Oleh: Mohd. Nasir Awang
KISAH kesengsaraan hidup lapan sekeluarga di Kampung Pancur, Besut telah mendapat perhatian umum baru-baru ini.
Sekalung tahniah buat Tuan Zubaidah Tuan Kob, 31, yang sangat tabah mengambilalih sepenuhnya tanggungjawab menyara kehidupan keluarganya.
Amat malang bagi ibu muda beranak enam itu apabila suaminya, Daud Hassan, 35, sering menghadapi gangguan mental sehingga tidak lagi berupaya menyempurnakan tugas sebagai ketua keluarga.
Meski pun berbekal upah menoreh getah kira-kira RM2.80 sahaja sehari, Tuan Zubaidah sekurang-kurangnya mampu memastikan anak-anaknya tidak kebuluran, walaupun seringkali terpaksa berlaukkan garam sahaja.
Anak-anaknya yang berusia dalam lingkungan dua hingga 12 tahun itu masih terlalu ‘mumbang’ untuk berkongsi tanggungjawab tersebut. Manakala apa yang dipanggil ‘rumah’ bagi mereka hanyalah tidak lebih sebuah pondok usang.
Tiada kemudahan bekalan air mahu pun elektrik. Malah, ia terdedah kepada terik mentari atau kebasahan hujan, akibat bocor di sana sini.
Kita tidak berhasrat menyalahkan mana-mana pihak atas kesengsaraan yang ditanggung mereka itu. Tetapi ia mengesahkan dakwaan bahawa dalam sebarang agihan bantuan kerajaan sebelum ini, sama ada bantuan kebajikan, agihan wang zakat, subsidi input pertanian mahu pun bantuan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), yang diutamakan oleh pihak bertanggungjawab ialah hubungan kekeluargaan dan politik, bukannya merit dan kelayakan sebenar.
Dalam banyak kes, maklumat peribadi dan pendapatan pemohon tidak ditapis dan disahkan kesahihannya. Ia semata-mata bergantung kepada perakuan ketua kampung atau penghulu.
Mekanisme tertentu bagi menapis ketepatan maklumat itu tidak diwujudkan di peringkat daerah-daerah. Dalam keadaan begitu sudah tentu ada keluarga yang benar-benar susah dan sepatutnya menerima bantuan tetapi tidak diberikan bantuan.
Sebaliknya, orang yang bukan dari golongan ‘rakyat miskin’ pula ada yang menerima bantuan.
Sebagai contoh, satu keluarga di Kampung Saujana, Setiu telah diberikan bantuan PPRT sebanyak RM7,000 bagi mendirikan rumah kerana kononnya keluarga berkenaan masih belum mempunyai rumah.
Rupa-rupanya mereka telah mempunyai rumah yang selesa dan bantuan yang diterima itu digunakan untuk membina sebuah lagi rumah. Manakala rumah asal mereka disewakan.
Di Kampung Benting Lintang, Besut pula bantuan RM2,500 bagi membaiki rumah telah digunakan bagi mendirikan sebuah rumah yang kosnya dianggarkan RM12,000.
Siasatan audit mendedahkan pemilik rumah itu (yang dikatakan layak menjadi rakyat ‘termiskin’) mempunyai pelaburan dalam ASB dan menggunakan sebahagian simpanannya untuk membina rumah berkenaan.
Seorang ketua keluarga di Kampung Belara, Kuala Terengganu yang menerima bantuan RM2,500 bagi membaiki rumahnya telah berbelanja RM8,000 semata-mata bagi membesarkan dapur rumahnya sahaja. Manakala sebuah keluarga lain yang menerima bantuan RM7,000 bagi membina rumah, telah menggunakannnya bagi memperbesarkan rumah yang sudah ada.
Perincian mengenai penyelewengan tersebut terkandung di dalam Laporan Audit Negeri Terengganu bagi tahun 1997 lalu di bawah perkara III Aktiviti-aktiviti Jabatan Negeri dan Kajian Khas. Ia boleh disemak oleh sesiapa sahaja yang mahukan kepastian.
Perlu diingat bahawa laporan audit merupaka pendedahan yang diperakui paling autoritatif mengenai perjalanan kewangan sesebuah kerajaan. Dalam ertikata yang lain penyelewengan birokrasi dalam penyaluran bantuan PPRT itu disahkan berlaku oleh Jabatan Audit Negeri sendiri.
Laporan yang sama juga memberikan contoh keluarga yang betul-betul miskin dan mendiami rumah yang uzur, tetapi tidak diberikan bantuan. Antaranya ialah seorang ketua keluarga di Kampung Masjid Haji Kadir, Kuala Terengganu dengan pendapatan RM80 sebulan.
Tuan Zubaidah ketika menceritakan kepada wartawan berkata, terdapat unsur-unsur persamaan antara kes tersebut dengan apa yang berlaku di Kampung Pancur, Besut itu.
“Saya sudah pergi ke pejabat kebajikan (JKM) beberapa kali untuk mohon bantuan, tetapi ditolak dengan alasan masih ada suami lagi”.
Apabila diminta kepastiannya bilakah kali terakhir beliau berbuat demikian, Tuan Zubaidah menyebutkan ianya berlaku kira-kira tiga tahun lalu.
Kita percaya pihak JKM tiga tahun lalu itu mempunyai alasan yang kukuh untuk menolak permohonannya. Tetapi, kita juga tidak menolak kemungkinan JKM sebagai sebuah jabatan kerajaan turut dibayangi oleh ‘tangan-tangan politik’ dalam menentukan lulus atau tidak sesuatu bantuan.
Tambahan pula, kita diberitahu bahawa Allahyarham Tuan Kob, ayah kepada Tuan Zubaidah itu semasa hayatnya adalah orang kuat PAS (pembangkang ketika itu).
Maka tidak mustahil keluarga itu adalah satu lagi contoh mangsa penyelewengan birokrasi pemerintahan dahulu.
Keadaan ini perlu diperbetulkan. Kerajaan yang ada mesti bertanggungjawab terhadap semua rakyatnya tanpa mengira latar belakang, ras, keturunan mahu pun kecenderungan politik. Manakala birokrasi yang masih ada kecenderungan untuk menyeleweng perlu juga dihapuskan.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 29, 8 Ogos 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk 'Mangsa penyelewengan birokrasi')
No comments:
Post a Comment