Oleh: Mohd. Nasir Awang
SELANG tidak berapa hari lagi akan genaplah 44 tahun usia kemerdekaan tanahair tercinta ini dari belenggu penjajahan. Tidak patut ada walau seorang pun rakyat negara ini yang tidak merasa gembira di atas kemerdekaan yang kita nikmati ini. Bukankah kemerdekaan itu melambangkan jatidiri bangsa yang mampu mentadbir sendiri tanpa kongkongan kuasa luar?
Namun, walau pun pada zahirnya penjajah telah berambus dari negara kita, warisan penjajahannya masih kekal terpampang di sana-sini. Kubu, bangunan pentadbiran, residensi, tembok, tugu, rumah ibadat, mercu tanda dan lain-lain tinggalan penjajah dipulihara begitu rapi oleh ‘orang yang pernah dijajah’.
Malah ia turut menjadi daya tarikan kepada cucu-cicit penjajah untuk kembali ke negara ini.
Antara tempat yang mereka sangat suka lawati sudah tentulah tempat peninggalan nenek moyang mereka. Mana ada cucu cicit yang tidak merasa bangga apabila ‘bekas tangan’ nenek moyang mereka dikenang dan dijagai orang?
Seperkara yang perlu diingat bahawa kedatangan penajajah ke negara kita bukan sekadar untuk mendapatkan rempah-ratus dan lain-lain hasil mahsul, sebagaimana yang diajarkan oleh buku-buku sejarah. Mereka mempunyai serampang dua mata, iaitu menjajah sambil mengembangkan ajaran Kristian.
Sebab itu, di saat ketua-ketua gerombolan penjajah menyibukkan diri mereka dengan aktiviti memunggah bijih timah, besi, rempah-ratus, kayu-kayan dan berbagai lagi, gerombolan paderi dan mubaligh terlatih memainkan peranan berasingan di bidang pendidikan.
Dengan kuasa dan kepakaran yang ada pada mereka, penjajah telah berjaya mengindoktrinasikan pemikiran rakyat mengikut acuan pemikiran yang mereka kehendaki. Di antara cara yang digunakan ialah memalsukan sejarah. Apa jua catatan sebenar mengenai sejarah tanahair cuba dipadamkan dari pengetahuan rakyat.
Sejarah negara ditulis semula mengikut acuan penjajah, sekaligus bagi menggambarkan keagungan dan kehebatan bangsa penjajah. Terlebih nyata lagi ialah bagaimana penulisan semula sejarah tanahair itu telah mengakibatkan tertimbusnya peranan Islam sebagai kuasa besar di rantau Asia Tenggara ini.
Pernahkah kita diajar di dalam kelas sejarah bahawa Kerajaan Melaka yang jatuh ke tangan Portugis pada 1511 itu adalah sebuah kuasa besar Islam di Asia Tenggara? Tahukah kita bahawa ketika berita penaklukan Melaka oleh Portugis sampai ke Eropah, satu perayaan besar-besaran telah diadakan di Vatican City (bandar suci penganut Kristian)?
Logiknya, jika semata-mata di atas dasar perluasan kuasa, mengapa perayaan itu tidak diadakan di London (pusat pentadbiran Britain), Lisbon (Portugal) atau pun Amsterdam (Belanda)?
Sejarah yang ditulis semula oleh penjajah itu juga turut memberi gambaran negatif terhadap beberapa tokoh pejuang Islam rantau ini. Sultan Abdul Samad di Selangor, Pateh Yunus di Tanah Jawa, Raja Haji di Sulawesi dan lain-lain lagi yang memimpin bala tentera Islam menghadapi ancaman penjajah dicatatkan sebagai pemberontak atau lanun yang mengacau keamanan.
Di atas hasrat yang sama, penjajah telah berjaya memburukkan seorang pejuang tanahair iaitu Datuk Maharajalela dari Perak, sampai ke tahap pekataan ‘maharajalela’ itu sendiri dirakamkan sebagai makna ‘berbuat sesuka hati’ dalam perkara-perkara buruk dan terkutuk. Jelas sekali dari segi penggunaan bahasa pun kita sebenarnya masih tidak merdeka!
Rumpun bangsa Melayu juga digambarkan sebagai berpecah-belah, suka berperang dan tidak mempunyai sebarang ikatan persaudaraan Islam antara mereka. Sebab itu di saat Melaka diserang Portugis, orang-orang Jawa dikatakan datang ke Johor hanya untuk menanam kelapa. Orang Sumatera (Minangkabau) datang ke Negeri Sembilan hanya untuk berkebun. Hakikat kedatangan mereka ke Tanah Melayu bagi membantu menentang penjajah Barat atas nama Islam telah dipalsukan.
Negara kita sudah 44 tahun merdeka. Usia itu seringkali dikaitkan dengan usia kematangan. Maka sudah kena pada masanya pemikiran rakyat juga dimerdeka dan dimatangkan. Pandanglah kepada bangsa-bangsa yang lebih maju dari kita, bangsa yang berfikir secara merdeka.
Kita pernah diajar untuk ‘Pandang ke Timur’. Sayangnya, kita tidak pandang habis-habis, hanya sekerat sahaja. Bangsa Jepun, China dan Korea adalah bangsa yang sangat tinggi tamadun pemikirannya. Bangsa yang merdeka pada bila-bila masa pun tidak akan bersedia memandang remeh soal pemalsuan sejarah ibu pertiwi mereka.
Bayangkanlah, ada bangsa Korea yang sanggup mengerat jari kelingking semata-mata kerana terusik dengan sejarah silam kekejaman Jepun. Bantahan terhadap Jepun turut memuncak di seluruh Negara China dan Korea sekarang ini semata-mata kerana buku teks sejarah di sekolah-sekolah Jepun telah menyembunyikan fakta sejarah kekejamannya terhadap dua jiran terdekatnya itu.
Tetapi kita, bukan sekadar merelakan sejarah tanahair dipalsukan semahu orang, direlakan nama pejuang dimomokkan secara negatif, malah kita turut rela berbelanja besar bagi memulihara warisan tinggalan penjajah kononnya atas nama sejarah.
Itulah istilah ‘merdeka’ yang setakat ini kita terimapakai!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 30, 22 Ogos 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment