Oleh: Mat Zain Mat Isa
BUKAN suatu hal yang mudah bagi pemimpin sebuah organisasi politik
seperti PAS untuk mengawal kesemua pengikut dan penyokongnya pada semua
keadaan. Selain kepelbagaian latarbelakang pendidikan dan tahap berfikir, ahli
dan pendukung parti itu juga ada pengalaman tersendiri berdepan berbagai karenah
dan laku khianat parti lawan.
Hal itu antara faktor memudahkan mereka mengambil tindakan yang kekadang
dinilai sebagai tidak menguntungkan parti. Namun, jangan ditolak hakikat
bahawa, walau pun tanpa arahan kepimpinan parti, ia sebenarnya di atas semangat
dan kesungguhan membela dan mempertahankan PAS, terutama daripada dipermain dan
dipersenda para penyokong parti lawan.
Sebab itu di mana jua kawasan yang menyaksikan pertembungan sengit
antara PAS dan parti lawan, khususnya Umno, kes-kes ketegangan antara penyokong
kedua-dua parti sering kedengaran. Lebih-lebih lagi di saat kempen sesuatu
pilihan raya memuncak, pantang ada suatu tindakan yang dianggap mencabar, ahli
dan pendukung PAS akan segera bertindak balas.
Di Terengganu khususnya, ketegangan dan perang mulut antara kedua-dua
pihak di pintu masuk ke pusat-pusat membuang undi adalah fenomena biasa saban
pilihan raya. Apatah lagi dalam banyak keadaan para petugas dan penyokong PAS
menganggap mereka sering menjadi mangsa ketidakadilan pihak pengurus pilihan
raya.
Pernah berlaku misalnya, peraturan mengenai pembinaan “bangsal panas”
tidak dikuatkuasakan sama ketat antara pihak PAS dan Barisan Nasional (BN).
Sementara petugas PAS cenderung akur kepada garisan sempadan ditetapkan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN pula kerap memanipulasi kuasanya untuk
“menceroboh” larangan itu. Manakala pihak SPR yang diajukan aduan gagal
mengambil tindakan memperbetulkan keadaan.
Hakikat bahawa sebilangan petugas SPR itu sendiri adalah pendukung kuat
BN juga amat merimaskan petugas dan penyokong PAS. Wewenangan mereka berbual
dan berinteraksi dengan bebas di kawasan pembuangan undi, termasuk dengan para
pengundi yang menuju ke bilik mengundi, tambah membuakkan perasaan tidak puas
hati penyokong PAS yang hanya memerhati dari luar kawasan.
Hal ini diakui Pengerusi Lajnah Guaman PAS Negeri Terengganu, Haji Abdul
Haris Malik. Katanya, salah satu unit BN yang bebas hadir dalam kawasan
mengundi, dan menimbulkan perasaan amat tidak senang di kalangan penyokong PAS
ialah pasukan Rela (Ikatan Relawan Rakyat Malaysia).
“Rela ni memanglah orang BN, tapi dia hadir (ke pusat membuang undi di
hari pengundian) secara berperaturan, hadir kerana bertugas membantu SPR
mengurus tempat mengundi. Jadi, dia bebas bergerak di kawasan mengundi,
menyebabkan walau pun kita tengok dia bercakap dengan pengundi, kita susah nak
bantah”, ujarnya.
Abdul Haris menyatakan demikian dalam sessi Dialog Manifesto PAS
Terengganu untuk PRU-13 yang diadakan di Besut, Sabtu (13 Oktober) lalu. Selaku
pengamal undang-undang dan orang dipertanggungjawabkan PAS untuk menghadam
segenap aspek peraturan undang-undang pilihan raya, beliau lantas menegaskan
agar para petugas dan penyokong PAS tidak terlalu merasa takut untuk bertindak
dalam keadaan sedemikian.
“Jangan terlalu rigid (terkongkong) oleh peraturan, sehingga kita takut
nak ambil tindakan mencegah kesalahan dibuat parti lawan. Kalau saudara ada
kekuatan, ada keberanian dan sanggup berdepan keadaan, bertindaklah segera.
Kalau perlu tampar (pelaku kesalahan), tamparlah!”, ujar beliau.
Ya, tindakan tampar-menampar bukan suatu yang main-main. Ia berisiko
mengheret mana-mana pihak terlibat ke episod-episod seterusnya yang belum tentu
memihak kepada PAS. Namun, sebagaimana disebutkan di atas, ada ketikanya
tindakan itu adalah paling baik dan paling sesuai untuk menghadapi keadaan.
Lebih-lebih lagi sekiranya ia mampu membantu memastikan kesalahan sama tidak
diulangi pihak lawan, sekaligus memberikan kebaikan kepada PAS.
“Saya sangat setuju dengan saranan tuan lawyer (peguam Abdul Haris) supaya tampar tu. Pengalaman saya
sendiri dalam satu pilihan raya, petugas kita (PAS) nampak Mat Bangla (warga
Bangladesh) nak masuk mengundi. Kita tak tanya dah, sebab sahih dia memang Bangla,
kita terus bagi penampar. Alhamdulillah, bukan setakat dia (yang) lari, tak
jadi mengundi, kawan-kawan dia (warga Bangladesh lain) yang baru mari pun lari
sama”, ujar serang peserta dialog itu.
Apa yang diluah dan dilontarkan kedua-dua mereka itu merupakan realiti
yang wujud di pentas politik, khususnya di Terengganu, negeri yang diterajui
oleh kumpulan Umno paling jahat dalam negara.
Sebab itu, walau pun para pemain dan pemerhati politik di negeri lain
mungkin terlintas untuk menganggap pendekatan diambil para pendukung PAS itu agak
keterlaluan atau tidak bijak, mereka sebetulnya wajar mendalami dan memahami
realiti politik Terengganu dengan lebih baik.
Kejahatan dan kebongkakan BN dalam memanipulasi kuasa untuk menjamin
kemenangannya amat menguji kesabaran. Masakan tidak jika Presiden PAS sendiri
pernah menyarankan bahawa “jika (halau pengundi hantu) dengan ayat Kursi tak
menjadi, kita guna kerusi”. Ertinya, sampai tahap tertentu, kebajingan BN perlu
dihadapi dengan tindakan fizikal.
(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1785, 3-5 Zulhijjah 1433/19-21 Oktober 2012 di ruangan 'KOLUMNIS F21' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment