Sunday, December 27, 2009

Tolak perkauman, PR lebih realistik berbanding BN

Oleh: Mohd Nasir Awang

Secara tersurat, terdapat beberapa perbezaan ketara antara Pakatan Rakyat (PR) dengan Barisan Nasional (BN). Sementara BN dianggotai berbelas parti komponen, PR pula dibentuk hanya tiga pendokong utama, iaitu PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Perbezaan itu memberikan implikasi berbeza kepada kedua-duanya. BN mungkin ada kelebihan dari sudut jumlah suara, sekaligus dianggap lebih kuat memandangkan ia ada lebih ramai jentera mendokongnya.

Namun PR pula ada kelebihan dari aspek mendisiplin anggota. Perkongsian yang melibatkan tiga pihak pada adatnya lebih mudah diuruskan berbanding kesepakatan berbelas parti. Apatah lagi sekiranya setiap anggota itu sering menyuarakan perjuangan berbeza.

Pengalaman politik kedua-dua gabungan itu juga tidak sama. BN telah berusia hampir 40 tahun. Bahkan jika diambil usianya dari asal kewujudan Perikatan (gabungan Umno-MCA-MIC), parti itu sudah pun wujud sebelum kemerdekaan negara. Usianya sudah melebihi separuh abad, sudah masuk umur pencen.

Tentu sekali dalam usia sematang itu, rencah pengalaman BN dalam sepak terajang politik lebih berwarna-warni berbanding PR yang hanya wujud secara lebih bersepakat selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), Mac 2008. Sebelum itu parti-parti gabungannya bertindak secara berasingan dengan persefahaman dan kerjasama sangat terbatas di antara mereka.

Pun begitu, sekadar memiliki usia lebih tua dan pengalaman lebih luas tidak semestinya menjaminkan BN segala kelebihan ke atas PR untuk mendepani percaturan politik seterusnya. Apatah lagi sekiranya permuafakatan BN sedari awal lagi diasaskan di atas persefahaman hanya secara tersurat, sedangkan yang tersirat di dalam agenda berasingan parti-parti komponennya saling bercanggah antara satu sama lain.

Jangan lupa betapa pengalaman dilalui rakyat di bawah pemerintaha BN (Perikatan sebelumnya) sejak lebih separuh abad lalu juga menzahirkan beberapa kekalutan politik yang menghasilkan natijah buruk terhadap keselamatan negara.

Di antara punca utama ialah apabila parti itu gagal membendung sentimen perkauman sempit untuk terus menyubur dalam masyarakat. Lebih malang lagi, BN gagal menyekat barah perkauman itu dari berkembang biak di kalangan parti-parti komponennya sendiri.

Titik paling hitam dalam sejarah negara tentunya Peristiwa Berdarah 13 Mei 1969. Negara nyaris terjerumus ke lembah kemusnahan, bukan ekoran belanjawan negara yang nyaris ditolak seperti minggu lalu, tetapi ekoran api perkauman sempit yang terlalu marak dan sudah tidak dapat dibendung ketika itu.

Perikatan selaku pemerintah negara tidak berupaya merawat kebejatan sentimen itu. Punca utama yang perlu diakui ialah kerana dua parti utamanya, Umno dan MCA, berada di pihak bertentangan. Masing-masing mempertahankan perjuangan kaum sendiri, lalu menyukarkan mereka menyebarkan toleransi kepada pengikut masing-masing di saat genting itu.

Suatu hakikat yang tidak dapat ditolak ialah BN diwujudkan melalui gabungan sebilangan parti utama yang hidup berasaskan perjuangan kaum masing-masing. Bahkan nama-nama parti itu sendiri menerangkan kaum yang setiap mereka wakili. Umno dengan perjuangan ketuanan Melayu, MCA dengan kepentingan Cina dan MIC dengan pembelaan kaum India.

Di Malaysia Timur pun begitu. Komponen utama BN di sana adalah parti-parti untuk kaum tertentu. Ada yang khusus untuk Bansa Dayak, Kadazandusun, gabungan Melayu/Melanau, Cina dan lain-lain.

Hakikat itulah sebenarnya penghalang utama perpaduan kaum. Kuasa politik diperolehi setiap mereka yang dianggap tanda kekuatan dokongan kaum masing-masing dijadikan sandaran untuk setiap parti mempertahankan kepentingan kaum sendiri.

Jika peristiwa 13 Mei dianggap sejarah yang tidak mahu diulang, kecelakaan hampir sama sebenarnya sudah berulang lagi. Jangan cakap anda tidak tahu tentang pertembungan hangat antara parti-parti utama BN di atas isu perkauman. Bukankah api perkauman ekoran pertelagahan Pemuda Umno dengan Pemuda MCA yang mencetuskan Operasi Lalang pada 1987 lalu?

Kini masih bersipongang pertembungan serupa di kalangan mereka. Isu-isu seperti pengajaran Bahasa Melayu di sekolah vernakular, jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang dan subjek teras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanyalah secebis antara isu terkini berasaskan perkauman yang menjadi bagai api dalam sekam yang memamah perpaduan di kalangan komponen BN.

Sebab itu seruan menolak perkauman sempit di kalangan anggota BN tidak pernah berjaya direalisasikan. Hakikat sebaliknya lebih terserlah di kalangan komponen PR. Dasar ketiga-tiga parti adalah parti adalah untuk semua kaum.

Lihat saja secara jujur kepada PKR, DAP mahu pun PAS. Semua kaum ada dalam kepimpinan tertinggi ketiga-tiga parti itu. Paling jelas gabungan kaum ialah pada PKR. Manakala DAP, meski pun didominasi pemimpin Cina, ia turut dianggotai pemimpin India dan Melayu. PAS juga menerima pemimpin Cina dan India, asalkan mereka Islam.

Sebab itu apabila Konvensyen Pakatan Rakyat pertama di Shah Alam, 19 Disember lalu berikrar menolak fahaman perkauman sempit demi menegakkan prinsip keadilan bagi semua kaum, ia dirasakan sesuatu yang realistik untuk dicapai.

Memetik kata Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan perdananya di perhimpunan itu, “kita harus keluar dari kepompong perkauman dan ini adalah dasar perjuangan utama dalam Pakatan Rakyat. Kita tidak akan menang (pilihan raya) sekiranya terus dengan semangat usang yang mempertahankan sudut perkauman”.

Penegasan itu amat selari dan serasi dengan dasar perjuangan parti-parti gabungan PR. Hendaknya selepas ini jangan lagi ada mana-mana parti di antara yang bertiga itu mengutamakan perjuangan sempit untuk kaum tertentu.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0180, 27 Disember 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment