Thursday, January 8, 2004

Kelemahan negeri BN jauh lebih teruk


Oleh: Mohd Nasir Awang

ALLAH Ta’ala jua Yang Maha Mengetahui mengapa Bandar Tasik Puteri tidak berada di Terengganu atau Kelantan yang diperintah PAS. Di dalam keghairahan para pemimpin Barisan Nasional (BN) mendakwa kedua-dua negeri itu tersisih dari pembangunan dan rakyatnya hidup sengsara, tahu-tahu yang menjadi mangsa jalan berlubang dan tidak berlampu ialah rakyat di negeri Selangor, negeri paling kaya yang diperintah BN sendiri.

Dalam kejadian pada jam 9.30 malam 13 Disember lalu, Noraliyah Barisah, enam tahun, yang dalam perjalanan pulang dari Bandar Country Homes bersama bapanya, dilaporkan jatuh tertiarap di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala. Adik Noraliyah koma beberapa hari selepas tercampak daripada motosikal yang ditunggangi bapanya, Mohd Sani Mohd Nor, 38, apabila terlanggar lubang di jalan utama ke Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Dia terpaksa menjalani pembedahan dua hari berikutnya dan pembedahan kedua dirancang dalam masa dua minggu selepas itu bagi menampal lubang sebesar cawan di kepalanya menggunakan daging pahanya.

Bapanya yang turut cedera di muka, tangan dan kaki serta patah dua giginya berkata, walau pun beliau menunggang dengan perlahan, beliau tidak sempat mengelak lubang berkenaan kerana keadaan di situ terlalu gelap. Ertinya, masih ada jalan utama yang menghubungkan bandar di negeri paling maju itu yang tiada lampu jalan?

Perkara itu disahkan oleh wartawan yang meninjau kawasan berkenaan. Laporan Berita Harian, 19 Disember 2003 menyebutkan, “jalan ke kawasan perumahan baru itu, bukan saja berlubang malah dikatakan bahaya kerana tidak dilengkapi lampu yang mencukupi”.

Bayangkanlah kalau insiden itu berlaku di Terengganu, adat katanya “tak cukup ruang” di suratkhabar untuk para pemimpin Umno membuat komen dan leteran, malah kutukan terhadap kerajaan negeri.

Barangkali tidak akan cukup sekadar suratkhabar, media elektronik juga tidak akan melepaskan peluang. Nescaya habislah segala JKKK, Kemas, Ketengah, GPMS dan lain-lain penjuak Umno yang akan ditemubual. Cerita mengenainya pasti akan berlanjutan berhari-hari. Tetapi insiden itu ditakdirkan berlaku di negeri yang diperintah BN. Justeru, ceritanya disiarkan sekadar seadanya.

Sememangnya soal pembangunan sentiasa menjadi bahan canangan BN di serata negara. Ratibnya serupa, “hanya BN yang mampu membawa pembangunan”. Sebab itu apabila PAS berjaya memerintah Kelantan dan Terengganu, Umno berusaha keras bagi membuktikan bahawa PAS tidak mampu membawa pembangunan. Pantang ada sebarang masalah di kalangan rakyat, nescaya akan diperbesar-besarkanlah oleh seluruh saluran media kononnya ia adalah bukti PAS gagal memerintah negeri.

Hinggakan soal tandas masjid di Terengganu berbau busuk pun dikaitkan dengan kegagalan tema ‘Membangun Menurut Islam’. Nampak sangat wartawan dah tak ada modal lain nak diulas. Macam lah tandas masjid di negeri-negeri diperintah BN itu wangi-wangi belaka?

Begitu juga suatu ketika, apabila berlaku gangguan bekalan air di Marang akibat kerja-kerja penyelenggaraan selama beberapa hari. Digambarkan bagaikan sudah berbulan kawasan berkenaan ketiadaan air. Seorang manusia yang entah baru keluar dari hutan mana, yang barangkali tidak pernah membaca suratkhabar atau menonton TV, seolah-olah tidak pernah terdedah kepada maklumat, bagaikan hilang akal terus mendakwa “sejak ulama perintah negeri ini, air pun tak ada”.

Astaghfirullah al-‘Azim, Kassim Selamat! Mengucaplah sikit! Macamlah rakyat negara ini tidak tahu bahawa negeri-negeri yang sering bermasalah dengan bekalan air ialah negeri-negeri di Pantai Barat. Ulama manakah yang memerintah negeri-negeri tersebut?

Pernag juga dihebohkan kononnya setiap tahun ribuan rakyat Terengganu berhijrah keluar meninggalkan negeri kerana tiada pembangunan ekonomi. Sebuah tabloid pembangkang yang tidak pernah laku di pasaran mendakwa “200,000 Tiada Kerja, Rakyat Lari Dari Terengganu”.

Seorang wakil rakyat Umno yang ‘tertipu’ dengan dakwaan itu turut mengulangi penipuan tersebut melalui soalannya kepada Sidang Dun Terengganu Disember 2002 lalu. Apabila hal itu diajukan kepada Jabatan Perangkaan Negara, maklum balas yang diterima membuktikan bahawa dakwaan itu sememangnya ‘baham rambang’.

Mendahului senarai negeri paling ramai penduduk berhijrah keluar ialah beberapa negeri yang diperintah BN seperti Perak, Sabah dan Kedah. Manakala Terengganu kita bukan sahaja terkebawah, malah mencatatkan penghijrahan masuk yang lebih tinggi daripada penghijrahan keluar rakyatnya.

Banyak sudah kes yang berlaku yang membuktikan bahawa langkah Umno meuar-uarkan apa yang didakwa keburukan dan kelemahan kerajaan Terengganu sebenarnya tidak lebih daripada “mengata dulang paku serpih”. Kes-kes serupa yang berlaku di negeri-negeri diperintah BN jauh lebih teruk dan menonjol.

Apakah “lakonan” penemuan selonggok tin arak di tepi jambatan Kuala Berang baru-baru ini mampu melupakan rakyat kepada ‘Pesta Arak’ di Terminal Satu Lapangan Terbang Subang beberapa tahun lalu? Bukan dua-tiga puluh tin yang dihidangkan, malah ratusan peti arak itu khabarnya diangkut menggunakan treler.

Kes kemalangan yang menimpa Adik Noraliyah itu adalah contoh terkini yang sepatutnya menyedarkan pembangkang agar tidak terlalu ghairah memburukkan kerajaan negeri sendiri setiap kali berlaku permasalahan di kalangan rakyat. Ingat getek!

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT) edisi 8 Januari 2004, di kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan tajuk “Apa untungnya mengata dulang?”)

No comments:

Post a Comment