Friday, December 25, 2009

Sejarah kedayusan Umno sukarkan tuntutan Zahid

oleh: Mat Zain Mat Isa

Rumahtangga Barisan Nasional (BN) nampaknya sudah tidak setenang sebelum ini. Suasana hingar-bingar dalam beberapa ‘bilik’ di ‘banglo besar’ itu semakin sukar diredakan. Sebaliknya ia kekadang menerjah ke ruang utama dan bertukar menjadi acara pekik-memekik antara para penghuni ‘bilik-bilik’ berbeza.

Ketika kekusutan dalaman Parti Progresif Penduduk (PPP) masih belum terlerai, MCA juga dilanda krisis kepimpinan. Sementara MIC terpaksa menerima kemunculan parti baru kaum India ekoran kegagalannya memulihkan sokongan kaum itu terhadap BN,.Umno pula menghadapi pergeseran dalaman yang makin menebal terutama di peringkat negeri dan bahagian.

Namun parti yang menghadapi kemerosotan imej paling teruk dalam sejarah kewujudannya tentulah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Ia menghadapi prestasi terburuk dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) tahun lalu.

Parti itu bukan sahaja terlepas genggaman ke atas kerajaan Pulau Pinang, satu-satunya negeri yang diterajuinya, tetapi turut dikuburkan tanpa nesan di situ. Kesemua calonnya yang bertanding di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan empat kerusi Parlimen di Pulau Pinang tewas di tangan pakatan pembangkang.

Tidak lama selepas kekalahan memalukan itu, seorang bekas pemimpin kanan Gerakan meninggalkan parti apabila ditawarkan berkhidmat kepada kerajaan negeri pimpinan DAP.

Minggu lalu pula seorang lagi bekas pemimpin kanan parti itu mengisytiharkan menyertai Parti Cinta Malaysia (PCM), sebuah parti baru berasaskan kaum Cina. Media pada Ahad (20 Disember) lalu melaporkan kejayaan besar bekas Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan, memberikan tamparan hebat kepada bekas partinya itu. Beliau mendakwa menarik keluar 500 ahli Gerakan di cawangan Machang Bubuk, sekaligus membubarkan cawangan berkenaan.

Nasib menimpa Gerakan itu ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga. Melihatkan kesukaran dialaminya itulah barangkali menyebabkan Umno selaku rakan komponen BN ‘menawarkan pertolongan’. Bagi memantapkan kedudukan BN di Pulau Pinang, Umno negeri menuntut jawatan Pengerusi BN negeri yang diperuntukkan kepada Gerakan diserahkan kepadanya.

Ketika mengumumkan keputusan mesyuarat, menganggap tuntutan itu amat wajar demi kebaikan BN.

“Permintaan ini wajar memandangkan Umno Pulau Pinang mempunyai 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan dua Ahli Parlimen berbanding parti komponen lain yang tidak ada wakil (rakyat),” Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mewajarkan tuntutan itu, Sabtu lalu.

Bagai diduga, cadangan Umno itu segera mendapat reaksi negatif Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Seraya menyifatkan tuntutan itu bertentangan dengan tradisi diamalkan BN di negeri itu sejak lebih 35 tahun lalu, Tsu Koon juga tidak menganggap ini masa yang sesuai untuk Umno bangkitkan perkara tersebut.

Meski pun agak tidak realistik bagi sebuah parti yang tidak ada sebarang wakil rakyat mempertahankan kepimpinannya ke atas sebuah parti lain yang ada 11 Adun, Gerakan masih ada sebab sangat kukuh mempertahankan kepemimpinannya di Pulau Pinang. Negeri itu adalah nadi Gerakan. Parti itu tidak pernah menghasilkan pengaruh dan sokongan signifikan di luar Pulau Pinang.

Jika ada pun ia bukan hasil kekuatan tersendiri, tetapi lebih atas ihsan parti-parti rakan dalam BN, khususnya Umno dan MCA yang memberi laluan kepada calon Gerakan bertanding di kawasan dikuasai mereka. Contohnya ialah dua kerusi dimiliki Gerakan kini, iaitu Parlimen Gerik dan Simpang Renggam.

Berbeza dengan Umno, MCA dan MIC yang boleh dikatakan mempunyai kekuatan tersendiri di hampir kesemua negeri, kehilangan kuasa di Pulau Pinang boleh diibaratkan tergadainya pangkalan kekuatan Gerakan.

Di samping itu, faktor sejarah kegagalan Umno sendiri mempertahankan ketuanannya di Pulau Pinang turut menyukarkan sebarang perubahan kini.

Kita ambil sejarahnya bermula dengan Pilihan Raya Umum (PRU) 1969. Kemunculan pertama Gerakan menghasilkan kemenangan besarnya menewaskan Perikatan di Pulau Pinang. Umno tinggal hanya empat kerusi, sedangkan Gerakan memperolehi 16 kerusi. Parti itu memerintah Pulau Pinang dan Presidennya, Dr. Lim Chong Eu dilantik ketua menteri.

Menjelang PRU 1974, Gerakan menyertai BN. Penguasaan kerusinya bagaimana pun berubah. Umno menang 10 kerusi, manakala jumlah kerusi dimenangi Gerakan merosot kepada tujuh.

Sejak itu jumlah kerusi dimenangi Gerakan tidak pernah mengatasi jumlah kerusi dimenangi Umno. BN bagaimana pun mengekalkan Chong Eu sebagai ketua menteri merangkap Pengerusi BN negeri sehingga 1990.

Tradisi BN memberikan dua jawatan utama itu kepada Gerakan diteruskan. Bermula 1990 hingga 2008, giliran Tsu Koon pula memegang jawatan tersebut, walau pun dalam hampir setiap pilihan raya, jumlah kerusi dimenangi Umno mengatasi kerusi dimiliki parti rakannya itu.

Maaf cakap, ini bukan soal perkauman. Catatan ini sekadar mengukuhkan hujah bahawa fakta sejarah kedayusan Umno ini bakal menyukarkan sebarang usaha mengubah status quo kepemimpinan BN di Pulau Pinang. Meski pun tidak realistik, Gerakan diyakini akan cuba berpaut kepada persefahaman antara Chong Eu dan Tun Abdul Razak itu untuk menekan BN yang kini diterajui anaknya pula.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1499, 25 Disember 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment