa sepatutnya
menerima hanya separuh hukuman berbanding lelaki (buku Nirbachita Column)
Banyak juga kenyataannya disifatkan para ulama terhasil
ekoran kedangkalannya terhadap ilmu agama, sebaliknya menjadikan pemikiran
logik akal sebagai sandaran. Antaranya apabila beliau menulis, ‘wanita Islam
berhak melalukan hubungan seks dengan 72 jejaka sewaktu hidup ini, memandangkan
mereka tidak akan mendapat keistimewaan ini di syurga nanti” (berbanding lelaki
yang dijanjikan bidadari syurga).
Kemudian, Nasreen memperlekehkan amalan melontar Jamrah
dalam ibadat Haji. Katanya, “apabila Allah tidak dapat membunuh syaitan, lalu
bagaimana mungkin orang Islam dapat membunuhnya dengan melontar anak-anak
batu?”
Hingga kini sikap yang suka mempertikai (baca:
Mempersenda) hukum Islam itu tidak berubah. Beliau juga kekal hidup dalam
pelarian dan ketakutan di Eropah.
The Satanic
Verses
The Satanic
Verses ialah karya keempat oleh Salman Rushdie, diterbitkan
pada 1988 dan sebahagiannya mengambil inspirasi kehidupan Nabi Muhammad saw. Novel ini mencetuskan kontroversi meluas
apabila umat Islam berasa terhina oleh persendaan dibentangkan di dalamnya.
Novel ini antara lain menghidangkan gubahan
semula periwayatan kisah hidup Nabi saw menerusi watak bergelar “Mahound” atau
“Messenger” yang hidup di sebuah tempat bernama “Jahilia” (dimaksudkan kepada
Mekah). Mainan bahasanya dalam menggambarkan watak utama ini sangat jijik,
tidak bertanggungjawab dan amat biadab terhadap kemuliaan Nabi saw.
Di dalam bab lain digambarkan juga sebilangan
isteri nabi di dalam watak sebagai pelacur.
Kemuliaan kitab suci al-Quran dan risalah
kenabian Baginda saw turut dinodai menerusi perbuatan sebilangan watak
“sahabat” Nabi yang bukan sahaja mempertikaikan kenabian Baginda, malah sewenangnya
mengabaikan ajaran kitab suci itu.
Sepertimana pengkarya lain, Rushdie dan
khalayak yang menyokong novel ini berhujah di atas kebebasan bersuara. Ia dianggap
tidak lebih daripada satu karya kreatif yang tidak perlu dibantah atau dianggap
menghina Islam.
Bantahan di kalangan umat Islam bagaimana pun
semakin meluas. Rushdie dianggap menyalahgunakan kebebasan bersuara dan
berkarya. India mengharamkan pengimportan buku itu. Sejumlah naskhah novel itu
dibakar dalam demonstrasi di beberapa negara. Satu-satunya negara bermajoriti
penduduk Islam yang tidak mengharamkan novel tersebut ialah Turki.
Pada 14 Februari 1989, Ayatollah Ruhollah
Khomeini, pemimpin agung Iran mengeluarkan fatwa agar Rushdie dibunuh. Kerajaan
British terpaksa memberikan perlindungan 24 jam kepada beliau.
Walau pun Rushdie sendiri tidak pernah diserang akibat karyanya itu, beberapa
pihak yang ada hubungkait dengan novel tersebut menerima akibatnya. Antara yang
menjadi mangsa ialah penterjemah berbangsa Jepun, Hitoshi Igarashi, yang
ditikam hingga mati pada 11 Julai 1991. Di bulan sama Ettore Capriolo,
penterjemah Itali, cedera parah ditikam.
William Nygaard, penerbit di Norway, ditembak di Oslo pada Oktober 1993,
tapi terselamat. Manakala penterjemah Turki, Aziz Nesin, turut menjadi sasaran
cubaan bunuh.
(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Bil;10 (November 2012) di Kolum "SOROTAN SEMASA" dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment