Wednesday, June 25, 2014

Perginya seorang pejuang kental - Ustaz Abu Bakar Chik


Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik dalam kenangan (1950-2014)

Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

AWAL pagi Isnin, 23 Jun 2014, negara kita kehilangan seorang lagi pemimpin ummah. Sang murobbi, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik dijemput pulang ke rahmatullah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di KM390 Lebuh raya Pantai Timur laluan Bukit Besi-Ajil jam 3.16 pagi. Dikhabarkan beliau bersama pembantunya, Hasmizi Hassan dalam perjalanan pulang dari program bersama anak muda di Lembah Kelang.

Almarhum merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, badan eksekutif tertinggi dalam parti. Sudah lebih dua dekad beliau menganggotai jawatankuasa itu. Sebelum itu beliau turut terlibat mengobar dan menjulang semangat juang anak-anak muda PAS ketika sama-sama menerajui sayap Pemuda parti beberapa penggal.

Almarhum adalah salah seorang di antara hanya sebilangan “pemimpin serba boleh” yang ada di dalam PAS. Beliau adalah perancang dan pelaksana berbagai program dan kerja jamaah. Ideanya bagaikan tidak pernah kering. Kemampuannya memikul amanah diberikan parti tidak terbatas kepada sesuatu bidang khusus. Beliau cemerlang sebagai pemimpin politik mahu pun tarbiyah. Beliau berjaya menerajui lajnah, sama ada pertanian mahu pun kemanusiaan.

Namanya turut sinonim dengan agenda pendidikan ummah, terutama pendidikan berinstitusi. Ketegasannya dalam menegakkan kebenaran tidak perlu dipertikaikan, sama ada di corong kuliah mahu pun di jalan raya.

Abu Bakar @ Zaid bin Chik dilahirkan pada 18 Ogos 1950 di Kampung Masjid Tepuh, Mukim Kuala Nerus, Kuala Terengganu. Beliau adalah anak yang kedua dari tujuh adik-beradik, dalam sebuah keluarga petani.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Bukit Cempaka, tidak berapa jauh dari rumahnya. Beliau kemudian berpindah ke Sekolah Kebangsaan Bukit Nenas, Kuala Terengganu.

Pada tahun 1963 hingga 1966 Abu Bakar melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, Kuala Terengganu. Seterusnya beliau menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin di Batu Burok, Kuala Terengganu (1967-1970).

Minatnya terhadap kerja-kerja Islam secara berjamaah terserlah sejak usia belasan tahun ini. Pada tahun 1968 Abu Bakar menjadi salah seorang pengasas penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) cawangan Terengganu.

Pada 1971 Abu Bakar berhijrah pula ke Kolej Islam, Klang. Di sana beliau aktif dengan gerakan pelajar dan memimpin beberapa persatuan.

Pada 1973 Abu Bakar melanjutkan pula pelajarannya ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Di situlah bakat kepimpinannya semakin terserlah. Beliau dipilih menjadi Naib Presiden Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) bagi sesi 1975/76, kemudian diberi kepercayaan memimpin Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) sesi 1976/77.

Abu Bakar berjaya mendapat ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, disamping Diploma Pendidikan di UKM.

Kegigihannya membantu menggerakkan dakwah, dan cita-citanya untuk melahirkan insan yang berjiwa Islam terlaksana, bilamana beliau dan rakan-rakannya berjaya menubuhkan Maahad al-Ikhwan (Institut Berakan), di Kuala Terengganu pada tahun 1977, iaitu sebaik sahaja selesai pengajiannya di UKM. Pusat kaderisasi dakwah itu bagaimana pun diranapkan BN pada 1991.

Di rumahnya di Kampung Tok Jiring, berhampiran Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu, Abu Bakar adalah suami kepada Cikgu Zaitun binti Salleh. Hasil perkongsian hidup mereka, lahirlah lapan orang anak. Di kalangan anggota keluarga, Abu Bakar lebih dikenali sebagai ‘Abang Zaid’. Manakala di kalangan rakan-rakan dalam parti beliau lebih terkenal dengan panggilan ringkas ‘ABC’ (diambil dari initial namanya).

Ada catatan menyebut ABC menyertai PAS pada 1981. Bagaimana pun beliau dikatakan mula bergerak aktif dalam PAS jauh lebih awal, iaitu sewaktu Pilihan Raya Umum 1974. Dalam pilihan raya itu beliau berkempen untuk PAS di seluruh negeri Terengganu.

Bermula tahun 1982, ABC muncul sebagai salah satu tenaga terpenting PAS peringkat negeri Terengganu, dan juga Pusat. Beliau diamanahkan beberapa jawatan penting dalam parti, seperti Ketua Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat, Ketua DPP Negeri Terengganu, dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus.

Kepimpinannya dalam DPP menapak lagi apabila beliau dipilih menjadi Naib Ketua dalam dua era, iaitu era DPP Pusat pimpinan Haji Mustafa Ali dan sekali lagi sewaktu ia dipimpin oleh Ustaz Halim Arshat. Bermula pada tahun 1989, Abu Bakar dipilih pula sebagai Ketua DPP Pusat untuk beberapa penggal seterusnya.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1982 juga ABC diamanahkan untuk mewakili PAS bertanding di kerusi DUN Jeram, menghadapi calon BN, Sufian Mohd Said. ABC berjaya menewaskan calon BN itu dengan kelebihan 208 undi. Beliau mendapat 3,388 undi berbanding Sufian yang memungut 3,180 undi.

Kemenangan itu turut memberi kekuatan “luar biasa” buat PAS Terengganu, setelah sekian lama ketandusan wakil di dalam DUN tersebut. Kebetulan pula, turut menang bersama ABC ialah empat lagi tokoh utama PAS negeri, iaitu Tuan Guru Abdul Hadi Awang (DUN Marang), Cikgu Mustafa Ali (Wakaf Mempelam), Ustaz Harun Taib (Manir) dan Wan Abdul Muttalib Embong (Batu Burok). Kehadiran mereka sering dianggap “lima jari yang dikempal membentuk penumbuk” yang menyakitkan kerajaan BN Terengganu ketika itu.

Penggal perkhidmatan ABC itu bagaimanapun bertukar menjadi mimpi ngeri apabila pada tahun 1984 beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dibebaskan hanya dua tahun kemudian (1986).

Sewaktu tempoh tahanannya itu masih belum tamat, tibalah PRU 1986. ABC dipilih menjadi calon PAS, bertanding menentang BN dari dalam tahanan bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus. Calon BN, Ibrahim Azmi Hassan menang dengan majoriti 7,296 undi.

Dalam PRU 1990, ABC bertanding di kerusi Parlimen Setiu, tetapi tewas. Pada PRU 1995, ABC bertanding di kerusi Batu Rakit, salah sebuah DUN dalam kawasan Setiu. Calon BN, Dr Abdul Wahab Ngah menang tipis dengan majoriti 590 undi. Ia menjadikan Batu Rakit salah sebuah DUN sasaran bagi PAS Terengganu dalam perancangan untuk merampas negeri itu daripada BN melalui PRU ke-10.

Pada 29 November 1999 impian itu menjadi kenyataan. DUN Batu Rakit rebah ke pangkuan PAS dengan kelebihan memihak kepada Ustaz ABC sebanyak 1,187 undi. Dalam pembentukan kerajaan Terengganu selepas itu, Ustaz Haji Abu Bakar Chik dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco).

Dalam hierarki parti, terutama di peringkat negeri, Almarhum diberikan kepercayaan lebih besar. Beliau diangkat sebagai salah seorang Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, selain sebilangan tugasan lain di peringkat Pusat. Amanah itu terus dipukulnya beberapa penggal, walau pun selepas tidak lagi bergelar wakil rakyat.

Dalam usianya melintasi 64 tahun, semangat dan komitmennya terhadap kerja-kerja jamaah bagaikan tidak pernah pudar. Bahkan, kesungguhannya menjayakan apa jua program diaturkan parti tidak sukar dinilai, malah mengalahkan para pejuang lebih muda.

Sekalung doa kerahmatan buat sang pejuang kental ini!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil:1958, 29 Syaaban 1435/27 Jun 2014 di ruangan BELASUNGKAWA F21 dengan tajuk sama).

No comments:

Post a Comment