Sunday, December 20, 2009

Antara peruntukan pembinaan dan kemakmuran masjid

Oleh: Mohd Nasir Awang

Apa pun niat sebenar Ahli Parlimen Taiping dari DAP, Nga Kor Ming membandingkan peruntukan kerajaan untuk masjid dengan bantuan diterima rumah-rumah ibadat bukan Islam, kenyataan beliau minggu lalu itu telah menjadi antara bahan utama manipulasi politik.

Sama ada beliau memang berniat mempertikaikan peruntukan besar untuk masjid-masjid di seluruh negara, atau sekadar membandingkannya dengan peruntukan terlalu kecil untuk rumah-rumah ibadat bukan Islam, sebahagian besar reaksi dipaparkan media tidak memperbaiki imej DAP yang selama ini dilihat anti Islam dan bersifat perkauman.

Pemimpin muda DAP Perak itu dalam penjelasannya menegaskan beliau sekadar merujuk kepada jawaban Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bahawa kerajaan memperuntukkan RM748.26 juta membina dan menyelenggara 611 buah masjid bagi tempoh 2000 hingga 2008, manakala hanya RM9 juta diagihkan kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam.

Jika benar niatnya sekadar itu, bermakna segala riuh-rendah dan hiruk-pikuk bual bicara mengenai isu itu hanyalah semata-mata ekoran manipulasi tidak bertanggungjawab oleh media-media tertentu. Kenyataan yang diputarbelitkan atau sengaja disalahlapor menghasilkan salah tanggapan dan tindakan susulan yang tersasar dari hakikat sebenar.

Itulah bobroknya politik Malaysia. Keghairahan mana-mana pihak memanipulasi apa-apa isu bagi mencari keuntungan politik seringkali mendorong mereka mengobarkan sentimen perkauman dan keagamaan.

Semua kita maklum betapa isu agama dan hubungan antara kaum sejak sekian lama menjadi ‘bom jangka’ paling menakutkan dalam masyarakat majmuk negara ini. Anehnya, meski pun semua pihak maklum akan hakikat itu, isu-isu sensitif itu juga yang sering dijadikan modal paling laris meraih sokongan kumpulan etnik masing-masing.

Sebab itu apabila seorang pemimpin DAP menyentuh pembiayaan kerajaan Pusat terhadap perbelanjaan pembinaan masjid, ia sekelip mata dibauri sentimen agama dan kaum. Tidak syak lagi yang muncul juara memanipulasi isu ini ialah Umno.

Berbagai kecaman dan label perkauman dilontarkan terhadap Nga. Beberapa kumpulan yang ada hubungkait dengan Umno membuat laporan polis terhadapnya. Ada juga suara mendesak beliau dihalau dari Perak

Sepintas lalu isu ini dilihat berpotensi mengikis sokongan orang Melayu/Islam terhadap Pakatan Rakyat (PR). Imej dan reputasi DAP sebagai parti anti Islam dan Melayu semakin ditonjolkan.

Namun secara positifnya saya menilai isu ini ada manfaat tersendiri buat umat Islam. Bagi saya, keghairahan Umno memanipulasi isu ini bagi menggambarkan dirinya jaguh membela agama adalah satu aspek yang mendedahkan rupa sebenar parti itu.

Meski pun kenyataan para pemimpinnya dan ulasan media tali barutnya menjurus kepada gambaran kononnya Umno amat memuliakan dan menyanjung tinggi institusi masjid, rakyat terbanyak negara ini hanya perlu diingatkan semula tentang hakikat sebenar mengenai perkara tersebut.

Satu soalan mudah untuk itu, apakah tanda dan bukti komitmen sesuatu pihak terhadap masjid itu sekadar menyalurkan peruntukan yang tinggi bagi pembinaan dan penyelenggaraannya?

Tidak sayugia dinafikan bahawa kerajaan telah membina masjid dengan jumlah yang sebegitu banyak. Namun hasrat pembinaannya seringkali tidak menepati maksud sebenar di sisi agama. Sebahagiannya dibina lebih besar daripada keperluan setempat (untuk kepentingan kontraktor kroni?) dan ada yang dihiasi dengan cantik melebihi apa yang disarankan agama. Ada pula yang dibina semata-mata atas tujuan pelancongan.

Jangan lupa juga bahawa sepanjang pemerintahan Umno di beberapa negeri, parti yang seminggu dua ini menonjol diri sebagai pembela kemuliaan masjid itu sebenarnya turut menjadi pemain utama mencemar kemuliaan rumah Allah itu. Beberapa kes membabitkan perobohan surau di Selangor dan masjid di Terengganu oleh pemerintahan parti itu boleh diungkap kembali.

Sebagai pemerintah yang dalam banyak hal sering mengutamakan agenda politik mengatasi agama, Umno juga diketahui amat tidak kondusif terhadap usaha memakmurkan masjid dan surau. Akibat terlalu dirasuk sentimen politik, Umno sanggup menggadai kemakmuran masjid.

Bermula dengan soal melantik imam dan bilal, parti itu terlalu menekankan soal kecenderungan politik calon yang mahu dilantik. Sepertimana kes yang kini masih berlanjutan di Terengganu, sebahagian besar masjidnya tidak dapat berfungsi dengan sempurna apabila jumlah kuota tiga imam dan bilal satu masjid tidak dapat dipenuhi.

Keadaan itu berlaku sama ada disebabkan kegagalan mencari calon yang ‘sesuai’ dengan selera politik Umno, atau kerana tindakan penguasa politik setempat yang memecat imam sedia ada yang dinilai cenderung kepada parti lawan.

Turut merencatkan kemakmuran masjid ialah apabila tenaga penceramah atau guru takmirnya juga menghadapi ‘tapisan politik’. Para pemuka Umno peringkat kampung terlalu sempit pemikiran dan dada mereka untuk mengiktiraf keilmuan dalam agama dimiliki pendokong parti lawan.

Lalu mereka lebih rela masjid dikuasai mereka tandus dari majlis ilmu daripada ia diisi oleh suara pengajaran dari ustaz-ustaz parti lawan. Jika di Selangor, beberapa kes larangan memberikan kuliah dihubungkait dengan soal tauliah, kes-kes di Terengganu pula ialah semata-mata kerana perbezaan politik. Umno menarik balik tauliah sebilangan imam, guru pelawat dan mubaligh yang tidak bersedia menurut kemahuan politiknya.

Justeru, jika keterlanjuran DAP menyentuh peruntukan terhadap masjid ghairah dimanipulasi Umno bagi menggambarkan DAP sebagai anti Islam, apakah Umno yang membunuh kemakmuran masjid itu boleh dibiarkan begitu sahaja?

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0179, 20 Disember 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment