Saturday, November 22, 2003

Cabar Hudud warisan Dr M


Oleh: Mohd Nasir Awang

WALAU PUN mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan persaraan total daripada kerajaan dan politik negara, ketiadaannya nampaknya sekadar pada jasad sahaja. Legacy atau warisannya masih jelas terpampang di setiap tindakan para pengikutnya, sama ada dalam kerajaan mahu pun partinya.

Insan sehebat Dr Mahathir sudah tentu mendapat timbunan pujian, dari kawan mahu pun lawan. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang pada kebanyakan masa menjadi sasaran politik Dr Mahathir, turut memuji beliau. Tanpa hipokrit, Tuan Guru memperakui bahawa Dr Mahathir adalah seorang yang bijak. Cuma yang mendukacitakan Tuan Guru ialah apabila Dr Maathir tidak menggunakan kebijakannya untuk mendaulatkan Islam.

Sememangnya pada mata dunia Islam, Dr Mahathir dianggap seorang yang vocal and outspoken. Kenyataan-kenyataan beliau yang lantang membela Islam dan mengutuk kekejaman dunia terhadap umat Islam memaut hati para pemimpin negara-negara umat Islam.

Malangnya, sikap itu tidak konsisten bila beliau berhadapan dengan hal ehwal Islam dalam negaranya sendiri. Malah, dalam banyak hal, beliau dilihat sering berkonfrontasi dengan kumpulan atau ilmuan Islam.

Beberapa siri kenyataan beliau mengenai Islam, termasuk mengenai hadis dan Sunnah Nabi s.a.w., mengenai aurat wanita serta kewibawaan ulama amat menggerun dan menyeriaukan. Di antara kenyataan beliau yang paling mendukacitakan umat Islam ialah tuduhan kononnya hukum Hudud memudarat dan melemahkan umat Islam.

“Apakah hukum Hudud mesti dilaksanakan juga walau apa pun keadaan sehingga mendatangkan mudarat kepada orang Islam? Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum-hukum yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan?”, kata Dr Mahathir di Nilam puri, Kelantan, pada 3 Mac 1994 lalu.

Di masa yang lain, beliau turut menegaskan bahawa beliau akan “mempastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional tidak akan melaksanakan hukum Hudud”.

Kenyataan-kenyataan yang membawa maksud seumpama itu diulangsebutnya puluhan kali. Akibatnya, ada pihak dalam negaranya sendiri yang menilai Dr Mahathir sebagai seorang pemimpin yang sangat istiqomah menentang pelaksanaan hukum Islam.

Sebab itu, apabila Mahkamah Persekutuan pada 5 November baru-baru ini membenarkan permohonan peguam Datuk Mohd Zaid Ibrahim untuk mengeluarkan petisyen kepada Kerajaan Terengganu bagi mencabar undang-undang Hudud dan Qisas yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, ianya bukan lagi suatu yang mengejutkan.

“Itu perkara yang telah kita jangka”, jawab Menteri Besar, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ketika ditanya pihak media pada 9 November lalu.

Mohd Zaid yang merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan memohon perisytiharan mahkamah mengikut Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan bahawa Dun Terengganu tidak mempunyai kuasa memperkenal atau meluluskan sebarang undang-undang bagi hukuman atau menghukum perbuatan yang boleh dihukum mengikut undang-undang Persekutuan.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan undnag-undang jenayah yang hukumannya boleh dihukum mengikut undang-undang Persekutuan dan peruntukan enakmen itu tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 telah diluluskan Dun Terengganu pada 8 Julai tahun itu dan diwartakan pada 27 Oktober bersamaan 1 Ramadhan baru-baru ini, setelah mendapat perkenaan Ke Bawah Duli Tuanku Al-Sultan Terengganu pada 2 September tahun lalu.

Dalam afidavit bagi menyokong permohonannya, Mohd Zaid mendakwa enakmen yang diwarta dan akan dikuatkuasakan itu bercanggah dengan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar bagaimana pun tetap mempertahankan hak Kerajaan Negeri dalam mendaulatkannya. Katanya, “berdasarkan kepada hak kita sebagai penganut-penganut Islam yang memilih kerajaan PAS bagi mendaulatkan syariat Islam.... berdasarkan kepada yang pertama, iaitu kita mengambil kira Islam sebagai agama Persekutuan dengan tafsiran berdasarkan kepada ajaran Islam yang sebenar iaitu dari al-Quran dan Hadis.

“Kedua, yang berkaitan dengan syariat Islam adalah bidang kuasa negeri. Maka kita bertindak di atas bidang kuasa negeri yang berhubung dengan agama”, katanya lagi.

Apa pun keputusan mahkamah kelak, kes ini telah membuka ruang perbincangan yang lebih luas mengenai pertembungan antara undang-undang negara dengan undang-undang Islam. Seperti kata Menteri Besar, “kita mengalu-alukan supaya pihak yang tidak bersetuju dengan undang-undang Hudud dan Qisas ini bawa ke mahkamah untuk membuktikan sama ada Perlembagaan Negara kita ini tepat dengan Islam atau tidak”.

Sementara Menteri Besar dan kerajaan Terengganu boleh berlapang dada menghadapi kes win-win situation ini, Dr Mahathir juga barangkali mampu berbangga di kejauhan sana. Bahawa, walau pun beliau sudah tiada di persada politik negara, namun legacynya dalam mencabar pelaksanaan hukum Islam tetap diteruskan oleh orang-orang yang sepemikiran dengannya.

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 22 November 2003 di kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment