Wednesday, January 15, 2014

Lelaki pun tahu rimas juga!


Oleh: Mohd Nasir Awang

Jutaan takziah kita ucapkan kepada mangsa-mangsa banjir yang melanda beberapa negeri awal bulan ini (Disember). Pada setiap kali kedatangan bencana alam itu, setiap mangsa pastinya mengalami kepayahan hidup dan kerugian harta benda, banyak atau sedikit. 

Kawasan yang dikenalpasti paling teruk dilanda banjir “gelombang pertama” itu adalah sebahagian Pahang dan selatan Terengganu. Beberapa daerah yang terjejas teruk ialah Kuantan, Temerloh, Pekan, Rompin, Jerantut dan Maran, di Pahang, selain Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman di Terengganu.

Di masa sama banjir turut melanda beberapa daerah di Johor seperti Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Muar dan Batu Pahat. Kelantan dan Melaka juga tidak terkecuali dilanda fenomena tahunan itu.

Media melaporkan di saat kemuncak bencana itu, lebih 30 ribu penduduk di kawasan-kawasan terbabit dipindahkan, melibatkan lebih 200 pusat pemindahan di lima negeri tersebut.

Banjir kali ini dikatakan tersangat luar biasa. Justeru, kemusnahan ditinggalkannya juga di luar kebiasaan yang pernah kita dengar dan lihat. Harta-benda yang musnah ditaksirkan berkali ganda berbanding kesan dialami mangsa-mangsa saban tahun sebelum ini.

Saya tidak berhasrat memanjang bicara mengenai keluarbiasaan itu. Melanjutkannya tidak mungkin dapat menampung kerugian dialami mereka yang terbabit, sebaliknya akan hanya mengingatkan kembali mereka kepada detik pilu yang wajar dilupakan itu.

Namun, di antara perkara menarik yang dapat saya kutip dalam perbincangan masyarakat mengenai banjir musim ini ialah soal keselesaan di tempat pemindahan. Keseluruhan komen yang saya temui tidak mengenepikan ucapan syukur kepada Allah SWT atas keselamatan jiwa masing-masing. Mereka juga berterimakasih kepada pihak berwajib kerana menyediakan tempat berteduh daripada kebasahan dan kesejukan.

Bagaimana pun, rata-rata mereka juga mengakui tahap keselesaan tempat-tempat pemindahan ini amat perlu dipertingkatkan. Wajar diingat, maksud ‘selesa’ yang diharapkan mereka itu bukanlah bererti “memindahkan” segala tahap keselesaan di rumah masing-masing ke situ. Dalam keadaan darurat sebegitu, rasanya semua mangsa boleh meninggalkan status sosial di pagar rumah masing-masing dan berkongsi apa yang ada secara ala-kadar di pusat pemindahan.

Namun, itu tidak bermakna pemberian barang-barang keperluan boleh dilewatkan. Contohnya, walau pun sudah sehari semalam di pusat itu, dikatakan barang-barang keperluan asas seumpama makanan, minuman, lapik duduk (tikar) dan selimut - yang sepatutnya sudah tersedia untuk kegunaan mereka - belum kelihatan. Dalam keadaan kritikal sebegitu, tempoh sehari semalam tidak wajar dianggap “sekejap”.

Catatan pengakuan dan pemerhatian jujur beberapa rakan saya yang berada sendiri di pusat-pusat tersebut mengukuhkan kesimpulan ini. Bagi saya ia sekaligus menggambarkan betapa tahap kesiapsiagaan pihak bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan asas itu masih belum boleh dibanggakan.

Banjir adalah fenomena tahunan. Saban tahun kita menghadapinya, bahkan musim kedatangannya sudah boleh dijangkakan. Justeru, soal ia melanda di luar jangka tidak sepatutnya menjadi alasan lagi. Persediaan menghadapi bencana ini sepatutnya suatu yang mengalami peningkatan tahun ke tahun, mengambilkira pengalaman lalu.

Lebih menghangatkan perbincangan mengenai bantuan kepada mangsa banjir ini ialah wujudnya laman sosial di internet. Teknologi kini membantu rakyat membuat perbandingan antara kualiti dan tahap persediaan tempat pemindahan banjir di negara kita dengan beberapa nagara dunia yang sering mengalami bencana alam.

Ada negara dikatakan mampu menyediakan katil bertilam beserta selimut untuk setiap mangsa bencana mereka. Kita mungkin tidak mampu setahap itu. Buat masa ini lupakanlah hasrat untuk mendapat “layanan seistimewa itu’. Tetapi takkan sebidang tikar pun tidak mampu disediakan?

Jepun pula dikatakan menyediakan khemah, atau lebih berupa bilik-bilik berdinding kain memenuhi ruang dewan atau hangar yang luas. Ia kelihatan seperti petak-petak kiosk atau booth di dewan eksposisi besar. Barangkali yang menghuni setiap bilik itu satu keluarga. Sekatan itu sekurang-kurangnya menjadikan ia lebih eksklusif untuk kelompok lebih kecil, berbanding dewan terbuka memuatkan ratusan mangsa.

Pemimpin negara kita bagaimana pun tidak gemar melihat bersemaraknya cadangan agar langkah-langkah sebegitu diterapkan di negara ini. Dikatakan bahawa menyediakan khemah berasingan untuk setiap keluarga mangsa banjir tidak sesuai dengan iklim negara kita.

Boleh jadi ia berasaskan andaian berada dalam khemah menjadikan mangsa panas dan berpeluh. Sedangkan di masa sama, kita bercakap soal membekalkan selimut untuk mangsa. Bahkan, terdapat laporan bahawa itu antara perkara dituntut mangsa. Ertinya, soal panas jika berada dalam khemah tidak begitu tepat, kerana suasana sekitaran masih sejuk sehingga memerlukan selimut.

Menguatkan cadangan penyediaan khemah ini ialah soal aurat dan kehormatan diri mangsa, terutama kalangan muslimat. Dalam hal ini saya tertarik dengan inisiatif peribadi seorang mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Sukan, Balai Besar, Dungun. Beliau membeli sendiri khemah sebaik dipindahkan, kerana memikirkan ia suatu keperluan bagi ahli keluarganya. Keadaan dewan yang terbuka tidak sesuai bagi golongan wanita untuk memelihara aurat.

Akhbar harian, 9 Disember memetik katanya, “bagi yang ada anak gadis, tentu tidak berapa sesuai mereka tidur di tempat terbuka. Bagi isteri pula, takkan nak dedahkan aurat kita ketika tidur kepada bukan muhrim”.

Beliau mengakui dengan  memasang khemah sebegitu, ia memberi “keselesaan dan jaminan kepada golongan wanita.”

“Bayangkan kalau isteri kita sedang tidur (di tempat terbuka) dan dilihat lelaki yang bukan mahramnya, mungkin situasi itu tidak berapa sesuai untuk kita orang Islam”, katanya.

Ya, saya amat menyokong kenyataan beliau itu. Sudah sampai masanya aspek hukum agama turut dijadikan perkiraan dalam penyediaan kemudahan tempat pemindahan bencana alam negara kita.

Malah, bukan wanita yang mementingkan penutupan  aurat sahaja yang merasa tidak selesa untuk bergerak atau tidur di tempat terbuka. Saya kira kaum lelaki juga tidak semua selesa dengan keadaan itu. Jangan ingat semua lelaki suka jika sepanjang hari terpaksa tengok perempuan saja. Toleh kiri perempuan, toleh kanan perempuan, tengok depan pun perempuan. Apatah lagi, dengan trend berpakaian sekarang ini, ditakdirkan kebetulan kesemua perempuan itu semacam berpakat pula memakai “t-shirt adik” masing-masing. Kita kaum lelaki pun tahu rasa rimas juga!

 (Artikel ini disiarkan majalah Era Muslimah, Bil. 21 di kolum 'Coretan Ketua Pengarang' dengan tajuk sama)

Saturday, December 28, 2013

"KITO NOK GI DUK LLAIN DOH..."


(Kembalinya ke rahmatullah Wan Khamsah bte Wan Harun)

25 SAFAR 1435/28 Disember 2013:

“Abe Wa!”, sapa Sah separuh melaung, dari dalam pagar rumahnya sebaik melihat saya di tangga rumah Ayah.

Di kampung, saya lebih dikenali dengan nama Anuwa. Justeru panggilan ‘Abe Wa’ adalah lumrah, sama ada oleh mereka yang bertaraf ‘adik’, mahu pun yang lebih berusia daripada saya.

“Aihhh, Sah... dengan beg-beg baju tuh, nok gi kwano tuh?”, balas saya, juga sedikit melaung. Maksud pertanyaan saya itu, "nak ke mana dengan beg-beg baju tu?"

Seperti biasa anak jiran sebelah rumah Ayah itu akan tersengih dan ketawa kecil. Seraya mengangkat sedikit beg pakaian dibawanya, dia berseloroh, “kito nak gi duk llain doh Abe Wa, toksir duk ssining doh...”, sambungnya, diiringi ketawa lebih kuat. Maksud katanya itu, “nak pergi tinggal di tempat lain dah Abe Wa, tak nak tinggal di sini dah”.

Memandangkan kami memang sangat kerap berseloroh dan bergurau, dan tuturan Sah pagi itu pun saya fahami dengan nada bergurau, maka saya selalunya menyambung perbualan juga dengan ayat-ayat gurauan.

“Aik... suppo oghe ngajuk jah pesengae tuh?”, geletek saya lagi. (Aik... seperti orang merajuk je nampak tu?)

Sah hanya menyambutnya dengan ketawa lebih “berekek”, seraya berlalu ke dalam rumahnya.

Seingat saya itulah perbualan terakhir antara kami. Ia berlaku sudah lebih sebulan lalu. Selepas itu kami tidak berkesempatan bersua dalam keadaan yang sesuai untuk berbual-bicara begitu. Ada juga beberapa kali berselisih kereta dengannya di jalan. Seperti biasa, dari jauh dia akan tersengih melihat kereta saya. Ada kalanya dia menekan hon sambil tersenyum, di ketika lain dia melambai-lambai ke arah saya, sewaktu berselisih.

Namun, semua kemesraan itu kini hanya tinggal kenangan... kenangan yang walau pun sangat manis, tetapi turut berbaur kepiluan. Petang tadi, Ayah bergegas ke rumah saya yang terletak kira-kira 1 kilometer dari rumahnya ke arah pantai, menyampaikan berita amat mengejutkan.

SAH, nama sebenarnya Wan Khamsah Wan Harun sudah dijemput pulang oleh Allah Azza wa Jalla awal petang tadi. Beliau yang disyaki mangsa leptospirosis (kencing tikus) meninggalkan suami bersama empat anak.

Tidak syak lagi, kehilangannya amat saya rasai. Dia bukan saja seorang “adik” yang peramah dan sentiasa ceria dengan gurauan dan selorohnya, malah juga insan yang ringan tulang membantu keluarga kami, bila-bila saja diperlukan.

Kerapkali apabila hendak keluar, terutama ke pasar, Sah akan tanya Ayah dan Mek kot-kot ada apa-apa yang mahu ditolong-belikan. Pernah juga ketika Ayah diserang sakit perut, Sah menelefon ke rumah kami memperihalkannya.

“Tak dak dah la jiran hak baik sekali... oghe hak duk tolong bbeli gotu-goni sokmo ko kito”, luah Ayah dengan nada pilu. (Dah tak ada lagi jiran yang paling baik... orang yang selalu tolong belikan itu-ini untuk kita)

Ya.... hanya setelah dia pergi... baru saya teringat kembali kata-katanya sebulan lalu itu, “kito nak gi duk llain doh Abe Wa, toksir duk ssining doh...”. Hari ini gurauannya itu benar-benar menjadi realiti. Sah telah “pergi untuk tinggal di tempat lain”.

Demi Allah, mengimbau kemesraan antara kami, saya tak mampu membendung manik-manik jernih mengalir membasahi pipi.

Antara sikapnya yang terpuji ialah menerima hakikat “kekurangan” dirinya. Sebagai contoh, kulitnya yang agak gelap berbanding kakak dan adik lelakinya, masih boleh dijadikannya bahan gurauan.

Saya teringat suatu petang, kala senja hampir berlabuh, saya tiba di pekarangan rumah Ayah. Sah pula kelihatan baru keluar dari pagar rumahnya menuju ke kereta.

“Aihh, Sah…. Nok kwano tu gelap-gelap ni?”, tanya saya (maksudnya: Nak ke mana tu hari dan menggelap ni).

“Gelap, gelap to slow sikit Abe Wa…. sensitif!”, jawab Sah pantas, sambil ketawa berekek. Dia maksudkan “gelap” itu merujuk kepada warna kulitnya.

Saya yang memang tidak bermaksud ke situ dengan pertanyaan tadi turut bercuit hati dengan gurauan Sah, sekaligus terpegun dengan sikapnya itu.



Suratan atau kebetulan, kami juga rupanya berkongsi kudapan kegemaran yang sama - KETUPAT GORENG! Saya memang suka makan ketupat pulut yang dibuang bungkusan daun palasnya, kemudian digoreng sehingga lapisan luar pulutnya garing keperangan. Tak disangka, kudapan ini rupanya turut menjadi kesukaan Sah. 


Suatu petang saya ke kedai Ayah Wan (ayah kepada Sah, Wan Harun) untuk mendapatkan sesuatu keperluan. Seelok saya memasuki kedai, Sah kebetulan muncul dari dapur rumahnya bersama sedulang hidangan untuk ayahnya.

"Abe Wa... ttupat (ketupat) goreng!", ujar Sah, seraya ketawa kecil, sebagaimana biasa. Dalam masyarakat kami, pernyataan begitu bermaksud bukan setakat memberitahu, tetapi difahami turut bermakna mengajak. Dalam perkataan lain, Sah bermaksud mempelawa saya, "Mari makan ketupat goreng ni..."

"Uihhh... sedap tu Sah, febret Abe Wa tuh!", jawab saya pantas.

"Memae pun... kito tahu doh febret Abe Wa ni... hahahahaaa!", sahut Sah, diiringi ketawa lebih besar.

"Kopi O, Sah... kopi O!", sambung saya, dengan maksud melengkapkan keenakan hidangan itu.

"Beyyehhh!!!" (beres!!), sambut Sah pula, lagi dengan tawanya.

Makanya, tak pasal-pasal dapat merasa ketupat goreng panas-panas dengan kopi O la saya petang tu. Tarikh itulah juga saya tahu kudapan itu juga jadi kegemaran Sah.

Kini, saya tentunya kehilangan seorang jiran dan “adik”, yang kemesraannya tidak mungkin berganti. Sekalung doa dari Abe Wa untuk Sah:

“Allahummaghfirlaha warhamha wa’aafiha wa’fu ‘anha waakrim nuzulaha wawassi’ madkhalaha wanaqqiha minal-khotoya kama yunaqqath thaubal abyadhu minad-danas. Wa abdilha daaran khairan min daariha, wa zaujan khairan min zaujiha, wa ahlan khairan min ahliha, wa adkhilhal-jannah wa a’izha min azaabil qabri wa fitnatihi wa min azaabin-naar. Allahummaj’al qabraha rawdhatan min riyaadhil-jannah...”

(Gambar: Bersama Sah (bulatan) dan ibunya, Che Rokiah Daud ketika berhari raya ke rumah kenalan di RAKR Pengkalan Nyireh, 2011 lalu)

Friday, November 15, 2013

Ketegasan an-Najasyi kecewakan Quraisy


Muqoddimah – isyarat hijrah dari al-Quran
Siri penindasan ke atas orang-orang Islam bermula pada pertengahan atau pengakhiran tahun ke-4 kenabian. Tekanan dan penyeksaan yang mulanya sedikit, semakin bertambah dari hari ke hari, sehinggalah menjadi kuat pada pertengahan tahun ke-5.

Di saat memuncaknya penindasan yang tidak tertanggung oleh para pengikut Nabi Muhammad saw itu, maka turunlah surah al-Kahfi sebagai jalan penyelesaiannya. Antara lain ia merakam isyarat daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya itu supaya berhijrah. Ia mengandungi tiga buah kisah teladan mengenai penganut sebenar, iaitu kisah Sahabat Gua (Ashabul Kahfi), kisah Al-Khidir dan Musa as, diikuti kisah Zulkarnain, seorang raja yang gagah perkasa bagi timur dan barat. (al-Mubarakpuri, h. 88-89)

Kemudian turun pula surah Az-Zumar dengan isyarat lebih jelas mengenai hijrah, melalui firman Allah:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.  (az-Zumar 39:10)

Habsyah jadi pilihan
Dari Muhammad bin Ishak Al-Muthalibi, katanya: Ketika Rasulullah saw melihat penderitaan yang dialami Sahabat-Sahabatnya, manakala Baginda sendiri agak selesa disebabkan kedudukannya di sisi Allah dan di sisi bapa saudaranya, Abu Talib; sedangkan Baginda sendiri tiada daya untuk melindung mereka, maka Nabi saw bersabda: ‘Bagaimana kalau kamu berhijrah ke Habsyah, kerana rajanya tidak mengizinkan seorang pun dizalimi di dalamnya, dan negeri tersebut adalah negeri yang benar. Semoga Allah memberi jalan keluar dari penganiayaan dan kesempitan yang kamu hadapi.’ (Ibnu Hisyam, h. 302)

Rasulullah saw telah mengetahui tentang kisah raja Habsyah yang adil bernama Ashamah bin Abhar al-Najasyi.

Hijrah ke Habsyah
Maka keluarlah orang-orang Islam ke Habsyah, menuju kepada Allah dengan membawa agama mereka. Peristiwa ini berlaku pada bulan Rejab tahun ke-5 kenabian.  Menurut al-Mubarakpuri, kumpulan ini terdiri daripada 12 orang lelaki dan 4 orang wanita.  Mereka diketuai oleh Uthman bin Affan ra. Isterinya, Ruqayah puteri Rasulullah saw turut bersama.

Ibnu Hisyam pula menyebut, “sepuluh orang kaum muslimin itulah yang pertama sekali berangkat ke Habsyah seperti disampaikan kepadaku.” Beliau menyenaraikan satu-persatu Sahabat dimaksudkan. Turut disenaraikan ialah empat wanita, isteri kepada empat Sahabat berkenaan.

Manakala dalam catatan Prof. Dr. Abd. Aziz Mohd Zin pula disebutkan, “mereka terdiri dari 10 orang lelaki dan empat atau lima orang perempuan.”

Orang Quraisy cuba untuk mengembalikan mereka semula ke Mekah, tetapi tidak sempat berbuat demikian kerana mereka telah pergi jauh. Kejadian ini merupakan hijrah pertama dalam Islam.

Rombongan kedua ke Habsyah
Rombongan pertama yang berhijrah ke Habsyah mendapat kejayaan yang baik, atas layanan yang diberikan oleh pihak-pihak di sana. Hal itu membuatkan orang Quraisy Mekah sangat marah. Mereka memperkuatkan tekanan dan penyeksaan ke atas orang Islam yang masih di Mekah.

Atas kesusahan yang kian bertambah itu, dengan penuh kerahsiaan Nabi saw mula mengarahkan orang Islam supaya bersiap sedia untuk berhijrah ke Habsyah. Sangat disedari bahawa hijrah kali kedua ini lebih susah dan perlu dilakukan dalam keadaan yang lebih berhati-hati. Namun, orang Quraisy dapat juga menciumnya dan berusaha untuk menghalangnya.

Tetapi, orang Islam lebih cepat untuk bertindak. Maka pada awal tahun ketujuh kenabian mereka berjaya berlepas ke Habsyah sebelum sempat dihalang oleh orang Quraisy. Rombongan kedua ini terdiri dari 83 orang lelaki dan 18 atau 19 orang perempuan. (al-Mubarakpuri, h. 92)

Rombongan ini diketuai oleh  Jaafar bin Abi Talib ra, sepupu Nabi Muhammad saw.

Quraisy cuba pujuk an-Najasyi
Pemergian mereka tambah meningkatkan perasaan marah kaum Quraisy. Maka, mereka menghantar satu rombongan dianggotai Abdullah bin Abi Rabiah dan Amru bin al-Aas bin Wa’il untuk berjumpa dengan al-Najasyi supaya menghantar balik orang Islam ke Mekah. Utusan ini dibekalkan dengan hadiah-hadiah yang terbaik, di antaranya kulit-kulit binatang yang halus dan cantik untuk dihadiahkan kepada an-Najasyi. Sebelum mengadap an-Najasyi, pelbagai hadiah juga diberikan kepada semua ketua perang. (Prof. Dr. Ab. Aziz, h. 171)

Ummu Salamah menceritakan, “kemudian kedua utusan Quraisy itu menyerahkan hadiah-hadiah kepada an-Najasyi dan diterimanya. Keduanya berkata kepada an-Najasyi, “wahai tuanku, sesungguhnya telah menyusup ke negeri tuanku anak-anak muda kami yang tidak waras. Mereka meninggalkan agama kaumnya dan tidak masuk kepada agamamu. Mereka membawakan agama yang mereka ciptakan sendiri. Kami tidak mengenali agama tersebut, begitu juga tuanku. Sungguh kami diutus ayah-ayah mereka, bapa-bapa saudara mereka, dan keluarga besar mereka untuk membawa mereka pulang kepada kaumnya, kerana kaumnya lebih faham apa yang mereka katakan dan lebih mengerti apa yang mereka cela.” (Ibnu Hisyam, h. 314)

Ketua-ketua perang yang mengadap bersama mereka berdua berkata: “Benar wahai tuanku! Serahlah mereka itu (muhajirin) kepada mereka berdua.”

An-Najasyi mengusul periksa
Pujukan itu bagaimana pun tidak mudah diterima oleh an-Najasyi. Katanya kepada utusan Quraisy: “Tidak! Aku tidak akan menyerahkan mereka kepada kamu. Setiap orang yang datang ke negeri ini akan mendapatkan perlindungan.”

“Aku akan memanggil dan bertanya kepada mereka tentang apa yang kamu katakan. Jika mereka seperti yang kamu ceritakan, aku akan mengembalikan mereka kepada kamu. Jika ternyata tidak, aku akan tetap melindungi mereka.”

Maka
, Jaafar bin Abi Talib selaku ketua kumpulan kaum muslimin datang bersama beberapa orang kaum Muhajirin mengadap an-Najasyi. An-Najasyi bertanya: “Apa agama kamu sehingga kamu meninggalkan agama kaum kamu, tidak pula masuk ke dalam agamaku atau agama-agama lain yang ada?”

Jaafar perjelaskan risalah Nabi
Jaafar bin Abu Talib menjawab: “Wahai Tuanku, dulu kami daripada golongan jahiliah. Kami menyembah berhala, memakan bangkai, berzina, memutuskan silaturrahim, melayan buruk terhadap jiran-jiran dan yang kuat di antara kami memakan yang lemah. Begitulah keadaan kami, sehingga diutuskan Allah kepada kami seorang Rasul dari kalangan kami. Kami mengetahui nasab keturunannya, kebenarannya, amanahnya dan kesuciannya.”

“Beliau menyeru kami kepada keesaan Allah dan menyembah-Nya, menyuruh kami supaya meninggalkan pemujaan kepada berhala sepertimana yang dilakukan oleh datuk-nenek kami, menyuruh kami supaya bercakap benar, menunaikan amanah, menghubung silaturrahim dan berhubung baik dengan jiran, menahan diri dari hal-hal yang haram dan tidak membunuh.”

“Beliau melarang kami melakukan perzinaan, bercakap bohong, memakan harta anak yatim dan menuduh zina wanita yang baik. Beliau menyuruh kami hanya menyembah Allah Yang Maha Esa tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun.”

Jaafar terus menghuraikan pokok perkara agama Islam. Tambahnya: “Kami membenarkannya, kami beriman dengannya, kami mengikuti ajarannya yang didatangkan dari Allah dan kami menyembah hanya Allah Yang Esa tanpa mensyirikkan-Nya dengan apa pun. Kami mengharamkan apa yang diharamkan ke atas kami dan kami menghalalkan apa yang dihalalkan bagi kami.”

Sambungnya lagi: “Namun, tiba-tiba kami dihalang dan diazabkan oleh kaum kami, kami difitnahkan terhadap agama kami supaya kami kembali semula kepada penyembahan patung berhala daripada penyembahan Allah dan supaya kami kembali melakukan keburukan sepertimana yang telah kami lakukan dahulu. Apabila mereka memaksa kami, menzalimi kami, menyempitkan hidup kami dan memisahkan kami dengan agama kami, maka kami berpindah ke negeri tuanku, kami memilih tuanku dari yang lain dan kami gembira dengan layanan tuanku. Kami berharap tidak dizalimi di sisi tuanku.” (Ibnu Hisyam, h. 315)

Raja an-Najasyi terpukau dengan penjelasan Jaafar. Baginda kemudian bertanya: “Apakah kau boleh menunjukkan sesuatu yang Nabi itu terima dari Allah?”

“Ya!”, jawab Jaafar.

“Baiklah, bacakan untukku!”, kata an-Najasyi.

An-Najasyi, pendeta menangis
Yang dibacakan Jaafar adalah permulaan surah Maryam. An-Najasyi dan para pendeta mendengar penuh teliti. Ayat demi ayat yang dibacakan Jaafar membuat mereka menangis, sehingga air mata membasahi janggut An-Najasyi.

Seluruh ruangan hening. An-Najasyi menyeka air mata, kemudian berkata, “sesungguhnya ayat tadi dan yang dibawa Nabi Isa adalah dari sumber yang sama.”

Raja lalu menoleh kepada Abdullah bin Abi Rabiah dan Amru bin al-Aas, seraya berkata: “Kamu pulanglah! Sungguh aku tidak akan menyerahkan mereka kepada kamu dan mereka tidak boleh diganggu oleh siapa pun!”

Kedua-dua utusan Quraisy itu sangat kecewa. Malam itu mereka berpikir panjang. Mereka tidak boleh pulang dengan tangan kosong setelah melewati perjalanan melelahkan dan dengan biaya mahal. Ia amat memalukan.

Kemudian, Amru bin al-Aas mengusulkan, “besok aku akan menghadap semula an-Najasyi dan memujuknya lagi!”

Percubaan kedua juga gagal
Esok harinya, Amru sekali lagi mendapatkan izin untuk menemui an-Najasyi. Dengan penuh keyakinan, Amru bersuara: “Wahai tuanku, Jaafar dan kawan-kawannya telah mengatakan sesuatu yang tidak baik mengenai Isa bin Maryam. Tuanku boleh bertanyakan mereka tentang hal itu!”

Para sahabat Muhajirin sekali lagi dipanggil menghadap an-Najasyi. Mereka tahu, itu adalah tipu muslihat utusan Quraisy lagi. Mereka khawatir juga jika sang raja mungkin terpengaruh oleh pujukan itu.

An-Najasyi lantas bertanya: “Apa yang kamu tahu tentang Isa bin Maryam?”

Jaafar bangun dan menjawab: “Kami bercakap mengenai Isa seperti yang diajar kepada kami oleh Nabi Muhammad saw, bahawa dia adalah seorang hamba Allah, Pesuruh Allah, Roh dan Firman Allah ditiup ke dalam Si Dara Maryam.”

An-Najasyi lantas bertitah: “Kami juga berkeyakinan begitu. Allah akan memberi rahmat ke atas kamu dan ketua kamu.”

Beliau kemudian beralih ke arah para pembesar dan pendeta dari kaumnya, seraya berkata: “Kamu mungkin risau dan marah, ikut suka hati kamulah, tetapi Isa tidak lain dan tidak bukan seperti yang diucap Jaafar mengenainya.” (al-Mubarakpuri, h. 94)

Kemudian, an-Najasyi mengisytiharkan akan melindungi kumpulan muhajirin itu. Baginda turut memulangkan hadiah-hadiah yang diterimanya kepada dua orang utusan Quraisy. Mereka akhirnya terpaksa pulang dengan kehampaan.

An-Najasyi peluk Islam
Raja an-Najasyi akhirnya memeluk Islam, dan diikuti dengan ramai rakyat di negerinya. Beliau telah membenarkan kenabian Muhammad saw, namun menyembunyikan keimanannya dari pengetahuan kaumnya. Sikap tersebut kerana beliau mengetahui keadaan kaumnya yang tetap tidak berganjak atas kebatilan, sangat cenderung kepada kesesatan dan jumud atas kepercayaan yang terseleweng, walau pun bertentangan dengan akal fikiran dan perkhabaran wahyu. (Prof. Dr. Ab. Aziz, h. 174)

Abu Hurairah ra pernah menjelaskan satu hadith yang Nabi saw berdukacita pada hari kematian an-Najasyi. Baginda segera mengumumkannya kepada kaum muslim dan menyeru mereka untuk melaksanakan solat ghaib.

Nabi saw bersabda (maksudnya): Daripada Jabir, Nabi saw memberitahu ketika kematian al-Najasyi, ‘hari ini meninggallah seorang lelaki yang soleh, maka berdiri dan sembahyanglah untuk saudara kamu yang bernama Ashamah (Ashamah bin Abhar ialah nama sebenar an-Najasyi)’. (HR Bukhari)

– Mohd Nasir Awang

Rujukan:
- Safi-ur-Rahman al-Mubarakpuri, Cahaya Abadi – Riwayat Hidup Rasulullah saw (terjemahan ar-Rohiq ul-Makhtum), Al-Hidayah House of Publishers Sdb Bhd, Batu Caves, 2011.
- Abu Muhammad Abdul Malik bin Hisyam, Sirah Nabawiyah Ibnu Hisham (Jilid 1), Al-Hidayah Publication, Batu Caves, 2009.
- Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd Zin, Gerakah Dakwah Dalam Sirah Nabi saw, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2010.
- Nizar Abazah, Bilik-Bilik Cinta Muhammad – Kisah Sehari-Hari Rumah Tangga Nabi, Penerbit Zaman.
- http://kebunketereh.com/?p=5446, Kisah Ja’afar bin Abi Talib dengan Raja Najashi.

(Artikel ini disiarkan di ruangan 'Secebis Kisah', majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Bil:19 (November 2013) dengan tajuk sama)

Imam Al-Bukhari – Perawi hadith terpercaya


Oleh: MOHD NASIR AWANG

Muqoddimah
Sebut saja nama Imam Al-Bukhari, rasanya jarang individu Islam, terutama yang pernah membaca atau mendengar pembacaan hadith Nabi saw, yang tidak mengetahui siapa sosok terbilang ini. Beliau merupakan perawi hadith paling dipercayai dan hadith-hadith diriwayatkannya dianggap yang paling sahih. Pengiktirafan oleh para ulama Islam itu berkait rapat dengan disiplin dan piawaian digunakan Imam Bukhari di dalam mengumpul dan menyisih hadith-hadith diperolehinya.

Latar diri
Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah. Manakala nama panggilan Imam Bukhari ialah Abu Abdillah. Beliau dilahirkan di daerah Bukhara, salah satu kota di wilayah Khurasan, Asia Tengah pada hari Jumaat, 13 Syawal 194H. Nama gelaran Al-Bukhari adalah dinisbahkan kepada daerah kelahirannya ini.

Ayahnya, Ismail bin Ibrahim, dipanggil juga Abul Hasan. Beliau adalah salah seorang ulama besar dalam ilmu hadith. Ibnu Hibban ada mencantumkan biografi Ismail bin Ibrahim ini di dalam karyanya Ats-Tsiqat dengan catatan, “Ismail bin Ibrahim adalah ayah dari Imam Al-Bukhari yang meriwayatkan hadith dari Hammad bin Zaid dan dari Imam Malik bin Anas. Dari Ismail bin Ibrahim inilah penduduk Iraq mengambil hadith.”

Ketika bapanya meninggal, Muhammad bin Ismail masih kecil. Justeru, beliau membesar sepenuhnya di bawah asuhdidik ibunya, seorang perempuan yang kuat beribadat dan dikurniakan karamah di sisi Allah.

Al-Hafiz memetik kisah dari Ghunjar dalam Syarh As-Sunnah, Bab Karamatu Al-Aulya’ bahawa pada waktu kecil, kedua mata Muhammad bin Ismail telah buta. Kemudian dalam tidur ibu Muhammad melihat Nabi Ibrahim as berkata kepadanya, “wahai perempuan, sungguh Allah telah mengembalikan kedua mata puteramu kerana kamu sering berdoa kepada-Nya.” Di pagi harinya, sang ibu mendapati memang Allah telah mengembalikan penglihatan anaknya, Muhammad bin Ismail.

Rihlah ilmu & guru-gurunya
Dicatatkan bahawa rihlah (pengembaraan) ilmu Imam Bukhari membawanya ke hampir semua negeri yang menjadi pusat ilmu di zamannya. Hakikat itu menjadikan jumlah para gurunya sangat ramai.

Muhammad bin Abi Hatim meriwayatkan dari Imam Bukhari, katanya, “aku telah menulis hadith dari 1080 orang guru. Mereka semua adalah ulama ahli hadith yang telah menghafazkan hadith.”

Sebelum berusia 10 tahun Imam Bukhari sudah menghafaz hadith dan belajar kepada beberapa guru dalam ilmu fikh dan hadith. Hal ini antara yang pernah diceritakan oleh Al-Khatib al-Baghdadi yang menerimanya dari Abu Jaafar Muhammad bin Abi Hatim yang bertanyakan sendiri hal itu daripada Imam Bukhari.

Di antara syaikh-syaikh dan ulama terkenal di Bukhara yang menjadi tempat beliau mengambil hadith ialah Sheikh Muhammad bin Salam Al-Bikandi, Abdullah bin Muhammad Al-Musnadi dan Ibrahim bin Al-Asy’ab.

Imam Bukhari pernah menceritakan, “dalam usia enam belas tahun, aku telah hafal kitab karya Ibnul Mubarak dan Waqi’ bin Al-Jarrah, dan aku mengerti maksud perkataan mereka dalam kitab mereka.”

Pada usia itu juga rihlah ilmunya bermula. Beliau berkelana ke beberapa negeri yang menjadi gedung ilmu pengetahuan pada zaman itu, seperti Mekah, Madinah, Syam, Mesir, Kufah, Basrah, Baghdad dan lain-lain.

Pada tahun 210 Hijrah, di usia 16 tahun, Imam Bukhari bersama ibu dan saudaranya bernama Ahmad mengunjungi Mekah. Setelah selesai menunaikan ibadat haji, ibu dan saudaranya pulang ke Bukhara, tetapi Imam Bukhari tinggal di Mekah untuk menuntut ilmu, khususnya mencari hadith-hadith. Untuk itu beliau berguru kepada beberapa ulama terbilang seperti Abul Walid Ahmad bin Al-Azraqi, Abdullah bin Yazid, Ismail bin Salim Ash-Sha’igh, Abu Bakar bin Abdullah bin Az-Zubair dan Al-Allamah Al-Humaidi.

Kemudian Imam Bukhari melanjutkan rihlahnya ke Madinah dan sampai di sana pada 212 Hijrah. Usia beliau ketika itu ialah 18 tahun. Di sana beliau berguru pula kepada sejumlah syaikh dan ulama ternama seperti Ibrahim bin Al-Mundzir, Mathraf bin Abdillah, Ibrahim bin Hamzah, Abu Tsabit Muhammad bin Ubaidillah, Abdul Aziz bin Abdillah Al-Uwaisi dan lain-lain yang setaraf mereka. Ada riwayat mencatatkan beliau menghabiskan selama 6 tahun di Tanah Hijaz.

Bagaikan tidak puas dengan ilmu diperolehinya, Imam Bukhari melanjutkan pula rihlahnya ke Basrah. Di sana beliau mencicip ilmu hadith daripada sebilangan ulama lain, antaranya Abu Ashim An-Nabil, Shafwan bin Isa, Badil bin Tsabit Al-Mahbar, Harami bin Imarah, Affan bin Muslim, Muhammad bin Sinan dan sebilangan ulama lain yang satu thabaqah (tingkatan) dengan mereka.

Rihlah berikutnya ialah ke Kufah. Di sana Imam Bukhari berguru pula dengan Abdullah bin Musa, Abu Nuaim bin Yaakub, Ismail bin Aban, Hassan bin Ar-Rabi’, Khalid bin Al-Mujalid dan Said bin Hafsh.

Imam Bukhari juga berulang kali memasuki kota Baghdad bagi menimba ilmu. Di antara ulama terkemuka yang menjadi gurunya di kota itu ialah Ahmad bin Hanbal, Muhammad bin Isa Ash-Shabagh, Muhammad bin Sa’iq dan Syuraih bin An-Nu’man.

Turut menjadi destinasi pencarian hadith oleh Imam Bukhari ialah Syam. Di sana beliau mengutip hadith-hadith daripada pakarnya, seperti Yusuf Al-Faryabi, Abu Ishaq bin Ibrahim, Adam bin Abi Iyas, Abul Yaman al-Hakam bin Nafi’ dan Hayawah bin Syuraih.

Beliau turut bermukim mencari hadith di Mesir. Di antara ulama yang menjadi gurunya ialah Utsman bin Ash-Sha’igh, Said bin Abi Maryam, Abdullah bin Saleh, Ahmad bin Saleh dan Ahmad bin Shubaib.

Selain kota-kota disebutkan, Imam Bukhari turut menjelajah negerinya sendiri, Khurasan, dan daerah-daerah sekitarnya seperti Moro, Balakh, dan Harah untuk tujuan sama.

Kecermatannya memilih hadith
Pengumpulan hadith dalam sebuah kitab besar yang ditatap umat Islam kini sebenarnya diusahakan oleh Imam Bukhari dalam masa 16 tahun. Dikatakan setiap kali beliau hendak memuatkan sebuah hadith ke dalamnya, terlebih dahulu beliau akan mandi dan solat dua rakaat mohon pertimbangan kepada Yang Maha Mengetahui.

Beliau terkenal sangat bersungguh-sungguh memeriksa hadith dan menyisihkan mana di antaranya yang “sahih” dan yang “lemah” dengan pengetahuan dan penyelidikan yang luas. Beliau sangat hemat cermat benar memeriksa orang yang membawa (menceritakan) tiap-tiap hadith, baik tentang kejujuran dan kekuatan ingatannya, selain persambungan orang-orang yang menyampaikan riwayat itu tidak putus pertaliannya sehingga sampai kepada Sahabat yang menerima sendiri dari Nabi saw.

Jaafar bin Muhammad Al-Qaththan berkata, beliau mendengar Imam Bukhari berkata, “aku telah menulis hadith dari 1000 guru, bahkan lebih ramai lagi, yang kesemuanya adalah ulama. Aku tidak memperoleh satu hadith pun melainkan aku telah memiliki sanadnya.”

Hasil-hasil karyanya
Seluruh dunia Islam meletakkan hadith yang diriwayatkan Imam Bukhari pada darjat yang tertinggi sekali. Kitab “Al-Jami’us Shahih” yang lebih terkenal dengan nama “Shahih Bukhari” diakui oleh para ulama Islam sebagai buku kumpulan hadith yang sangat dipercayai, dan nombor dua daripadanya ialah “Shahih Muslim”.

Imam Bukhari pernah menceritakan, “ketika usiaku mencapai 18 tahun, aku telah menghasilkan karya berhubung permasalahan sahabat, tabien dan perkataan-perkataan mereka. Aku juga menulis kitab At-Tarikh di makan Rasulullah saw. Dalam kitab karyaku At-Tarikh ini, terdapat sedikit nama kerana tidak semua nama dan kisah yang telah aku ketahui aku cantumkan. Aku melakukannya supaya kitab ini tidak tebal.”

Kitabnya yang lain ialah Al-Khalqu Af’al Al-‘Ibad. Dalam kitab ini, beliau mencatatkan bantahan terhadap kelompok Jahmiyah dan kelompok yang tidak mahu menggunakan hadith-hadith Nabi saw, atsar para Sahabat dan atsar para tabien.

Karya-karyanya yang lain ialah kitab Al-Kuna, kitab Al-Adab Al-Mufrad, Juz’u Raf’u Al-Yadain, Juz’u Al-Qira’ah Khalfa Al-Imam dan banyak lagi.

Kematiannya
Keengganan Imam Bukhari menurut perintah penguasa Bukhara, Khalid bin Ahmad agar datang ke kediamannya mengajar anak-anaknya telah mencetuskan hubungan tegang antara keduanya. Imam Bukhari bertegas bahawa pihak yang berhajat menimba ilmulah sepatutnya mendatangi guru, bukan sebaliknya.

Khalid bin Ahmad amat tidak senang dengan sikap Imam Bukhari itu, sehingga akhirnya Imam Bukhari terpaksa meninggalkan Bukhara. Beliau pergi menumpang di daerah Samarqand, tempat tinggal sebilangan saudara terdekatnya.

Ibnu Adi berkata, beliau mendengar Abdul Qudus bin Abdil Jabar berkata, “pada suatu malam, setelah Imam Bukhari selesai solatnya, aku mendengar beliau berdoa: ‘Ya Allah, bagiku bumi ini telah sempit. Oleh itu, ambillah aku menghadap-Mu.’ Belum sampai satu bulan selepas doa itu, Allah memanggilnya.”

Imam Bukhari meninggal dunia pada malam Idulfitri tahun 256H, dalam usia 62 tahun kurang 13 hari.

Rujukan:
-          Syaikh Ahmad Farid, Muhammad bin Ismail Al-Bukhari, Syaikh Al-Muhadditsin, 60 Biografi Ulama Salaf, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta Timur, Dis. 2009 (Cetakan Kelima).

-          H. Zainuddin Hamidy et al., Imam Bukhari dan Al-Djami’us Shahih, Kata Pendahuluan Dari Sidang Penyalin Shahih Bukhari, Klang Book Centre, Klang, 1997 (Cetakan Kelima).
(
(Artikel ini disiarkan di ruangan 'Ulama Pewaris Nabi', majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Bil: 19 (November 2013) dengan tajuk sama)