Monday, December 8, 2003

Abang Mat abadi dalam kenangan


Oleh: Mohd Nasir Awang

TANGGAL 20 November lalu, jam 11:09 malam, saya dan rakan-rakan sedang ‘ralik’ berbual sambil menikmati ‘colek lempung’ di Kompleks LKIM Kuala Besut bila tiba-tiba telefon saya membunyikan nada beeping. Satu mesej diterima daripada Icah (Cik Hanisah Sulong – personaliti Siaran Darul Iman). Baca mesejnya, “Abang Mat Hitam meninggal”. Yang beliau maksudkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Haji Mohamad bin Hitam.

“Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un!”, saya menyebut. Rakan-rakan seperbualan terkejut. “Sapa mati?”, tanya mereka.

“Kita baru tengah berkira nak tengok dia esok”, sambung saya lagi.

“Mati dah?”, sahut seorang rakan, sambil yang lain turut mengucap panjang.

Saya terus teringatkan Adik Mah (Puan Rosimah Salleh), anak buah saya yang tinggal di Kampung Cawat, Besut. Beliau adalah anak saudara kepada Fatimah Said, isteri Haji Mohamad.

Setelah beberapa kali mendail, panggilan saya akhirnya terjawab. “Abe Wa (panggilan Adik Mah kepada saya), Ayah Su tak dok dah! Pukul 10:30 tadi”, jawab Adik Mah sebu.

Sahlah bagi saya bahawa Haji Mohamad, yang saya panggil Abang Mat, telah meninggal dunia. Adik Mah ketika itu bersama sanak-saudara terdekat Allahyarham masih di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan. Persiapan terakhir sedang dilakukan bagi membawa pulang jenazah ‘Ayah Su’ ke Kampung Rahmat, Setiu.

Orang pertama yang saya hubungi bagi berkongsi maklumat itu ialah Abe Yee (Haji Zahari Muhamad), Setiausaha Akhbar MB. Beliau rupanya telah juga dihubungi seseorang mengenai hal itu.

Satni tak berani lagi nak hubungi orang lain, takut tak sohih. Ni, enta royat pulok gak, kira sohih la!”, jawab Abe Yee dalam loghat Besut.

Abang Mat menghembuskan nafas terakhir pada malam Jumaat, 25 Ramadhan di HUSM setelah tiga hari dimasukkan ke situ. Sebelum itu beliau telah dirawat di Hospital Kuala Terengganu (HKT) dan disahkan menghidap barah darah atau leukemia.

(Baca Belangsungkawa – Perginya Seorang ‘Yang berkhidmat’ oleh Nuwa Aitawa)

Saya mula mengenali Abang Mat pada tahun 1989, apabila saya sendiri mula berada di kalangan kepimpinan PAS Kawasan Besut. Saya masih ingat, dalam satu perjalanan ke Kuala Terengganu, saya dan rakan singgah bersolat Jumaat di perkampungan Felda Chalok Rahmat.

Khatib pada hari itu ialah seorang yang kurus, berkulit sederhana cerah dan berkacamata. Bulu keningnya yang lebat dengan beberapa bintik hitam yang agak besar di pipi kanannya menjadi trademark di mukanya.

Seingat saya, itulah kali pertama saya mendengar ucapannya. Khutbah beliau begitu padat dan bersemangat. Lidahnya petah menyampaikan hujah dan lancar membacakan ayat-ayat al-Quran serta hadis.

Seperkara yang sangat mengagumkan saya ialah beliau lebih banyak memandang ke arah sidang Jumaat, dan hanya sekali-sekala melihat teks khutbahnya.

“Demo tak kenal ke? Tu lah Mat Hitam, “bapak” sining”, kata rakan saya sambil melangkah keluar dari masjid. “Kalau lah aku pun boleh berkhutbah macam dia, baru hebat!”, getus hati saya.

Sememangnya kebolehan para pemimpin PAS berkhutbah (bukan membaca khutbah!) dan menjadi imam adalah perkara lumrah. Tetapi mereka bukan jenis manusia yang suka ‘menyohor’. Sebab itu gambar mereka menjadi imam atau khatib tidak pelru disiarkan di akhbar. Bukan macam sesetengah pemimpin sekarang, sekali jadi imam sembahyang pun heboh seluruh negara!

Sejak itu, Abang Mat dan saya agak kerap bertemu dan berinteraksi terutama dalam program parti di peringkat negeri. Kemesraan makin terjalin apabila tiba Pilihan Raya Umum 1990. Saya yang pada ketika itu bertugas di Ibupejabat Harakah di Kuala Lumpur ditugaskan meninjau perkembangan di Terengganu, khususnya di Parlimen Setiu. Hampir setiap hari Abang Mat akan bersama-sama saya di Markas Besar Parlimen, di Balik Bukit, Permaisuri.

Secara peribadi, saya memang agak rapat dengan keluarga Encik Salleh Omar-Puan Aminah Said (ibubapa kepada Adik Mah) di Kuala Besut. Kebetulan pula, Abang Mat adalah adik ipar kepada Puan Aminah. Beliau dipanggil ‘Ayah Su’ oleh anak-anak saudara kerana isterinya adalah anak yang bongsu dalam keluarganya.

Selepas Pilihan Raya Umum 1999, saya ditugaskan sebagai Pegawai Penyelaras Adun-Adun PAS. Sepanjang melaksanakan tugas itu, Abang Mat adalah antara wakil rakyat yang paling kerap menghubungi saya dan memanfaatkan khidmat saya.

Berkawan dengan Abang Mat semestinya tidak menjemukan. Di samping murah dengan senyuman, Abang Mat juga suka berseloroh. Suatu ketika, apabila ada yang mengusik kenapa beliau menukar keretanya kepada pacuan empat roda, dia berkata kepada saya: “Enta tahu tak Sir, J.C.C. tu apa makna? (merujuk kepada nombor pendaftaran Pajeronya, JCC 5867). J.C.C. tu ‘Jangan Cabar Calon’!”, katanya sambil ketawa dan kami pun turut ketawa.

Islam mengajar kita agar menyebut kebaikan-kebaikan orang yang sudah mati. Sementelahan pula, sepanjang bersahabat dengan Abang Mat, tidak ada yang tidak baik yang sempat saya lihat pada beliau. Semoga Allah menempatkan roh Abang Mat di kalangan orang yang baik-baik.

Kepada pembaca, maaf saya pohon kerana catatan kali ini agak peribadi – sebuah catatan kenangan abadi bagi seorang ‘abang’ yang sudah bersemadi.

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 8 Disember 2003 di kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment