Oleh: Mohd. Nasir Awang
DALAM minggu-minggu terakhir bulan lalu, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah menganjurkan siri program perjumpaan membabitkan golongan yang ‘baru’ memeluk Islam.
Program yang dinamakan ‘Majlis Perjumpaan dan Keraian Saudara Kita Negeri Terengganu’ itu khabarnya diatur mengikut daerah-daerah.
Mengambil contoh majlis yang diadakan untuk daerah Besut dan Setiu pada 23 Ogos lalu, program separuh hari itu boleh dikatakan lebih sebagai perjumpaan sosial. Lagi pun tujuan ianya diadakan lebih untuk menerangkan beberapa dasar dan peraturan berkaitan Saudara Kita. Sebab itu ia diisi dengan hanya sesi monolog oleh pihak penganjur, diikuti sesi dialog ringkas bersama Dato’ Seri Tuan Guru Menteri Besar.
Pun begitu, banyak juga pengajaran dan panduan dapat dikutip dari majlis ringkas dan ringan itu. Sekurang-kurangnya Saudara Kita diyakinkan lagi tentang tindakan tepat mereka memilih Islam sebagai cara hidup. Beberapa aspek kebaikan hukum-hukum Islam dihuraikan secara rasional dan logik oleh Tuan Guru sendiri.
Saudara Kita juga diperbaharui ingatan bahawa di dalam usaha memahami Islam ini, sumber rujukan mestilah Al-Quran, Hadis dan para ulama’.
“Jangan lihat Islam pada orang Melayu. Kerana, ada orang Melayu yang Islam tetapi tidak melaksanakan Islam sepenuhnya”, kata seorang pengucap dalam majlis berkenaan.
Lebih-lebih lagi, kata beliau, Islam bukan ditentukan oleh keturunan.
“Ramai orang yang asal keturunannya Islam tetapi memilih agama yang bukan Islam”, katanya.
Pengakuan itu boleh difahami dengan maksud bahawa Islam tidak semestinya Melayu dan begitu juga Melayu tidak semestinya Islam. Kita tidak boleh lagi berkata Islam dan Melayu adalah sinonim. Begitu juga, kita tidak boleh lagi berkata ‘hidup Melayu, hiduplah Islam’.
Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia bagi tahun 1980 boleh menguatkan kenyataan ini. Banci itu menyatakan bahawa daripada 6.1 juta penduduk berbangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, seramai 4,766 menganut agama Kristian.
Seramai 522 orang Melayu menganut agama Hindu, 746 menganut ajaran Confucian, Tao dan lain-lain agama tradisi orang Cina. Manakala seramai 13,666 orang Melayu tidak menganut sebarang agama (atheis).
Sengaja kita memetik perangkaan 20 tahun yang lalu. Menunjukkan soal Melayu tidak beragama Islam ini bukannya perkara baru. Besar kemungkinan perangkaan yang dicatatkan itu telah berubah. Mungkin jumlah Melayu yang menganut agama selain Islam telah semakin berkurangan, atau mungkin juga sebaliknya. Tetapi, dengan perkembangan teknologi, arus modenisasi beserta budaya hedonisme yang semakin kuat melanda negara, harapan untuk melihat jumlah Melayu yang tidak beragama Islam itu semakin berkurangan rasanya agak payah.
Bukankah kita pernah dengar cerita tentang kewujudan Persatuan Melayu-Kristian di beberapa negeri kita? Bahkan kita turut dimaklumkan betapa sudah ada gereja-gereja yang dikhususkan untuk orang-orang Melayu dan dikendalikan sepenuhnya oleh paderi-paderi berbangsa Melayu!
Beberapa ahli politik yang turut terlibat dalam Operasi Lalang 1987 lalu mengesahkan cerita itu. Kerana, turut ditahan bersama mereka ialah beberapa paderi Kristian berbangsa Melayu.
Dalam Majlis Dialog Peradaban anjuran bersama JHEAT danYayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu beberapa bulan lalu, perkara ini turut ditimbulkan. Beberapa Saudara Kita yang terdiri yang terdiri daripada bekas paderi Kristian, bekas mubaligh Hindu dan bekas aktivis Buddha telah memaparkan ancaman terbaru terhadap agama Islam dari pelbagai sudut.
Mereka turut mengesahkan wujudnya gereja dan paderi Melayu. Bahkan mereka turut menyebut secara berani betapa sudah ada tokoh yang agak terkenal dalam negara ini yang berbangsa Melayu tetapi menganut ajaran Kristian.
Tulisan ini bukan bertujuan menafikan kebebasan penganut agama selain Islam untuk mempraktikkan agama masing-masing. Jauh sekali untuk mengapi-apikan persoalan agama yang sememangnya sangat sensitif dalam negara ini. Kita sebenarnya mahu membuktikan kepada masyarakat, khususnya orang-orang Melayu, bahawa tidak semua orang Melayu di negara ini adalah Islam.
Justeru, golongan yang mendakwa ‘hidup Melayu hiduplah Islam’ adalah golongan yang tidak berpijak di bumi nyata. Islam tidak memerlukan Melayu untuk hidup, tetapi Melayu amat memerlukan Islam.
Sebabnya, apabila Melayu mengenepikan Islam dalam kehidupan mereka, maka wujudlah sebuah masyarakat yang pincang dan bobrok. Wujudlah Melayu tanpa bapa yang jumlahnya lebih ramai daripada Melayu tanpa rumah. Melayu pembakar sekolah nak sama ramai dengan Melayu penagih dadah. Melayu pemijak Al-Quran lebih ramai daripada Melayu penghafal Al-Quran.
Dalam keadaan sebegini, jangan harapkan orang Melayu untuk dijadikan contoh seorang Muslim sejati oleh Saudara Kita dari bangsa India, Cina, Siam dan sebagainya. Kerana, sebahagian orang Melayu itu sendiri perlu mengikuti kursus memahami semula Islam, sebagaimana diperlukan oleh Saudara-Saudara Kita itu.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman, Bil: 31, 8 September 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment