Oleh: Mohd. Nasir Awang
MEDIA arus perdana baru-baru ini melaporkan bahawa Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan bahawa rakyat negeri itu yang mengundi PAS pada pilihanraya umum tahun 1990 akan mendapat pahala daripada Allah s.w.t. di akhirat nanti, kerana kerajaan PAS di Kelantan telah dapat mencegah yang haram dan menggalakkan yang baik.
Kenyataan itu bagaimana pun telah mengundang polemik spontan dalam media arus perdana.
Pelbagai pihak tampil dengan berbagai-bagai ulasan dan komentar yang pro dan kontra. Namun, apa yang jelas kebanyakan mereka memperakui hubungkait antara pendorong atau penyebab kepada berlakunya sesuatu perbuatan dengan akibat daripada perbuatan tersebut.
Sebenarnya hubungkait pendorong ATAU pelaku dengan perlakuan memang amat ditekankan dalam Islam. Sebab itu apabila Islam mengharamkan meminum arak, sebagai contoh, Islam tidak sekadar mengatakan berdosa kepada si peminumnya sahaja.
Islam secara jelas mengharamkan perbuatan beberapa pendorong atau pelaku lagi, sebelum arak itu tiba kepada si peminum. Si pembuat (pemerah anggur), pembawa, penjual dan penghidang turut dicela dan mendapat dosa.
Manusia yang bertuhankan akal dan berdalilkan logik akan mempersoalkan, bukankah arak itu diharamkan kerana sifatnya yang memabukkan? Oleh itu, logiknya apa kena-mengena penjual atau pembuat dengan suasana mabuk-mabuk itu?
Soalnya, bagaimana mungkin orang boleh meminum arak kalau tidak ada yang menjualnya? Bagaimana boleh orang menjual kalau tidak ada yang membawa atau memunggahnya? Bagaimana orang boleh memunggah jikalau tidak ada yang membuatnya?
Rasional yang sama turut terserlah dalam hukum zina. Allah Ta’ala tidak menyebutkan ‘janganlah kamu berzina’. Cukup sekadar Ia menyebut ‘janganlah kamu menghampiri zina’, kerana perbuatan menghampiri itu pun sudah cukup keji dan bakal mendorong orang berzina.
Orang-orang tua kita ada meninggalkan suatu dendangan nasihat yang amat berguna dalam kita memikirkan hubungkait pelaku dan akibat perlakuannya. Cubalah teliti bait-bait dalam dendangan Bangau Oh Bangau!.
Mungkin sebahagian besar kita menilainya tidak lebih sekadar dendangan anak-anak hingusan. Tetapi, di sana tersirat pengajaran yang sangat berguna, terutama bagi manusia yang singkat daya fikirnya.
Maksud kita, sekali imbas orang akan mengatakan tidak logik dan tidak masuk akal jika dikatakan bahawa bangau itu kurus disebabkan perbuatan ular yang hendak memakan katak. Kerana, perbuatan ular yang jahat itu dengan akibat yang diterima oleh si bangau amatlah panjang hubungkaitnya. Daya fikir manusia hanya boleh menilai setahap demi setahap.
Tanyakan kepada bangau, mengapa ia kurus? Jawabnya, kerana ikan tidak timbul. Mengapa? Kerana rumput panjang. Tanya sama rumput pula, jawabnya kerana kerbau tidak makan. Soal jawab itu bersambung lagi, kerana tuan kerbau tidak alihkannya dari kandang ke tempat rumput itu.
Tanya tuan kerbau itu, dia jawab kerana perutnya sakit. Tanya perut, ia jawab kerana makan nasi mentah. Kenapa nasi mentah? Kerana api tak menyala, kerana apa kayu api basah, kerana kayu ditimpa hujan, kerana dipanggil katak.
Akhir sekali baru kita mendapat jawabannya. Kenapa katak panggil hujan? Kerana ular nak makan katak.
Usul punya usul, rupa-rupanya bangau menjadi kurus puncanya ialah kerana perbuatan ular nak makan katak. Tetapi proses mengetahui jawaban itu melibatkan sebelas ‘mengapa dan kerana’.
Proses kait mengait yang melibatkan lebih satu tahap inilah yang menyebabkan manusia yang lemah daya fikirnya tidak ‘terhambat’. Katakanlah dalam soal mengharamkan arak dan judi, sepertimana yang dilakukan dua buah negeri yang diperintah PAS sahaja, iaitu Kelantan dan Terengganu.
Soalnnya mungkin bermula kenapa PAS boleh mengharamkan arak dan judi di dua negeri itu? Jawabnya, kerana ia telah menguasai kerajaan. Kenapa? Kerana majorit Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri-negeri itu adalah ADUN PAS.
Kenapa begitu? Kerana lebih ramai calon PAS yang menang pilihan raya berbanding calon parti lawan. Tanya lagi kenapa? Kerana majoriti rakyat telah memilih mereka.
Jadi, jawaban pintas kepada soalan kenapa PAS boleh mengharamkan arak dan judi di dua negeri itu ialah kerana rakyat telah memilih PAS. Oleh kerana mengharamkan arak dan judi itu adalah tuntutan Islam orang yang melakukannya tentu sekali mendapat pahala. Maka, rakyat sebagai pengundi yang bertanggungjawab memilih kerajaan yang melakukannya juga turut mendapat pahala.
Kesimpulan ini bukan semata-mata berdasarkan logik ‘Bangau Oh Bangau!’ tadi. Perkara ini turut terkandung dalam sabda Rasullullah s.a.w. yang mengatakan bahawa barangsiapa yang menjadi pendorong kepada kebaikan, maka baginya (pahala) sama juga seperti orang yang melakukan kebaikan itu.
Perbincangan mengenai hubungkait pelaku atau pendorong dengan sesuatu perbuatan ini juga membawa kita untuk memahami satu kaedah syarak yang mengatakan ‘sesuatu perkara yang tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya, maka perkara itu juga menjadi wajib’.
Kalaulah kita ada ruang yang lebih panjang, tentu sekali perbahasan ini akan menjadi lebih menarik!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 41, 22 Februari 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment