Sunday, December 6, 2009

Sejarah pengkhianatan Umno teladan buat DAP

oleh: Mohd Nasir Awang

Kata orang, tiada yang mustahil dalam politik. Asas itulah membuatkan saya tergamak melontarkan andaian dalam Siasah keluaran lalu bahawa tidak mustahil dalam keadaan terdesak mengekalkan kelangsungan kuasa Barisan Nasional (BN), Umno yang amat membutuhi sokongan masyarakat Cina akan berpaling kepada musuh tradisinya, DAP.

Matlamat Umno selaku peneraju BN untuk mengekalkan status penguasa mutlak politik negara memungkinkan apa juga cara. Kejayaan memaut DAP ke pangkuan BN bukan sahaja bakal memulangkan sokongan kaum Cina terhadap parti pemerintah itu, malah secara automatik akan mengembalikan kekuasaan BN di beberapa negeri.

Bayangkan, bukan sahaja Pulau Pinang yang dikuasai DAP akan kembali di bawah kibaran bendera BN, malah kerajaan Selangor juga akan beralih tangan. Jumlah 18 kerusi dimiliki Umno dicampur 13 kerusi DAP sudah pun mencukupi untuk majoriti mudah membentuk kerajaan sekali pun MCA yang ada dua kerusi tidak ikut serta.

Pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS akan hanya tinggal 23 kerusi dan kembali menjadi pembangkang. Kedudukan BN di Perak dan Negeri Sembilan pula tentu bertambah kukuh dengan penyertaan DAP.

Jangan lupa langkah sama pernah dibuat Umno terhadap Gerakan selepas parti itu merampas Pulau Pinang pada 1969. Sebelum pilihan raya itu, kerajaan Perikatan diterajui Datuk Wong Paw Nee dari MCA memiliki 18 daripada 24 kerusi negeri. Sepuluh daripadanya dimenangi Umno, manakala satu oleh MIC.

Kemunculan parti Gerakan pada 1969 meruntuhkan keegoan Perikatan. Parti baru itu menang di 16 kerusi, sekaligus membentuk kerajaan negeri. Perikatan hanya bertahan di empat kerusi, kesemuanya menerusi calon Umno.

Namun kerajaan milik Gerakan tidak kekal sepenggal. Umno menghulurkan tangan perdamaian dan berjaya memaut Gerakan ke dalam BN. Perikatan/BN kembali sebagai kerajaan di Pulau Pinang.

Taktik serupa diulang Umno terhadap Parti Barisan Jamaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) yang menguasai Kelantan pada 1978. Modus operandi itu juga yang membawa Parti Bersatu Sabah (PBS) menyertai BN apabila parti itu menumbangkan BN di sana. Status BN sebagai parti pemerintah di kedua-dua negeri dipulihkan menerusi penyertaan parti pemerintahnya ke dalam gabungan itu.

Itu adalah fakta sejarah yang ada di hadapan kita. Bahawa keegoan BN, khususnya Umno, untuk memutlakkan penguasaan politik tidak memungkinkannya bertolak ansur atau menerima hakikat bahawa ada negeri di bawahnya terlepas ke tangan pembangkang. Ia akan sedaya mungkin berusaha dengan apa jua kaedah mengembalikan BN ke tampuk kuasa di negeri-negeri tersebut, termasuk dengan “membeli” pemimpin atau parti.

Ada pun soal apakah DAP sanggup menerima pelawaan Umno dan mengenepikan pakatan dengan rakan-rakan pembangkang, adalah suatu perkara lain Apa yang saya andaikan itu hanyalah kemungkinan tindakan dari pihak BN-Umno.

Desakan dan dorongan ke arah itu semakin munasabah mengambilkira kemelut berpanjangan dialami para pemimpin MCA selaku tonggak naungan kaum Cina dalam BN. Manakala Gerakan pula di masa sama masih bergelut menemukan formula terbaik memulihkan keyakinan kaum itu terhadapnya.

Namun, kebetulan atau tidak, perkembangan politik negara minggu lalu bagaikan menjawab andaian saya itu. Bahawa buat masa ini DAP kelihatannya tidak mungkin bersedia menerima pelawaan Umno, sekali pun jika ia benar-benar diintai tonggak BN itu.

Maksud saya, apakah moral tindakan para delegasi Konvensyen DAP Negeri Perak di Ipoh, Ahad (29 November) lalu yang memijak poster tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) yang keluar parti jika DAP juga sanggup beralih menyokong BN?

Pada konvensyen minggu lalu, poster tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang “lompat” parti awal Februari lalu hingga membuka laluan BN merampas kuasa di negeri berkenaan dihampar di lantai pintu masuk dewan untuk dipijak setiap delegasi.

Untuk rekod, tiga petualang itu ialah Hee Yit Foong (DAP-Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang) dan Mohd Osman Jailu (PKR-Changkat Jering).

Difahamkan tindakan DAP itu adalah sebagai gimik protes terhadap tiga ahli politik tidak bertanggungjawab dan menipu rakyat itu. Tindakan mereka mengisytiharkan pendirian sebagai Adun Bebas yang menyokong BN dianggap satu penghinaan terhadap demokrasi. Ia pengkhianatan terhadap rakyat yang memilih mereka demi perjuangan pakatan pembangkang menumbangkan BN.

Saya percaya para pemimpin DAP antara ahi politik paling teguh pendirian dan amat berpegang kepada prinsip. Jika ia membenci pembelot politik dan sanggup memijak poster mereka yang berbuat demikian, mana mungkin parti itu sendiri turut mengulangi perbuatan sama?

Setakat ini mereka bukan mudah “dibeli”. Apatah lagi para pemimpin DAP juga dari kalangan yang mampu membelek sejarah. Mereka tentunya sedia maklum dengan nasib yang kini menimpa beberapa parti yang menyertai BN dulu.

Dari parti yang menerajui pemerintahan Sabah, PBS kini hanya komponen biasa yang bagaikan sudah hilang taring. Nasib lebih buruk melanda Berjasa. Ia betul-betul diperalatkan BN-Umno hanya untuk merampas Kelantan daripada PAS. Parti itu kini entahkan masih hidup atau sudah “almarhum”, tidak ramai yang tahu.

Boleh dikatakan kesemua parti pembangkang yang asalnya kuat dan berpengaruh lalu dipujuk menyertai BN, demi mengembalikan kuasa dan kekuatannya, berakhir sebagai parti pinggiran dalam BN. Nasib itulah sedang menimpa Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP). Kedua-duanya memiliki kekuatan dan pengaruh agak signifikan ketika mula menyertai BN, kemudiannya semakin menikus.

Saya percaya tabiat khianat Umno yang gemar melayan rakannya seumpama “habis manis sepah dibuang” turut dipelajari DAP.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0177, 6 Disember 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment