Monday, December 8, 2003

Belasungkawa - Perginya seorang ‘Yang Berkhidmat’


Oleh: Nuwa Aitawa

MAHA Bijaksana Allah yang menjadikan kejahatan sesuatu kaum itu sebagai penyebab bagi menginsafkan hati manusia. Apabila kezaliman semakin memuncak, akan ada insan yang tergerak hati meninggalkan kaum yang jahat itu dan membantu mereka yang dizalimi.

Itulah persis apa yang dialami oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Allahyarham Haji Mohamad bin Hitam di dalam penentuan halatuju politik beliau.

“Saya menyertai PAS setelah saya melihat sendiri bagaimana Umno-BN me-MAGERAN-kan Negeri Kelantan dalam tahun 1978, semata-mata untuk membolehkannya merampas tampuk pemerintahan negeri itu dari tangan PAS. Saya melihat itu adalah suatu tindakan yang kotor yang dilakukan oleh Umno-BN terhadap kerajaan PAS yang sedang memerintah Kelantan pada masa itu. Dari situ timbullah kesedaran untuk meninggalkan Umno buat selama-lamanya dan memulakan kerjaya politik saya di dalam PAS pula”, kata Allahyarham, sebagaimana dimuatkan oleh Lotfi Ismail, lewat bukunya Hadi PM Malaysia ke-6? (2003).

Sememangnya kerjaya politik Allahyarham bermula di dalam Umno. Sepanjang hampir dua dekad bersama parti itu, beliau bukan sekadar menjadi ahli biasa. Beliau dianggap sebagai “Bapak” dan pernah menyandang berbagai jawatan seperti Ketua Pemuda, Bendahari dan juga Setiausaha Umno Cawangan Kampung Rahmat, Besut.

Mohamad bin Hitam dilahirkan pada 17 September 1944, di Kampung Payang, Setiu. Beliau merupakan anak tunggal kepada pasangan Hitam bin Long dan Wan Saidah binti Wan Hussin. Ibunya bagaimana pun meninggal semasa beliau masih berusia remaja. Maka membesarlah anak tunggal ini bersama asuhan seorang bapa tunggal.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Payang sebelum melanjutkan pelajaran ke sebuah sekolah pondok di Jerteh, Besut. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu sehingga ke tahap Thanawi Empat. Di antara tokoh yang sempat menjadi rakan sepengajian beliau ialah Dato’ Haji Husain bin Awang, Yang Dipertua Dun Terengganu.

Sebaik menamatkan pengajiannya sekitar tahun 1969, Allahyarham terus membantu ayahnya dalam kerja-kerja pemborongan dan pembinaan rumah kakitangan kerajaan dan ladang. Ayahnya merupakan kumpulan peneroka perintis bagi Rancangan Felda Chalok Rahmat itu, di samping turut melakukan kerja-kerja pemborongan.

Pada akhir tahun 1972, Mohamad bertemu jodoh dengan Fatimah binti Said. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dianugerahkan tujuh cahayamata. Anak sulung mereka, Shuhaida, kini berumur 29 tahun dan sudah mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Faisal bin Abu Bakar. Allahyarham dikurniakan dua orang cucu dari pasangan ini, iaitu Aliya Fatiha (tiga tahun) dan Anis Faeza (dua).

Anak-anak Allahyarham yang lain ialah Norbaiyah (25 tahun), Saifuddin (23), Ridhuan Hadi (21), Nur Syazwani (15) dan Nur Ain Nasuha (12). Anak bongsunya, Nur Liyana baru berusia empat tahun.

Sebaik menyertai PAS pada awal tahun 1978, Allahyarham terus aktif menyuarakan kebenaran. Dalam masa yang singkat beliau berjaya menempatkan dirinya di kalangan pemimpin utama PAS setempat.

Dalam pilihan raya umum tahun itu, beliau terpilih menjadi calon PAS di Dun Langkap. Bagaimana pun, pertandingan tiga penjuru itu menyaksikan kemenangan calon BN, Salleh bin Mamat. Seorang lagi calon ialah Tengku Ahmad bin Tengku Hussain yang mewakili PSRM.

Mohamad tidak bertanding dalam empat pilihan raya umum berikutnya, sebaliknya memberi laluan kepada rakan seperjuangan yang lain. Ustaz Mahmood bin Sulaiman (PAS-1982 dan 1990), Tengku Ahmad (PAS-1986) dan Alias bin Zainal (Semangat 46-1995) bersilih ganti mewakili pembangkang menentang Umno-BN di Dun Langkap.

Pilihan Raya Umum Kesepuluh pada 1999 lalu merupakan titik mula satu era baru dalam hidup Allahyarham. Beliau yang sekali lagi diamanahkan mewakili PAS menentang BN di Dun Langkap telah berjaya merampas Dun berkenaan, sekali gus menamatkan penguasaan Umno di kawasan itu. Beliau mendapat 3,923 undi, manakala lawannya dari BN, Asha’ari bin Idris mengutip 3,766 undi.

Berbekalkan majoriti hanya 157 undi itu, Allahyarham terus memainkan peranannya memenangi hati segenap lapisan masyarakat sebagai seorang “Yang Berkhidmat”. Komitmen dan dedikasi beliau dalam melaksanakan tugas sememangnya menjadi bahan titian bibir rakyat. Malah, sikap beliau yang tegas dan tidak memilih bulu dalam menyelesaikan sebarang permasalahan rakyat amat disenangi bukan sahaja oleh kawan, malah lawan politiknya.

Di saat beliau sedang dikasihi dan disayangi oleh segenap lapisan rakyat itulah, Allah Yang Maha Pengasih telah menjemput beliau pulang. Sejurus kembali dari mengerjakan umrah bersama-sama rombongan YAB Dato’ Seri Tuan Guru Menteri Besar, beliau mengadu keletihan dan kurang sihat.

Allahyarham kemudiannya dimasukkan ke wad Hospital Kuala Terengganu (HKT). Beliau dikesan menghidap barah darah atau leukemia, satu penyakit yang tidak pernah beliau jangkakan selama ini.

“Ana mari nak check penyakit lain, doktor kata ana penyakit lain”, begitulah diceritakan apa yang diucapkan beliau kepada rakan-rakan yang sempat menziarahinya di HKT.

Dalam keadaan badannya yang sudah agak lemah, beserta kejutan daripada laporan perubatan itu, keadaan kesihatannya dikatakan semakin memburuk dalam kadar yang sangat drastik.

Pegawai Khas Kepada Menteri Besar, Haji Wan Muda bin Wan Ismail, yang sempat bersama beliau sewaktu di HKT itu menceritakan bagaimana setiap kali ujian darah dibuat, tahap keseriusan penyakit beliau meningkat secara mendadak.

Beliau akhirnya dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan pada 17 November. Rawatan lanjut segera dibuat dan air tulang belakang beliau diambil bagi memenuhi prosedur perubatan. Pada 20 November, kira-kira pukul 10.30 malam, Mohamad menghembuskan nafas terakhirnya di situ.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan beliau di kalangan kekasihNya. Amin.

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 8 Disember 2003 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment