Oleh: Monawar Chowdhury
KATA orang kalau nak bertandang ke rumah orang Pantai Timur (khususnya Terengganu dan Kelantan), jangan pergi ke rumah mereka petang Jumaat dan Sabtu. Kalau pergi juga, anda akan merasa kecewa dengan tahap layanan tuan rumah.
Sebabnya? Kerana hampir seluruh isi rumah mereka di waktu itu ‘terlekat’ di hadapan kaca tv. Buat apa? Menonton filem Hindi!
Tanggapan di atas sebenarnya lebih berbentuk gurauan. Realitinya, masyarakat di sana sudah tentu tidak akan sampai ke peringkat tidak membuka pintu untuk kunjungan tetamu semata-mata kerana terikat dengan rancangan tv.
Pun begitu, tidak dinafikan bahawa masyarakat Pantai Timur sangat menggemari filem dan juga lagu-lagu Bollywood. Apa sebabnya, tidak dapat pula dipastikan. Nak dikatakan ia ada hubungkait dengan baka keturunan atau pengaruh nenek-moyang, kedua-dua negeri tersebut pada hakikatnya antara negeri paling rendah peratus penduduk berketurunan Benua India.
Apa pun sebab-musabab, itu sudah tidak penting lagi sekarang. Pokok perkaranya, filem dan lagu Bollywood sangat diminati masyarakat dewasa ini. Kita bukan bermaksud masyarakat Pantai Timur sahaja, malah seluruh negara semacam diserang “demam Bollywood”.
Dalam kebanyakan filem Hindi, unsur-unsur keagamaan sering dititikberatkan. Lebih tepat lagi, adat dan amalan masyarakat India berteraskan ajaran Hindu sering dipaparkan dalam babak-babak filem mereka.
Adat menyentuh kaki memohon restu orang tua, memakan manisan, memakaikan rakhi, melayur tangan atas api, menyembah dan berdoa di hadapan dewa-dewa serta upacara perkahwinan sudah menjadi asam-garam filem Hindi. Kesemua itu dilakukan menurut adat dan ajaran agama Hindu, anutan terbesar masyarakat India hari ini.
Ironisnya, pengarahan filem Bollywood kekadang semacam tidak menghiraukan aspek keagamaan di dalam pengolahan jalan cerita mereka. Kalaulah filem Bollywood itu dikatakan sebagai contoh penampilan masyarakat India, maka gambaran yang dapat diperhatikan, masyarakat India seolah-olah berpegangan sangat “longgar” terhadap agama mereka. Apakah mereka sememangnya bersikap “liberal” dalam beragama?
Cuba kita perhatikan beberapa contoh berikut. Dalam Dilwale Dulhanie Le Jayenge, watak wanita utama ialah Simran (lakonan Kajol), iaitu anak kepada peniaga India beragama Hindu yang menetap di Kota London. Amalan si bapa itu menyalakan lilin dan berdoa di hadapan api lilin sebaik tiba di kedainya setiap hari memberi gambaran jelas bahawa beliau adalah penganut Hindu. Begitu juga dengan gambaran suasana kehidupan seharian mereka di rumah, termasuk membaca mantera tumje chagedey di hadapan api.
Tetapi, dalam kunjungan Simran ke Eropah ada dipaparkan beliau bersama-sama rakannya, Raj (lakonan Shah Rukh Khan) memasuki sebuah gereja. Mereka bukan sahaja sekadar melawat, malahan Kajol sempat melutut di hadapan patung Jesus dan bertafakur serta membuat isyarat salib. Soalnya, Simran yang beragama Hindu itu “boleh” mengamalkan ajaran Kristian pada masa yang sama?
Contoh kedua dipetik dalam filem Kuch Kuch Hota Hai. Seorang anak perempuan kecil bernama Anjali (anak Rahul) pada asasnya difahamkan beragama Hindu. Ibunya, Tina (lakonan Rani Mukerji) yang meninggal dunia, dibakar mayatnya.
Manakala kehidupan Anjali seharian bersama neneknya dipenuhi dengan bacaan mantera tumje chagedey, doa di hadapan api dan dewa. Sahlah, gambaran yang cuba diberikan ialah Anjali seorang anak yang menganut agama Hindu.
Tiba-tiba sewaktu mengunjungi rumah Rifa’at Bi, yang dipaparkan sebagai beragama Islam, Anjali sempat melutut di hadapan naskah Al-Quran dan bermunajat. Gambaran yang cuba diberikan ialah Anjali memohon kepada Allah menyelamatkan hubungan bapanya (Rahul – lakonan Shah Rukh Khan) dan bekas kekasihnya, Anjali Sharma (lakonan Kajol).
Tujuan sebenar pengarahan cerita itu tambah diperkuatkan lagi dengan suara latar laungan azan yang dimainkan sewaktu Anjali sedang berdoa itu. Soalan lagi, apakah seorang Hindu dibolehkan berdoa mengikut cara Islam, dan menghadap kitab suci Al-Quran?
Dalam filem yang sama, Ram Lal yang memegang watak Kolonel Almeida ditampilkan sebagai beragama Kristian. Tetapi, dalam satu upacara sembahyang agama Hindu yang dikendalikan oleh emak Rahul di kem, Almeida dipaparkan mengambil bahagian sebagai pemuzik iringan upacara tersebut.
Tiga contoh pertentangan yang disebutkan itu sekadar berlaku di dalam filem. Ada pun hakikat sebenar antara yang berlaku di dalam filem dengan anutan agama para pelakon di luar filem amatlah tidak menyenangkan kita untuk membincangkannya.
Jelas sekali para pelakon terbabit mengenepikan sensitiviti beragama semata-mata kerana mahu menjayakan lakonan mereka. Cuba perhatikan contoh-contoh berikut.
Dalam Biwi No. 1, Salman Khan seorang yang beragama Islam bertindak sebagai pelakon utama bernama Prem. Kehidupan sehariannya selain ditemani isteri, dua anak dan ibunya, juga turut diserikan teman karibnya bernama Tiger, iaitu seekor ajing. Apa hukumnya seekor anjing bagi seorang Islam?
Prem pergi lebih jauh dalam lakonannya. Dalam satu babak, Prem bersama-sama dua anaknya melayangkan tapak tangan mereka di atas api lilin. Ia merupakan amalan penganut Hindu sebagai isyarat mengambil keberkatan.
Aksi seorang lagi superstar Bollywood beragama Islam iaitu Shah Rukh Khan tidak kurang juga hebatnya. Dalam filem Josh, Shah Rukh memegang watak Maxie, yang bersaudara kembar dengan Shamily (lakonan Aishwarya Rai).
Mereka adalah sepasang kembar dari keluarga beragama Kristian. Sepanjang cerita, Shah Rukh mengenakan rantai salib di tengkoknya. Apakah yang boleh anda katakan mengenai hal itu?
Kita kurang arif adakah agama Hindu membenarkan penganutnya melakonkan aksi ibadat menurut agama lain. Tetapi, kita agak pelik apabila Kajol (beragama Hindu) dalam filem Dilwale melakonkan babak tafakur di dalam gereja serta mengisyaratkan salib di dadanya.
Tulisan ini hanyalah sekadar kritikan seni dan tidak bermaksud menyentuh sensitiviti beragama. Sebagai peminat filem Hindi, kita merasa agak terhibur dengan lakonan dan irama yang dipaparkan oleh Bollywood. Namun, ia tidak sepatutnya menjadikan kita kalih dengan kekeliruan yang sering dipaparkan, terutama berkaitan kehidupan beragama dalam filem-filemnya.
(Artikel ini disiarkan booklet isu tidak berkala kolaborasi penulisan diterajui Tarmizi Mohd Jam, sekitar April 2003)
No comments:
Post a Comment