Oleh: Abdul Rahim Din
SATU kaedah baru penyampaian maklumat kepada umum di
Terengganu yang nampaknya semakin diminati oleh pati-parti politik ialah
menerusi pemidang. Ia jelas menjadi suatu fenomena baru dalam kempen-kempen
berterusan parti politik, khususnya Umno yang sudah bergelar pembangkang di
negeri itu.
Sejak dulu-dulu pun, perkara memanfaatkan pemidang untuk
menyampaikan sesuatu mesej kepada umum telah pun digunapakai. Namun, yang
dulu-dulu itu lebih banyak tertumpu keada soal mengiklankan sesuatu program
atau mempromosikan sesuatu barangan. Kalau pun ada yang memaparkan sesuatu
mesej khusus, ia amat jarang berlaku.
Barangkali kemenangan bergaya PAS menyembamkan muka Umno
atas stage politik Terengganu dengan tumbukan knock-out (K.O.) dalam pilihan
raya lalu telah menyebabkan fenomena itu tiba-tiba berubah.
Didorong oleh rasa geram, malu, marah dan dendam yang
membuak-buak itu, Umno yang sudah bergelar pembangkang semakin ‘liar’ dalam
meluahkan perasaan-perasaan yang terpendam itu. Saluran ‘surat terbuka’ mereka
yang paling laris nampaknya ialah kain-kain pemidang.
Sedari awal pemerintahan PAS, sudah ada dilihat pemidang
tertulis ‘Mana Hudud?’ Kerana, barangkali mereka sedar bahawa kerajaan yang
naik menggantikan mereka adalah kerajaan yang berhasrat melaksanakan
undang-undang Islam. Oleh kerana mereka mengaji tidak habis, maka apabila
disebut undang-undang Islam, yang mereka tahu hanyalah Hudud!
Seperti biasa, PAS menggunakan saluran ceramahnya untuk
memperjelaskan hal sebenar. Tambahan pula, dengan adanya kuasa pemerintahan,
maka saluran kuliah agama di masjid-masjid, saluran bertulis melalui Warta
Darul Iman, majlis-majlis dialog, diskusi dan seumpamanya menyediakan ruang
yang cukup luas bagi para pemimpin PAS memperjelaskan persoalan itu.
Namun, tabiat orang yang sukar mengerti ini sememangnya
akan sukar menerima penjelasan. Maka, apabila sidang Dewan Undangan Negeri
Terengganu meluluskan beberapa enakmen pelaksanaan syariah, gempar lagi soal
‘Mana Hudud?’ itu. Hampir setiap daerah dipasangkan pemidang, ‘Undang-Undang
Islam Terengganu – Mana Hudud?’ Itulah gambaran sempitnya pemikiran mereka.
Barangkali perang pemidang paling dahsyat yang pernah
disaksikan oleh rakyat Terengganu berlaku sejurus selepas tercetusnya peristiwa
rompakan royalti minyak oleh kerajaan Pusat.
Dari situlah terhasilnya puluhan pemidang dengan berbagai
rangkap oleh ahli dan penyokong kerajaan. Antaranya berbunyi, ‘Ehsan: BN Tiru
IMF’, ‘BN Cabul Maruah Rakyat Terengganu’, ‘Royalti Hak Rakyat Terengganu,
Bukan Hak Mak-Bapak Umno’, ‘Jangan Cabuli Hak Kerajaan Pilihan Rakyat
Terengganu’, ‘Royalti: Kami Bersama Tok Guru’, ‘Royalti Yes, Ehsan No!’ dan
berbagai lagi.
Sejurus kemudian, ada pula pihak yang membalas dengan
mesej tertulis, antaranya, ‘Ehsan: Elak PAS Salahguna Wang Rakyat’, ‘Royalti Hak
Rakyat, Bukan Hak PAS’, ‘Royalti: Mana Pergi RM432 juta?’ dan masih sempat
diselit mesej partinya, ‘Wang Ehsan: Bukti BN Membela Rakyat’.
Namun, segala mesej perang itu akhirnya disimpulkan oleh
pemidang yang lebih besar dari yang lain, dengan mesej jelas, ‘Royalti Bukan
Hak PAS, Bukan Hak Umno. Royalti Hak Rakyat Terengganu’.
‘Surat Terbuka’ itu lama-kelamaan lusuh ditelan cuaca,
sehinggalah ia ditukar dengan yang baru pula. Sekali lagi ia bermula gara-gara
tindakan kerajaan BN. Kali ini ekoran pengharaman mengeluarkan permit ceramah
kepada parti-parti politik.
‘Haram Ceramah... Umno Takut Bayang-bayang!!’, kata
sebuah pemidang yang tertera dari Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Selang
beberapa hari selepas itu, terpacak pula bersebelahannya pemidang lain
tertulis, ‘Haram Ceramah... Elak PAS Kutip Pitis Rakyat!’
Terfikir juga kita untuk membalasnya begini, ‘Nak Selamat
Pitis Rakyat? Kuburkan Umno!’ Sebabnya, yang ‘merompak’ pitis rakyat selama
ini siapa?
Kekadang, mesej yang tertera pada ‘Surat Terbuka’ itu
juga turut menyerlahkan kedunguan pembikinnya. Misalnya, satu pemidang itu
menulis, ‘PAS Bukan Agama, PAS Parti Politik’. Sudah tentu sekali baca sahaja
orang akan kata bahawa penulis itu adalah budak hingusan yang baru nak kenal
Alif-Ba-Ta politik Malaysia. Kerana, tanya siapa sahaja pun dalam negara ini,
takkan ada yang tergamak mengatakan PAS itu agama. Semua yang terlibat dengan
politik atau ada ilmu politik tahu bahawa PAS adalah parti politik.
Ada pihak yang geram, lalu menjawab, ‘Umno Bukan Melayu,
Umno Anti-Islam’. Barangkali mesej yang nak disebutnya bahawa Umno bukan lagi
parti Melayu sebagaimana yang didakwa selama ini. Dalam Umno ada Siam
(Perlis), Portugis (Melaka), ada Bumiputera dan Cina (Malaysia Timur). Nak kata
Umno itu parti Islam, selisih malaikat 44!
Perang ‘Surat Terbuka’ di tepian jalanan ini sudah tentu
suatu yang sukar ditentukan natijahnya. Sudah tentu ia ada baik-buruknya. Ada
yang menganggap ia sebagai bukti keterbukaan Pihak Berkuasa Tempatan di bawah
pemerintahan sekarang. Kerana, kalau di bawah kerajaan dulu, sudah tentu kain
pemidang itu direntap dalam masa 24 jam saja. Ada juga yang melihatnya secara
tidak langsung sebagai medan pertukaran idea atau buah fikiran.
Apa pun penilaian orang, apa yang jelas, kehadiran
‘Surat-surat Terbuka’ itu sekurang-kurangnya menceriakan minda para pengguna
jalan raya, terutama bagi mereka yang penat meredah perjalanan yang panjang di
bumi Darul Iman ini.
(Artikel ini
disiarkan buletin Al-Balagh, 31 Oktober 2001)
No comments:
Post a Comment