Monday, June 30, 2014

Ustaz Latif - Hatinya kekal bersama PAS


Belansungkawa Almarhum Ustaz Abdul Latif Muhammad (1940-2014)

Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

“Orang boleh buang (keahlian) ana dari PAS, tapi orang takkan boleh buang PAS dari dalam hati ana”, demikian penegasan yang pernah dituturkan bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Almarhum Ustaz Abdul Latif Muhammad.

Kata-kata itu sudah cukup menggambarkan kecintaan dan iltizam beliau yang sangat tinggi terhadap parti ini. Pertautan hatinya dengan PAS tersangat erat. Bahkan buat beberapa ketika sewaktu beliau berada di puncak kepimpinan parti, nama beliau seakan sinonim dengan PAS Besut.

Sehinggakan, di ketika isu pemecatan beliau menjuarai bual-bicara masyarakat kira-kira 16 tahun lalu, beliau dikatakan berulangkali menegaskan bahawa “ana adalah PAS Besut, dan PAS Besut adalah ana”.

Kata-kata itu mungkin bunyinya agak egoistik. Namun, bagi yang mengenali beliau secara dekat dan mengkaji susur-galur perjuangan PAS di daerah utara Terengganu ini, ungkapan itu bukanlah suatu yang keterlaluan.

Penulis sendiri dalam beberapa tahun kebelakangan ini agak kerap mengunjungi Ustaz Abdul Latif. Pertama, kebetulan beberapa kali diminta teman-teman pemimpin PAS Kawasan Besut dan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu untuk menjadi “penunjuk arah” ke rumah beliau. Mereka berhasrat memanjangkan undangan kepada Ustaz agar hadir sebagai tetamu di dalam beberapa perhimpunan besar anjuran parti.

Kedua, penulis juga kebetulan dirujuk beberapa pelajar institusi pengajian tinggi untuk membelek sejarah PAS Besut. Makanya, di antara tokoh yang mereka tanyakan ialah Ustaz Abdul Latif. Bahkan, antara mereka ada yang mendakwa pensyarah mereka mensyaratkan mesti dibuat temubual dengan Ustaz. Jika tidak, bual bicara mengenai PAS Besut dianggap tidak sempurna.

Maka, bagi memenuhi hajat mereka itu, penulis turut menjadi “penghubung” antara mereka dengan Ustaz. Di masa sama, hal itu membuatkan penulis berfikir bahawa di luar sana pun rupanya banyak pihak yang memperakui betapa Ustaz Abdul Latif dan sejarah PAS Besut adalah “sinonim”. Justeru, membicarakan sejarah parti di kawasan itu tanpa mengutip komentar daripada beliau dikira tidak lengkap.

Kini, segala catatan itu akan benar-benar menjadi sejarah. Ustaz Abdul Latif sudah tidak lagi bersama kita. Awal pagi Rabu, 25 Jun 2014, beliau dijemput pulang oleh Allah Taala setelah sekian lama menderita akibat serangan angin ahmar.

Abdul Latif Muhammad dilahirkan pada 1940 di Kampung Pulau Berangan, Besut. Ayahnya, Haji Muhammad bin Husin adalah seorang pesawah padi.

Menjadi kebiasaan ibubapa yang memiliki kesedaran hidup beragama ketika itu untuk menghantar anak-anak mereka mendalami ilmu Islam di pondok-pondok. Maka Abdul Latif dihantar ayahnya mengaji di Pondok Tok Guru Haji Abdul Latif, Alor Keladi, Besut (tapak Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah sekarang).

Berbekalkan ilmu ditimba di situ, beliau turun ke tengah masyarakat menyampaikan pengajaran Islam. Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 menjadi titik tolak penting karier politik Ustaz Abdul Latif. Beliau dipilih menjadi calon PAS bagi kerusi DUN Setiu, tetapi tidak menang.

Beberapa tahun kemudian, beliau melanjutkan pelajaran pula ke Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, di Nilam Puri, sebuah institusi pendidikan agama kelolaan kerajaan negeri yang sangat masyhur ketika itu.

Ustaz Abdul Latif tidak bertanding dalam PRU 1974. PAS berada di dalam Barisan Nasional (BN) dan diperuntukkan hanya sebuah kerusi DUN, iaitu di Kuala Besut. Calonnya, Ustaz Husin Jusoh menang selesa ke atas calon PSRM.

Ustaz Abdul Latif kemudiannya mula diberikan amanah kepimpinan dalam parti. Jawatan pertama beliau ialah sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut, yang disandangnya antara 1975 hingga 1977.

Dalam tempoh itu, beliau dikatakan sempat melanjutkan pelajaran ke Universiti Darul Uloom, Deoband, India sebelum memasuki Universiti Al-Azhar, Mesir dalam jurusan Syariah wal Qanun.

Pada PRU 1978, beliau dipertaruhkan PAS menentang calon BN di kerusi DUN Ulu Besut, tetapi kalah. Bahkan, pada pilihan raya itulah buat pertama (dan terakhir) kali PAS gagal menawan sebarang kerusi di Terengganu.

Lebih kurang pada masa sama berlaku ledakan kebangkitan Islam serata dunia. Negara kita turut menerima landaan gelombang kesedaran akidah itu. Umat Islam dilontarkan dengan persoalan batas-batas iman dan kufur. Pembicaraannya yang kurang teliti akhirnya menyeret masyarakat ke dalam polemik isu kafir-mengkafir.

Tokoh utama di tengah-tengah polemik ini di Terengganu ialah Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Rusila), Tuan Guru Awang Nasruddin Abu Bakar (Batu Enam), Ustaz Stimat@Muhammad Jusoh (Kerandang) dan Ustaz Abdul Latif Muhammad (Jertih). Ketegasan mereka menjulang isu akidah ini nyata menggerunkan BN.

Bagi Ustaz Abdul Latif pula, keberaniannya mengusik kejahilan masyarakat mengenai isu itu turut melonjakkan namanya di dalam parti. Beliau diamanahkan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, selama dua penggal (1979-83).

Pada PRU 1982, Ustaz bertanding di DUN Bukit Kenak. Biar pun tewas, semangat juangnya semakin mencanak. Susunatur strategi dan gerakerja parti semakin diperhebatkannya. Hal itu dikatakan amat membimbangkan BN dan dianggap punca utama Ustaz Abdul Latif terpaksa “direhatkan”. Pada 1983, beliau ditahan di bawah Akta Kediaman Terhad dan dibuang daerah ke Sitiawan, Perak.

Jangkaan BN, beliau mungkin akan kendur dan tidak lagi begitu aktif selepas dibebaskan. Amat malang bagi parti “taghut” itu, perkara sebaliknya yang berlaku. Sambutan masyarakat bertambah tinggi terhadap kehadiran Ustaz Abdul Latif. Justeru, pada PRU 1986, parti menggandakan amanah kepada beliau untuk bertanding di dua kerusi – Parlimen Besut dan DUN Kuala Besut.

Sejarah selepas PRU 1982 berulang lagi. Meski pun tewas, kesungguhannya mempertingkatkan gerakerja parti amat mencabar BN. Maka, menerusi Operasi Lalang 1987, Ustaz Abdul Latif ditahan di bawah ISA pula.

Sepertimana “pengurungan” pada 1983, kesan kali ini juga serupa. Semakin ditekan dan dizalimi, semakin dia mendapat simpati dan sajungan masyarakat. Ustaz bagaikan telah “menakluk” jiwa para pejuang di Besut ketika itu.

Maka sejurus dibebaskan dari cengkaman akta zalim itu, Ustaz Abdul Latif diangkat menerajui PAS Kawasan Besut. Beliau menjadi Yang Dipertua kawasan itu selama sedekad (1988-98). Beliau turut aktif sebagai AJK Dewan Ulama PAS Pusat.

Pengorbanan beliau yang begitu tinggi demi menegakkan Islam dikira terbayar pada PRU 1990. Ustaz berjaya menewaskan calon BN di DUN Jertih, sekaligus menamatkan kemarau kerusi selama empat penggal di Besut. Beliau bagaimana pun gagal mempertahankan kerusi tersebut pada PRU 1995.

Tahun 1998 merupakan tahun dukacita buat PAS Besut, terutama Ustaz Abdul Latif sendiri. Disebabkan beberapa faktor tidak dapat dielakkan, PAS Pusat mengambil keputusan menggantung pentadbiran PAS kawasan berkenaan. Sekumpulan ahli yang tidak dapat menerima tindakan itu, terutamanya para penyokong kuat Ustaz Abdul Latif telah melakukan beberapa tindakan yang tambah mengeruh dan menegangkan suasana.

Akhirnya, PAS Pusat tiada pilihan melainkan memecat Ustaz Abdul Latif dan beberapa bekas pemimpin PAS Besut lain. Bermula saat itulah, kariernya di dalam parti terus malap. Beliau malah dilihat muncul di pentas BN beberapa kali, termasuk bagi menjayakan program ‘Selamat Tinggal PAS (STP)’ anjuran Umno Besut.

Namun, bak kata orang-orang tua, “biduk lalu, kiambang bertaut”, begitulah juga perihal Ustaz dan PAS. Hanya sejurus PRU 2004, dan setelah melihat kejatuhan kerajaan PAS Terengganu, mula kedengaran kekesalan yang nyata dari kalangan penyokong luat Ustaz Abdul Latif. Beliau sendiri dikatakan semakin kerap memberi amaran kepada para pengikut setianya agar “jangan gaduh jemerang (menyeberang)”, yakni menyertai Umno/BN.

Alhamdulillah, menjelang PRU 2008, Ustaz Abdul Latif mengisytiharkan dirinya sudah sedia kembali ke pangkuan PAS. Bagi membuktikan kesungguhan itu, beliau malah menjemput kepimpinan tertinggi PAS negeri membuat program ceramah besar di pekarangan rumahnya.

Semangat dan kesetiaan itu dipercayai beliau pegang hingga ke akhir hayatnya. Sekalung doa keampunan dan kerahmatan Allah buat penakluk jiwa pejuang ini.

(Artikel ini adalah versi asal (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil: 1959, bertarikh 2 Ramadhan 1435/30 Jun 2014 di ruangan KOLUMNIS F21 dengan tajuk sama)

1 comment:

  1. Betway Casino and Resort in New Jersey: NJ App & Promo Code
    Sign up at Betway Casino, 경상북도 출장안마 enjoy the benefits of 김해 출장마사지 a live casino, 세종특별자치 출장마사지 plus a sports betting app, plus a casino app. Get a 광주 출장마사지 risk free bet up to 화성 출장샵 $1000!

    ReplyDelete