Monday, December 22, 2003

BPR, Hisbah dan peranan media


Oleh: Mohd Nasir Awang

BANYAK yang telah dilapor dan diulas mengenai Mesyuarat Yang Ketiga Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu Kesepuluh baru-baru ini. Sidang yang berlangsung selama empat hari bermula 1 Disember itu lebih ditumpukan kepada perbahasan Belanjawan Tahun 2004, yang telah dibentangkan Menteri Besar (MB) pada hari pertama persidangan.

Seperti biasa, media arus perdana lebih berminat mencari dan memanipulasi persoalan yang sekira-kira membawa kesan negatif kepada Kerajaan Negeri, dengan harapan ianya memberi keuntungan politik pula kepada pembangkang (Umno-BN). Tabiat inilah yang mendorong MB suatu ketika dahulu mengumpamakan mereka seperti sang tupai yang hanya berminat memetik buah yang sudah gugur atau busuk dan meninggalkan yang segar.

Sebab itu dari sebanyak-banyak ucapan dan perbahasan, yang mendapat keutamaan di dada media ialah dakwaan wakil-wakil pembangkang. Antaranya ialah dakwaan kononnya MB berbohong apabila masih mengambil kira royalti petroleum sebagai jangkaan hasil negeri.

Soal tender balak daripada sebuah agensi kerajaan kepada syarikat milik gadis 26 tahun juga diputarbelitkan sebagai ‘anugerah konsesi’. Begitu juga soal tin minuman keras yang dilonggokkan di tapak Sambutan 700 Tahun Batu bersurat tempohari dan soal boleh atau tidak seorang ulama bercakap kasar.

Berhari-hari, malah berminggu masih ada pihak yang mengulas perkara tersebut di akhbar dan majalah. Tidak cukup sekadar media cetak, rakan mereka dari media elektronik turut “turun padang” memperbesar-besarkannya.

Sikap media yang over politicized ini akhirnya secara jelas menenggelamkan beberapa isu penting yang sepatutnya diketengahkan untuk makluman masyarakat awam. Masakan tiada langsung kebaikan dan aspek positif dalam sebanyak-banyak perkara yang diutara dan dituturkan oleh pihak Kerajaan dan Penyokong Kerajaan sepanjang empat hari itu?

Di antara perkara yang seolah-olah ‘digelapkan’ terus dari media ialah Laporan Tahunan Umum (2002/2003) Pesuruhjaya Hisbah Negeri Terengganu. Ia telah dibekalkan kepada setiap Ahli Dewan sebagai Kertas Dewan Undangan Negeri Bil: 25/2003 dan kini menjdi dokumen awam.

Laporan itu antara lain menyebut bahawa sehingga 15 Mei 2003, Pesuruhjaya Hisbah telah menerima sebanyak 231 kes/maklumat. Sejumlah 52 kes telah dianggap “selesai”, manakala kira-kira 70 peratus daripada kes-kes berbaki adalah dalam pelbagai peringkat siasatan/risikan.

Di antara kes yang agak menonjol salahtadbirnya ialah salah guna kuasa dalam projek pembinaan masjid/longkang; guna kedudukan untuk kepentingan/tindakan berat sebelah; rasuah/pengabaian oleh pegawai awam; bahan binaan rumah PPRT diselewengkan; dan pegawai atasan lindungi pecah amanah.

Manakala kes yang paling banyak dicatatkan ialah projek-projek kejuruteraan bertindih berunsur penipuan (13 kes); pemberian bantuan banjir kepada yang tidak layak (19); penyelewengan dalam tuntutan /v.o. (18); dan penyelewengan dalam projek-projek usahasama (11).

Sebanyak tujuh peti kes menarik turut diperincikan dalam laporan tersebut. Antaranya melibatkan tuntutan palsu kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sebanyak RM511,050.00. Siasatan Hisbah mendapati tuntutan tersebut “hanya diada-adakan atas arahan pihak atasan PMINT. Sebahagian besar daripada wang haram ini difahamkan digunakan untuk kempen pilihan raya oleh calon yang tertentu dari parti yang memimpin ketika itu.”

Kes pilihan kedua ialah kontrak berat sebelah antara sebuah anak syarikat Kerjaaan negeri (TDM Plantation Sdn Bhd – TDMP) yang menjalankan projek usahasama dengan sebuah syarikat untuk menanam kelapa sawit dan mengurus ladang. Anehnya, syarikat berkenaan hanya perlu membayar kepada TDMP RM40.00 seekar setahun untuk “menanam dan menyelenggara kelapa sawit, menjaga dan mengurus ladang, membina taliair, membina rumah pekerja serta stor, memetik dan menjual buah kelapa sawit dan sebagainya”. Syarikat tersebut rupa-rupanya milik dua anak seorang wakil rakyat Umno ketika itu.

Turut dilaporkan ialah kes cek BABENA (anak syarikat Kerajaan negeri pada masa itu) bernilai RM300,000.00 yang dikeluarkan kepada sebuah syarikat kerana kerja-kerja site clearing and earthworks untuk Projek Pembekalan Air ke Pulau Redang. Apa yang dipersoalkan ialah baucer penerimaan cek itu telah ditandatangani oleh Pengerusi BABENA sendiri, yang juga seorang wakil rakyat Umno. Bagaimana pengeluar cek di masa yang sama menjadi penerima cek?

Semasa laporan ini diserahkan kepada Dun Terengganu, media masa di luar sana sedang rancak melaporkan dan mengulas tindakan nekad pentadbiran negara di bawah Perdana Menteri baru memerangi rasuah. Sehinggakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) diperlekehkan sedemikian rupa semata-mata kerana atas nilaian beberapa pihak ia “lambat bertindak” menyelesaikan kes-kes tertentu.

Sepatutnya, sama ada atas dasar profesionalisme kewartawanan mahu pun atas nama mendokong perjuangan yang dilaungkan PM baru untuk memerangi rasuah, pendedahan dalam laporan Hisbah Terengganu itu sekurang-kurangnya mendapat sedikit ruang di dada akhbar. Kerana ianya jauh lebih signifikan dan korektif terhadap pentadbiran berbanding isu tender balak, ulama bercakap kasar atau menafikan hak Terengganu terhadap royalti.

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 22 Disember 2003 di kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment