Oleh: Mohd Nasir Awang
BARU-baru ini berlangsung cuti penggal persekolahan. Di
negara kita, malah mungkin di seluruh dunia, cuti persekolahan atau pengajian
agak sinonim dengan trip percutian. Kesempatan musim cuti kerap dimanfaatkan
sebaiknya oleh orang kita. Ketika itulah ada yang langsungkan kenduri-kendara,
ada yang tunaikan hasrat melancong ke destinasi impian. Tidak kurang juga yang
ambil kesempatan menjengah kampung halaman.
Bagi seorang yang banyak menghabiskan masa di kejauhan,
tentu banyak perkara mengenai kaum keluarga dan rakan-taulan serta perkembangan
hal ehwal kampung yang kita agak ketinggalan. Kesempatan bersua dengan
sahabat-handai tentu sekali disarati dengan “pengkisahan semula” oleh mereka
mengenai itu dan ini, terutama berkaitan hal ehwal kampung dan warganya.
Selain perkhabaran ada kawan yang ‘berhijrah’ dan ada yang
terus berjerih-pahit di kampung, cerita yang agak tidak ketinggalan dilaporkan
teman-teman ialah senarai kematian, sama ada melibatkan sanak-saudara,
rakan-taulan, jiran-tetangga mahu pun sekadar orang sekampung.
Salah seorang di antara mereka yang dijemput pulang ke
rahmatullah baru-baru ini ialah seorang yang kami panggil Kak Mashitah.
Maklumat dari seorang teman kemudiannya mengatakan nama penuhnya Mashitah bte
Abdullah, berumur di awal 50-an. Dia dikhabarkan meninggal dalam satu
kemalangan dekat Gerik, Perak.
Tidak ada apa-apa hubungan atau kepentingan agak istimewa
antara Allahyarhamah dengan kami, selain jiran sekampung. Namun, ada sesuatu di
sebalik cerita kematiannya yang menyentap hati saya. Kata teman saya itu, turut
terkorban dalam kereta yang sama ialah “emak Catriona Ross”.
Ya Rabbi, hati saya terus berdetup. Bukan setakat wajah artis
kacukan itu yang segera terlintas di benak, tetapi lebih saya ingati ialah
cerita panjang lebar Cat mengenai kebaikan dan kemuliaan ibunya itu. Betulkah
yang meninggal itu Puan Siti Zawiah Abdul Rahman, yang sangat dikagumi dan
disanjungi serta dijadikan idola hidup anak perempuannya sendiri?
Menurut rakan tadi, cerita kemalangan itu memang tersebar
luas. “Siap masuk suratkhabar lagi”, katanya. Hanya saya yang sangat ketinggalan
mengenai kejadian itu. Sekadar mengesahkan, saya menghubungi Cat.
“Ya, dialah ibu saya. Alhamdulillah, saya redha dan dapat
menerima ketentuan takdir ini,” sayu suara Cat di hujung talian, mengesahkan kejadian
itu.
Saya kira selang masa antara pertengahan Februari (tarikh
kemalangan) dengan hujung Mac (tarikh dihubungi) sudah lebih dari cukup untuk
Cat “menerima hakikat” kehilangan orang paling disayanginya itu.
Ya, memang saya pernah mengadakan wawancara eksklusif
bersama Cat, sekitar Februari 2012 lalu. Ia termuat dalam majalah Dian – Ihya’ as-Sunnah, Edisi 4 yang
terbit April 2012.
Demi Allah, biar pun saya tidak mengenali dan tidak pernah
bersua walau sekali pun dengan Puan Siti Zawiah ini, gambaran dituturkan
anaknya sendiri, Cat, sangat mengagumkan. Sebagai tatapan pembaca, saya
perturunkan kembali sebahagian catatan yang merakam sanjungan Cat terhadap
ibunya itu:
“Beliau yang sangat mengagumi ibunya sempat mengimbau
kembali pesanan orang paling disayanginya itu tatkala beliau mula-mula berjinak
dengan dunia lakonan dulu. Masih segar dalam ingatannya bagaimana ibunya, Puan
Siti Zawiah Abdul Rahman memberikan syarat sangat ketat untuknya memasuki dunia
hiburan.
Dalam loghat Kelantan, Cat mengulangi kata-kata ibunya, “kalu lah ada sekali tubik dalam suratkobar,
ada apa-apa kontroversi dengan budak jatae, ada apa-apa hal buat malu ke
keluarga, jangan kelik kampung. Nih! (sambil mengangkat jari).. dia tunjuk
kepada saya... Nih! Bukan anak aku...”
Disebabkan selalu berpegang kepada pesanan itulah, kata
Cat, sepanjang penglibatannya dalam dunia hiburan, alhamdulillah beliau tidak
dilanda sebarang gossip yang buruk.
Cat dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, pada 2 September
1980 sebagai Catriona Noorhayati Ross binti Bahrin Ross. Ibunya adalah anak
watan ibu negeri Serambi Mekah itu, manakala ayahnya berasal dari Scotland.
Mereka ditakdirkan bertemu ketika Siti Zawiah melanjutkan pengajian dalam
bidang perubatan di United Kingdom.
Cerita keupayaan ibunya menarik minat Brian Ross (nama
asal bapanya) yang tidak pernah kenal Islam untuk masuk Islam, seterusnya
membimbing beliau menghayati ajaran agama, adalah suatu yang amat dikagumi Cat.
Hingga kini beliau menganggap apa yang dicapai ibunya itu bukan suatu yang
mudah dan wajar diberikan pujian.
“Ibu ni orang yang strick
tentang agama. Masa tu lah dia jumpa somebody
yang tidak Islam dan boleh (buat dia) jadi muallaf. Jadi daripada dulu lagi
pun, daripada kecik lagi saya rasa ibu ni memang somebody strong, sebab dia wanita tapi dia membimbing seorang
lelaki dalam agama kan? Lelaki yang tidak pernah kenal Islam masa tu...”
“So, daripada
kecik lagi saya memang tahu (kisah itu) dan respect
pada ibu ni, sebab saya rasa kerja dakwah ibu berlaku daripada usia dia yang
awal itu, sebab dia kahwin dulu umur 23”, cerita Cat, membanggai peranan
ibunya.
Di bawah asuhdidik dan belaian kasih insan mulia lagi
berprinsip itulah Cat dibesarkan.”
Sebagai orang Islam, kita diajar supaya menyebut kebaikan
dan kemuliaan orang yang sudah mati. Lebih-lebih lagi dalam kes Allahyarhamah
Puan Siti Zawiah ini, ternyata beliau bukan sebarangan ibu. Keluhuran peribadi,
kemampuannya menarik minat seorang bukan Islam terhadap Islam dan kejayaannya
mengasuhdidik anak untuk taat kepada agama sudah terbukti.
Pada usia 63 tahun, beliau dijemput “pulang” ketika dalam
perjalanan menyampaikan sumbangan derma untuk sebuah sekolah agama di Merbok,
Kedah. Kak Mashitah yang turut terkorban bersamanya adalah rakan niaganya dalam
satu jenama produk halal.
Sekalung doa kerahmatan buat roh mereka di sana.
Al-Fatihah!
Gambar hiasan: Kulit depan majalah Dian Edisi 4 memuatkan wawancara
eksklusif dengan Catriona Ross.
(Artikel ini disiarkan di kolum 'Catatan Ketua Pengarang', majalah Era Muslimah, Edisi 14, yang terbit awal April 2013)
No comments:
Post a Comment