Sunday, October 7, 2012

Perlukah berhabis wang untuk tarikan baru pelancongan?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

SEMPENA Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, negeri itu dilaporkan telah menyusunatur tidak kurang 27 acara atau produk khusus bagi menjayakannya. Berbekalkan kesungguhan itu, pihak penganjur berharap akan dapat mencapai sasaran kehadiran empat juta pelancong ke negeri itu sepanjang tahun depan.

Salah satu yang telah diuar-uarkan kerajaan negeri ialah pembukaan sebuah Kem Gajah, sebagaimana telah sepintas lalu disentuh dalam coretan lalu. Difahamkan usaha sedang dipergiat agar kem terletak di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu itu dapat beroperasi sepenuhnya bermula Februari depan.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said kelihatannya antara orang paling ghairah untuk melihat projek “taman haiwan” terbarunya itu direalisasikan. Agaknya kecintaannya terhadap haiwan peliharaan sudah bersebati dengan dirinya, ya? Sebab itu beliau sanggup berhabis puluhan juta untuk manfaat haiwan-haiwan itu, walau pun di masa sama terpaksa mengorbankan keperluan pembiayaan pelajaran sejumlah pelajar anak negeri itu.

Dalam kes kem gajah ini, sepertimana dilaporkan sebuah akhbar harian, 24 September lalu, Ahmad bagaikan mengetahui ‘A sampai Z’ berhubung konsep dan kaedah pengoperasiannya.

Sepertimana lazimnya di waktu mengumumkan apa-apa projek baru bikinan kerajaannya, Ahmad hanya tahu mengkhayalkan pencapaian terbaik. Justeru, dalam kes ini beliau turut melontarkan pengharapannya bahawa kem yang dibahagikan kepada tiga komponen itu akan menyajikan pengalaman menarik dan mencabar kepada pengunjung.

“Pengunjung boleh menyaksikan pertunjukan gajah yang dilatih oleh jurulatih-jurulatih haiwan itu dari Thailand. Malah, pengunjung juga boleh beriadah di kawasan air terjun di situ,” akhbar itu memetik katanya.

Menurutnya, kem itu mengambil inspirasi pusat penempatan gajah terkenal seperti di Thailand dan Kuala Gandah, Pahang. Di kawasan kem itu akan disediakan dua chalet atas pokok. Bagi melahirkan pengalaman atau cabaran tambahan, para pengunjung yang mahu menginap di situ akan dibawa oleh gajah jinak ke pusat penginapan. Manakala untuk naik ke chalet itu, pengunjung akan menggunakan tangga yang boleh dilipat.

Ahmad juga memberitahu, kem berkenaan nanti akan mempunyai 10 ekor gajah. Ia juga akan menempatkan gajah separuh liar yang dibiarkan bebas di kawasannya, sementara pengunjung boleh meninjau lokasi itu dengan menyusuri jambatan gantung.

Kata Ahmad lagi, empat stesen turut dibina bagi menghubungkan jambatan gantung berkenaan dengan satu daripadanya stesen paling tinggi yang membolehkan pengunjung meninjau keseluruhan kawasan Empangan Kenyir.

Bagi sesiapa yang membaca sambil cuba membayangkan apa yang diceritakan Ahmad itu, pasti akan terpesona dan tertarik. Mungkin ada yang mengangkat ibu jari kepada kerajaan negeri di atas kebagusan idea ini. Tidak kurang juga barangkali ada yang tertunggu-tunggu untuk memasuki senarai pengunjung terawal ke kem penuh mencabar itu.

Namun, bagi khalayak yang agak biasa dengan lontaran gambaran positif sedemikian sebelum ini, projek Kem Gajah ini barangkali dianggap tidak lebih sebagai satu lagi “idea Mat Jenin” oleh Ahmad. Bahawa para pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN), termasuk Ahmad, seakan tidak pernah serik dengan kegagalan projek-projek seumpama itu, menyebabkan mereka tidak begitu ghairah mengalu-alukannya.

Asas utama tanggapan sedemikian ialah betapa ini bukan kali pertama (atau projek pertama) yang diberikan gambaran (atau lebih tepat disebut ‘khayalan’) terlalu positif itu. Penulis telah membawakan contoh apa yang berlaku ke atas Taman Burung, juga di Tasik Kenyir. Begitu juga dengan projek Zoo Mini Kemaman.

Sewaktu memperkenalkan kedua-dua projek tersebut kepada umum dulu, segala yang digambar dan dikhayalkan hanyalah pencapaian sangat positif. Sehinggakan apabila dipersoalkan kenapa kerajaan negeri sampai berbelanja ratusan ribu hanya untuk beberapa ekor itik-angsa, jawaban yang diberikan antara lain ialah supaya “rakyat Terengganu tidak perlu berbelanja besar ke luar negara untuk melihat” itik-angsa spesies berkenaan.

Kononnya taman itu bakal menjadi tarikan utama pelancong ke Terengganu, khususnya zon Tasik Kenyir. Kononnya lagi, rakyat Terengganu, khususnya penduduk berdekatan taman itu juga bakal memperolehi manfaat ekonomi ekoran pembukaannya.

Skrip serupa turut dilagukan Ahmad tatkala diterjah pelbagai pihak berhubung wewenangannya membelanjakan ratusan juta wang rakyat untuk merealisasikan hobinya menerusi Zoo Mini Kemaman.

Kedua-dua taman haiwan itu memang menjadi buah mulut rakyat Terengganu. Namun, bukan kerana keunikannya yang mampu dinikmati para pengunjung, tetapi kerana pengoperasiannya yang tidak begitu membanggakan. Sedangkan setiap sen dihabiskan di situ adalah dari peruntukan negeri.

Akhirnya, cakap-cakap lebih popular membayangkan bahawa taman haiwan itu hanyalah suatu lagi bentuk pembaziran wang rakyat. Ia dinilai tidak dirancang dengan teliti. Ia akhirnya seakan “terbengkalai”, lantaran gagal diurus dengan baik. Manakala pulangan dalam bentuk kehadiran para pelancong yang berduyun-duyun ke situ hingga kini masih tinggal khayalan. Akhirnya duit rakyat yang dilaburkan di situ lebur begitu saja.

Sedangkan jika ia benar-benar diurus dan dipertingkatkan mutu pengoperasiannya, atau diberikan “nilai tambah” dalam beberapa aspek persembahannya, tidak mustahil taman yang telah pun menghabiskan sebegitu banyak wang rakyat itu juga sudah cukup untuk menarik kehadiran pelancong.

Kes serupa juga terserlah pada lain-lain produk atau tarikan pelancongan. Terengganu sebenarnya tidak kurang perkara-perkara menarik yang boleh dimanfaatkan. Negeri iti ada khazanah alam yang agak lengkap berbanding lain-lain negeri-negeri di seluruh Malaysia.

Terengganu ada pulau-pulau indah, dengan yang air tenang dan jernih. Ia ada tasik, lata dan air terjun. Ia ada bukit-bukit dan pantai-pantai indah.

Produk Terengganu juga banyak, daripada makanan, pakaian dan peralatan rumah. Ia tersohor dengan keropok lekor dan nasi dagang, selain kain batik, sutera tenun, barangan tembaga dan hasil kraf lain, terutama anyaman.

Ertinya, Terengganu sebenarnya tidak kurang destinasi dan produk pelancongan yang mampu dilonjak dan diberikan nilai tambah sebagai tarikan. Kerajaan negeri itu sebenarnya tidak perlu berhabis puluhan atau ratusan juta lagi untuk membuka Kem Gajah di Pengkalan Gawi itu, kerana tanpanya pun pelbagai produk pelancongan sedia ada di Terengganu mampu menggamit kehadiran pelancong luar.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang (sebelum potong) kepada versi disiarkan akhbar Harakah Bil: 1782, 22-25 Zulkaedah 1433/8-11 Oktober 2012 di ruangan 'F8 KOLUMNIS' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment