Saturday, August 18, 2001

Baru sedar keburukan budaya muzik?


Oleh: Mohd Nasir Awang

ISU penyelewengan akidah melalui persembahan genre muzik ‘black metal’ sebenarnya bukanlah isu baru. Berita Harian 22 Mei 1992 pernah mendedahkan berlaku penyebaran album lagu ‘thrash’ dan ‘death metal’ persembahan artis Barat di Kuala Lumpur, yang memaparkan kulit album bergambar lucah dan isi album mengandungi lirik menghina Islam dan Allah Ta’ala.

Antaranya lagu berjudul For They Shall Be Slain. Dalam liriknya, antara lain menyebutkan: Cursed are the slaves of Islam. For They shall be slain. Religion of the lowest minds. Allah is dead. (Terjemahan: Disumpah hamba-hamba Islam, Kerana mereka akan disembelih. Agama orang-orang berfikiran dangkal. Allah itu mati.)

Astaghfirullah al-Azim! Malangnya, di negara ini penguatkuasaan undang-undang menghukum orang yang menghina Islam adalah kabur, tidak jelas dan tidak menggerunkan orang melakukannya. Tambahan pula, terdapat ketidakseriusan yang sangat nyata di kalangan pihak bertanggungjawab dalam menangani kes-kes seumpama ini. Sedangkan kesan daripada penularan budaya seumpama itu amatlah membimbangkan, terutama di kalangan remaja.

Khalayak budaya popular di dalam mana-mana masyarakat sebahagian besarnya adalah remaja. Sebab itu mereka berperanan besar mencorakkan budaya yang diinginkan dalam kehidupan seharian. Dari gaya berhibur, berjalan, berpakaian sehinggalah cara bercakap, semuanya adalah hasil daripada satu proses pembudayaan yang berlaku di kalangan remaja.

Kebetulan pula, bangsa Melayu memang terkenal dengan sikap mudah meniru tanpa meneliti sejarah asal-usul atau latar belakang sesuatu budaya yang ditiru itu. Muzik misalnya adalah salah satu media hiburan yang paling cepat ditiru oleh kebanyakan remaja kita. Keadaan ini menyebabkan muzik yang pada asalnya hanya dianggap sebagai hiburan telah mendapat peranan tersendiri sebagai komponen penting budaya popular dalam masyarakat.

Elok juga diteliti asal-usul dan kesan buruk beberapa genre muzik yang wujud di seluruh dunia kini. Muzik rap dan hip-hop misalnya tidak sekadar muzik untuk hiburan seperti tanggapan kebanyakan remaja kita. Rap tidak sekadar menyanyi tergagap-gagap atau berseluar di paras lutut, berjalan terhinjut-hinjut, berbaju T atau memakai topi bermuncung terbalik. Rap dan hip-hop asalnya menjadi premis kepada remaja kuilit hitam di Amerika memprotes sistem sosial yang rasisme.

Rap menjadi wadah atau alat ekspresi politik remaja African-American yang hidup dalam suasana yang terpinggir dalam masyarakat kulit putih. Ekspresi ini dilebih-lebihkan menerusi gerak semasa menyanyi dan terbawa-bawa dalam menjalani sosial seharian. Sebab itu ada pengkaji budaya popular menggelarkan rap sebagai CNN of Black People. (CNN adalah singkatan kepada Cable News Network, sebuah saluran tv sangat popular di negara itu.)

Lirik dalam lagu-lagu reggae pula telah dikenalpasti oleh para penganalisis sosial di negara-negara Kepulauan Carribean sebagai salah satu punca utama yang menyumbang kepada peningkatan jenayah di kalangan remaja. Unsur-unsur keganasan, kehidupan lepas-bebas bersama dadah, pembunuhan, rogol dan rompakan dikatakan banyak diterapkan melalui lirik lagu-lagu reggae, yang merupakan irama muzik kegemaran masyarakat beberapa negara kepulauan itu.

Dunia juga memperakui betapa besarnya kesan pembudayaan Woodstock terhadap masyarakat dunia ini. Woodstock adalah perhimpunan tahunan bersandarkan pesta seni dan muzik yang berlangsung selama tiga hari tiga malam. Ia telah dimulakan pada 15 Ogos 1969 di Sullivan County, Amerika Syarikat. Prinsip utama Woodstock ialah berfikiran terbuka, seks bebas dan menggunakan dadah, kerana semuanya dibolehkan di pesta terbesar di dunia itu.

Acara tradisi Woodstock bukan sahaja memukau 450,000 pengunjungnya, malah telah berjaya menjana seks bebas dan dadah di seluruh dunia. Ia telah melahirkan budaya baru yang merebak ke seluruh dunia dengan pantas sekali iaitu hippies.

Di negara kita sendiri, usaha-usaha bagi menghidup dan menyuburkan ‘budaya kuning’ sebegini juga rancak dijalankan. Sebab itu kumpulan-kumpulan muzik rock yang bertaraf antarabangsa sering dibawa masuk bagi memerangkap secara halus generasi muda untuk mendukung budaya sesat sebegini.

Kajian kes oleh dua orang pensyarah universiti tempatan ke atas Konsert Scorpions di Stadium Merdeka anjuran sebuah syarikat rokok terkemuka di negara ini pada 11 September 1996 lalu boleh dijadikan contoh. Dr. Syed Azman Syed Ahmad dari Universiti Malaya dan Dr. Noraini Hashim (Universiti Islam Antarabangsa) beserta para pembantu mereka telah menemubual 269 orang remaja Melayu yang menghadiri konsert berkenaan.

Hasil kajian menunjukkan bahawa ada kaitan rapat antara pengaruh budaya rock dengan gejala keruntuhan moral di kalangan remaja Melayu. Antara statistik yang diperolehi hasil temubual langsung dengan golongan remaja terbabit ialah 91 peratus daripada mereka mengaku tidak sembahyang, 81% menghisap rokok, 53% pernah mengambil dadah, 54% pernah meminum arak, 32% pernah berjudi, 67% mengaku pernah menonton filem lucah dan 28% mengaku terlibat dengan hubungan seks bebas.

Malangnya, hasil kajian kes tersebut telah dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu, terutama para pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN). Malah, di dalam memberikan reaksi terhadap beberapa kumpulan aktivis PAS yang sering mengadakan demonstrasi aman membantah konsert rock di tempat mereka, beberapa menteri pernah memberikan jawaban sinis. Antara mereka ada yang berkata: “Kalau dah tak minat, tak payahlah datang tengok! Jangan nak halang orang lain pulak!”

Begitu juga apabila kerajaan dua negeri di Pantai Timur yang diperintah PAS bertegas mengharamkan konsert hiburan, berbagai komentar negatif dilemparkan. Dengan kes terbaru black metal itu sudah sepatutnya pihak yang selama ini terlalu negatif itu perlu memikirkan kembali pendirian mereka.

Terimalah hakikat bahawa dunia muzik yang ada di hadapan kita sekarang bukannya dipersembahkan oleh Tan Sri P. Ramlee, Sudirman, Datuk M. Daud Kilau atau Datin Rafeah Buang dengan dendangan lagu-lagu yang berunsur nasihat. Yang ada ialah muzik cacamarba dan haru-biru yang berkait rapat pula dengan berbagai gejala tidak sihat di dalam masyarakat. Kalau nak sedar pun, sedarlah!

(Artikel ini disiarkan buletin Al-Balagh, edisi 18 Ogos 2001. Buletin ini ialah terbitan tidak berkala oleh Lajnah Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu)

No comments:

Post a Comment