Sunday, October 14, 2012

Anak muda realisasikan ‘Politik Harapan Baru’


Oleh: Mat Zain Mat Isa

SEKALUNG tahniah buat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu kerana sekali lagi berjaya menyempurnakan satu agenda besar parti itu, dengan berlangsungnya Himpunan Kebangkitan Rakyat PGU5.0 di Jabi, Besut, minggu lalu. Tidak syak lagi usaha menghimpun puluhan ribu manusia menjayakannya tentu sekali melibatkan proses mobilisasi massa yang bukan sedikit dan bukan juga dalam tempoh yang singkat.

Dianggarkan lebih 30,000 khalayak pendukung Pakatan Rakyat negeri itu hadir menzahirkan sokongan dan kebersamaan mereka dengan PAS. Semangat dan tekad mereka berkobar-kobar mahu merealisasikan hasrat ‘PAS Ganti Umno’, sama ada di peringkat negeri Terengganu mahu pun Pusat.

Sepertimana lain-lain himpunan anjuran PR, khususnya PAS mutakhir ini, fenomena paling menyerlah di sepanjang PGU5.0 adalah penyertaan dan penglibatan aktif anak-anak muda. Kelibat mereka dapat dilihat di mana-mana dan pada hampir setiap masa. Sama ada di kalangan petugas pelbagai unit, di antara peserta yang datang silih-berganti mahu pun para peniaga yang ikut menyemarakkan acara himpunan itu, majoriti mereka adalah khalayak berusia 40-an dan ke bawah.

Bahkan, pengarah himpunan besar itu juga seorang anak muda. Siapa lagi kalau bukan Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong. Anak muda itu telah membuktikan bahawa berbekalkan tunjuk ajar pemimpin terdahulu, generasi pelapis kini mampu tampil menerajui massa menuju masa depan lebih cemerlang.

Amat kena dengan fenomena dan perkembangan itu apabila PAS sendiri selaku penganjur memaksimakan aturcara membabitkan khalayak muda. Selain acara sukan pada petang hari pertama dan pagi hari kedua, yang sudah tentu dikhususkan kepada para pemuda, pengisian petang kedua juga lebih terarah kepada memaut kehadiran golongan itu. Bukankah penampilan selebriti Bob Lokman dan Ustaz Azhar Idrus lebih serasi dengan jiwa anak-anak muda?

Dua kumpulan yang mengiringi dua pemimpin utama dari dua arah bertentangan ke tapak himpunan pada petang hari kedua juga dianggotai rata-rata khalayak muda. Konvoi pacuan empat roda mengiringi Dato’ Seri Tuan Guru Presiden dari arah selatan disertai insan-insan berjiwa ‘muda’. Manakala konvoi bermotosikal mengiringi Tuan Guru Dato’ Mursyidul Am PAS dari arah utara juga dikuasai anak-anak muda.

Dengan pakaian tema hijau, disertai kibaran bendera bulan, ratusan anak muda bermotosikal berarak sejauh tujuh kilometer dalam keadaan sangat tertib dan penuh dispilin. Tanpa dikerah, tanpa diupah, mereka tampil secara sukarela ikut memeriahkan perarakan itu. Kebanggaan turut terserlah di wajah masing-masing kerana diberikan penghormatan mengiringi pemimpin kesayangan ummah itu.

Manakala pasukan ‘Tentera Merah’ yang mewarnai aturcara perbarisan di pentas utama sewaktu majlis perasmian, juga rata-rata dianggotai anak-anak muda. Mereka ini jugalah yang melaksanakan berbagai tugas melicinkan perjalanan himpunan dua hari dua malam itu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa orang utama di sebalik kejayaan dan kesediaan PAS meraikan kebangkitan anak-anak muda ini ialah Mohd Abdul Wahid Haji Endut. Pesuruhjaya PAS Terengganu itu bukan sahaja berpengalaman luas meneraju sayap pemuda parti, malah penampilannya yang sentiasa segak dan bertenaga tidak memungkinkan orang mengkategorikan beliau dari kalangan ‘orang tua’.

Dalam ertikata lain, beliau dalam banyak keadaan masih dianggap ‘orang muda’, atau lebih tepat disebut sebagai ‘pemimpin kepada generasi muda’ di dalam PAS.

Apatah lagi sejak diberi amanah menerajui PAS negeri, banyak pendekatan diambilnya dilihat sangat ‘mesra anak muda’. Kabinet pertama dibentuknya di peringkat negeri dibarisi tenaga-tenaga muda. Sehinggakan, selain Ketua Dewan Ulama, Ketua Keselamatan dan Ketua Dewan Muslimat, penjawat utama lain adalah tenaga-tenaga muda.

Pendekatan dalam program dianjurkan PAS negeri juga banyak mengambilkira kepentingan dan kehendak anak-anak muda. Suatu contoh yang tidak mungkin dapat dilupakan, terutama oleh anak-anak muda pendukung PAS Terengganu ialah kesediaan Abdul Wahid ikut bersama mereka ke dalam stadium menyaksikan perlawanan akhir bolasepak Piala Malaysia antara Terengganu menentang Negeri Sembilan Oktober tahun lalu.

Memang itu sesuatu yang belum pernah dilakukan kepimpinan sebelum ini. Perbetulkan penulis andai tersilap, rasanya belum ada seorang Pesuruhjaya PAS Terengganu sebelum beliau yang sanggup sama-sama berpeluh di celah puluhan ribu penyokong pasukan hitam-putih, walau pun di atas dasar meraikan anak-anak muda.

Kehadiran Abdul Wahid di Stadium Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, malam itu tidak syak lagi menghasilkan imej dan implikasi politik sangat signifikan, khususnya dalam konteks memaut perhatian dan sokongan anak-anak muda negeri penyu itu.

Sementara ada pihak menganggap apa yang dilakukannya malam itu sekadar lakonan dan bukannya dari tabiatnya yang gemarkan acara sukan, tidak sedikit pula khalayak yang memerhati dari jauh menilainya sebagai sesuatu menepati slogan “Politik Harapan Baru” yang dicanangkan pihak tertentu di Terengganu. Slogan itu sebenarnya muncul mengiringi pengumuman Abdul Wahid sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu yang baru, sejurus selepas Muktamar Tahunan PAS, 2011 lalu.

Barangkali di antara individu yang terpaut dengan “kelainan peribadi” dipamerkan Abdul Wahid itu ialah jirannya, Ahmad Amzad Hashim. Anak muda yang mengepalai Kelab Profesional Muda Terengganu ini adalah salah seorang di antara tiga tokoh masyarakat yang mengisytiharkan kemasukan ke dalam PAS di pentas PGU5.0 minggu lalu.

Beliau juga ikut menyerikan pentas di malam terakhir dengan ucapan sulungnya sebagai ahli PAS. Tidak mengejutkan, di antara lontaran menarik beliau dalam ucapan itu ialah pengakuannya bagaimana sifat Abdul Wahid yang murah dengan senyuman telah menjadi antara pendorong beliau berada di pentas itu malam itu.

Kesemua watak disebutkan di atas adalah anak-anak muda, sama ada muda pada usia atau muda pada perwatakan dan pendekatan politik mereka. Mereka inilah yang kelihatan begitu hampir merealisasikan “Politik Harapan Baru” buat rakyat Terengganu, insya Allah!

(Artikel ini adalah versi asal (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil:1784, 29 Zulkaedah 1433/15 Oktober 2012 di ruangan 'F8 KOLUMNIS' dengan tajuk "Merealisasikan 'Politik Harapan Baru'")

No comments:

Post a Comment