Oleh: Farah Zahra’ Nasir
Kehidupan pasangan Kam Teck Hoe dan Tan Hup Neo tiada bezanya berbanding keluarga masyarakat Cina lain di Kelantan. Sebagai warga bandar Kota Bharu di era 30-an dan 40-an dulu, tabiat bergaul mesra dengan masyarakat Melayu saban hari bukanlah hakikat hidup yang asing buat keluarga dari Kampung Sireh ini.
Aturan hidup yang sama turut diterapkan kepada anak-anak. Sedari awal usia lagi mereka dibiasakan bergaul dan berkawan dengan rakan sebaya berbangsa Melayu.
Dalam kebiasaan sama juga lah salah seorang anak mereka, Kam Chin Guan dibesarkan. Di Sultan Ismail School (kini Sultan Ismail College), anak yang dilahirkan pada 1939 ini langsung tidak kekok berkongsi seluruh suasana persekolahan bersama kawan-kawan berbangsa Melayu.
“Saya bersekolah di Sultan Ismail School dari Darjah Satu sampai Tingkatan Lima. Masa sekolah tu, ramai kawan Melayu. Memang ada influence (pengaruh) sikit-sebanyak dari kawan-kawan,” akui Chin Guan.
Beliau yang kini dikenali Haji Kamaruddin Abdullah mengimbau kembali detik-detik awal mengenali Islam. Menurutnya, pada mulanya pengetahuan mengenai agama suci ini hanya secara tidak langsung menerusi kawan-kawan. Ia bagaimana pun beransur menjadi lebih serius seiring peningkatan usianya.
Chin Guan melanjutkan pelajaran ke Maktab Kirkby. Sebaik tamat pengajian, pada 1961 beliau memulakan tugas sebagai guru Matematik di Tengku Mahmud School (TMS – kini Sekolah Menengah Tengku Mahmud), di Besut, Terengganu.
Sejak itu beliau dikenali di kalangan penduduk sekitar pekan Alor Lintang, khususnya warga TMS sebagai ‘Mr Kam’. Panggilan itu kekal hingga kini walau pun telah memeluk Islam dan menukar namanya.
“Dia sendiri pilih nama Kamaruddin (sebagai nama Islamnya), memang sengaja pilih tu, bagi kena dengan singkatan ‘Mr Kam’ tu,” celah isterinya, Puan Hajjah Fatimah @ Wan Kalthom Ibrahim, seraya tersenyum.
Pesara guru Bahasa Inggeris berusia 67 tahun ini adalah anak jati Kampung Amer, Besut, tidak jauh dari rumah mereka sekarang. Beliau adalah pelajar di TMS sewaktu Mr Kam mula-mula mengajar di situ. Perkenalan ‘guru-pelajar’ itu akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin pada 1964.
Mr Kam hanya mengangguk sambil mengukir senyum, mengiyakan imbauan nostalgia oleh isterinya itu. Sememangnya banyak sebab yang mewajarkannya berbangga dengan kenangan silam amat manis itu.
TMS bukan sahaja menemukan mereka berdua, malah kehidupan di sekolah sama juga membugarkan keinginannya menerima agama suci ini. Iinteraksi harian bersama rakan-rakan setugas banyak membantu beliau mengenali Islam secara lebih dekat. Justeru, selepas hanya kira-kira dua tahun berada di Besut, beliau melafazkan syahadah.
“Saya masuk Islam di sini (Besut), tahun 1963. Selain kawan-kawan, satu orang paling banyak dorong ialah seorang alim di Kampung Amer, Haji Nik Osman. Orang panggil dia Pak Nik Man. Dia ni macam bapa angkat saya, selalu beri pandangan (mengenai Islam),” cerita Mr Kam.
Baginya, tok imam masjid kampung itu memang seorang yang istimewa. Sifat Pak Nik Man yang tidak mengutamakan perkara lain selain semata-mata mengajar agama, amat menyentuh hati Chin Guan.
“Dia tidak macam setengah orang, bila ngajar ada imbuhan. Dia tak ada, dia ikhlas, tak ambil duit. Kalau orang nak bagi beras se leng (setengah cupak), dia ambillah, itu aje.
“Selain tu, saya tengok Pak Nik Man ni dia tak cara kat orang, tak caci orang, dia sangat liberal. Jadi saya sangat tertarik dengan sikap dia tu,” Mr Kam menggambarkan keperibadian insan itu.
Penghayatannya terhadap agama baru ini semakin mudah selepas mendirikan rumahtangga. Selain isterinya yang sering dijadikan teman berbincang mengenai ajaran Islam, nenek isterinya yang menjadi tempat mereka bernaung hidup juga banyak menunjuk ajar Mr Kam mengenai hukum agama dan berbagai amal ibadat.
Agak beruntung baginya apabila kehidupannya tidak berdepan banyak karenah. Beliau bukan sahaja memiliki kerjaya yang baik dan menjamin keperluan hidupnya, malah masih mampu mengekalkan hubungan mesra dengan keluarga asalnya.
Kehidupan baik ditakdirkan Allah Ta’ala ke atasnya itu bagaimana pun tidak menghalangnya memikirkan nasib menimpa rakan-rakan Saudara Kita yang lain. Sebagai seorang yang prihatin, Mr Kam kerap meninjau kehidupan mereka, yang didapatinya tidak seberuntung beliau, sama ada dari sudut memahami agama baru mahu pun mengatur keperluan hidup.
Beliau agak kesal melihatkan sikap khalayak majoriti beragama Islam yang tidak begitu mengambil hirau soal kebajikan dan keperluan Saudara Kita. Baginya, orang Islam hanya ghairah memujuk dan mendorong bukan Islam memeluk Islam.
Malangnya keghairahan itu tidak diteruskan dalam memastikan seseorang saudara baru itu boleh mengatur hidup yang baik selepas bergelar Muslim. Sehinggakan, katanya, ada Saudara Kita yang terpaksa hidup semata-mata di atas belas ihsan orang lain dan sering meminta bantuan ke sana-sini.
“Kita perlu faham mereka ini (Saudara Kita) sebaik memeluk Islam, mereka ibarat sebatang kara, tak ada pertalian dah dengan ibubapa, dengan adik-beradik dia orang, kan? Jadi, mereka perlu ada tempat di mana mereka boleh bergantung harap, mendapatkan sokongan. Harap jangan biarkan mereka sendirian selepas memeluk Islam,” ujar Mr Kam.
Tanpa menafikan Saudara Kita ada diberikan bantuan kewangan oleh agensi tertentu, beliau menilainya sebagai bukan penyelesaian terbaik. Beliau sebaliknya mencadangkan agar mana-mana pihak yang prihatin tampil memberikan mereka tunjuk ajar kemahiran tertentu atau menguruskan pekerjaan tetap untuk Saudara Kita agar mereka tidak terus bergantung harap kepada bantuan kewangan untuk meneruskan hidup sebagai Muslim yang baik.
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 234, Ogos 2011 di ruangan 'hidayah' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment