Friday, April 1, 2011

Risau tak dapat bersolat, hampir bantut hasrat peluk Islam

Oleh: Mohd Nasir Awang

Ada dua kegemaran utama Muhamad Ridzuan Ang Abdullah. Pertama, memasak dan kedua, merantau. Dua kegemaran itu secara tidak langsung mendorongnya banyak membaca dan terdedah kepada kepelbagaian cara hidup manusia.

Pendedahan itu pula membentuk peribadinya yang gemar memerhati, berfikir, membuat perbandingan dan mempersoalkan sesuatu yang kurang difahaminya. Tanpa diduga, tabiat itu akhirnya menemukannya dengan agama suci ini.

Ridzuan dilahirkan dalam sebuah keluarga Cina di Taiping, Perak, pada 12 Februari 1970. Nama asalnya David Ang Soon Tian. Ibubapanya adalah penganut agama Buddha.

Bagaimana pun, kepercayaan itu tidak dipegang teguh anak bongsu mereka ini. Kata Ridzuan, sejak kecil beliau tidak dapat menerima amalan ibubapanya “menyembah patung” itu.

Justeru, sebaik tamat sekolah menengah, David Ang mengisytiharkan memeluk agama Kristian. Hal itu diterima dengan hati terbuka oleh ibubapanya.

“Orang Cina (Buddha) ni dia hanya sangat sensitif kalau anak dia masuk Islam. Pantang dia, tapi kalau masuk Kristian tak apa,” ulasnya.

Sejak itu David Ang giat mendalami ajaran-ajaran di dalam kitab Injil. Penghayatannya secara terperinci terhadap kitab itu bagaimana pun menemukannya dengan banyak percanggahan. Katanya, banyak amalan peribadatan penganut Kristian hari ini tidak menepati ajaran di dalam kitab itu.

“Banyak benda yang buat saya tanya diri sendiri. Contohnya, dalam Injil sebut macam mana Nabi Isa puasa. (Masanya) dari terbit matahari hingga tenggelam matahari. Saya tengok orang Kristian tak ikut ajaran ini. Yang ikut (ada persamaan) ialah (puasa) orang Islam. Saya jadi tak puas hati.

“Contoh lagi, (menurut Injil) Nabi Isa sembahyang letak dahi atas lantai. Sekarang siapa sembahyang serupa itu? Orang Islam, bukan? Orang Kristian dia sembahyang (sambil) menyanyi, duduk-duduk gitu je. Jadi, banyak perkara (dalam ajaran Kristian) tak meyakinkan saya,” Ridzuan mengimbau kemelut menerjah mindanya ketika itu.

Kesempatan menuntut jurusan kulinari di sebuah universiti di Bandaraya New York, Amerika Syarikat, dimanfaatkannya untuk meninjau kehidupan masyarakat berbilang kepercayaan di kota kosmopolitan itu. Di situ beliau mula melihat kesungguhan dan ketaatan umat Islam melaksanakan ajaran agama mereka.

“Di New York umat Islam kumpulan minoriti. Tempat saya duduk tu tak ada pun masjid. Tapi tiap kali masuk waktu sembahyang saya dengar suara orang azan. Dari celah-celah tangga apartmen berpuluh tingkat tu ada suara azan. Rupanya orang Islam sewa bilik di tingkat atas buat masjid,” Ridzuan menceritakan kekagumannya.

Minatnya untuk mengenali Islam secara lebih mendalam semakin bertambah. Sekembali ke tanahair, beliau bekerja di Pulau Pinang. Di sana beliau perhatikan nilai kehidupan Islam lebih digambarkan oleh komuniti India Muslim.

“Saya tak puas hati. Saya mahu tengok kehidupan sebenar orang Islam dalam masyarakat Melayu. Melalui suratkhabar saya dapat gambaran orang Kelantan, Terengganu ni lebih Islamik daripada tempat lain. Jadi saya mari sini (Terengganu),” sambungnya.

Di atas hasrat itu, David Ang berhijrah ke Terengganu pada 1997. Hari ketiga berada di negeri itu beliau ditawarkan bekerja di sebuah resort di Kuala Ibai.

Selain berkesempatan bergaul lebih dekat dengan orang Islam, lokasi tempat kerjanya yang berjiran dengan Masjid Terapung membolehkannya memerhati ketekunan umat Islam menunaikan tuntutan agama, terutama setiap kali azan dilaungkan.

“Saya tertarik dengan kesungguhan orang Islam, dan inilah yang membezakan Islam dengan agama-agama lain. Agama lain tak ada pendirian yang jelas, yang tegas suruh penganut dia pergi sembahyang. You want to go, you go. You don’t want to go, it’s your business. Dia tak kisah,” Ridzuan meluahkan pemerhatiannya.

Baginya, perkataan wajib yang digunakan Islam sebagai arahan beribadat adalah dorongan yang baik untuk menjaga komuniti Islam agar tidak lalai dari tanggungjawab terhadap Tuhan.

“Di sini saya melihat Islam menggariskan matlamat kehidupan yang jelas, bahawa kehidupan sebenar bukan di dunia, tetapi di akhirat. Agama lain tak jelas matlamat ini,” ujarnya.

Bermula 1998, David Ang belajar mengenai Islam secara lebih serius. Beliau malah mengikuti kelas pengajian di Bangunan Perkim Kuala Terengganu.

“Masa tu perkara paling tak masuk akal saya ialah bagaimana orang Islam boleh sembahyang lima kali sehari. Orang Kristian nak sembahyang seminggu sekali pun, kadang pergi (gereja) kadang tidak,” Ridzuan tersenyum sendiri teringatkan pemahamannya ketika itu.

Lebih melucukannya ialah apabila beliau pernah bersengkang mata sehingga azan Subuh semata-mata mahu pastikan dia tidak terlepas menunaikan solat fardhu itu. Bahkan, disebabkan terlalu risau tidak dapat melaksanakan sembahyang lima kali sehari, beliau hampir-hampir membatalkan hasrat memeluk Islam.

Ditakdirkan Allah, selepas setahun mendalami Islam, David Ang melafazkan syahadah. Beliau amat berterimakasih kepada Encik Yusof Salleh dan anaknya, Shukri, yang banyak memberi dorongan. Keluarga dari Kampung Laut, Kuala Terengganu ini kemudiannya menjadi keluarga angkatnya dan banyak membantu Ridzuan mendalami Islam lebih lanjut.

Kini, selepas 12 tahun memeluk Islam, Ridzuan kekal dengan dua kegemarannya. Beliau masih sibuk memasak di dua restoran miliknya yang menyajikan masakan Melayu, Cina dan Eropah di Kampung Bukit Bayas. Beliau juga menjalankan perniagaan barangan hiasan rumah yang kerap membawanya merantau ke China.

Pada 2001 Ridzuan mendirikan rumahtangga dengan Norwati Abdullah, dari Dungun. Perkongsian hidup mereka melahirkan tiga zuriat, iaitu Nor Izzah Aliya, 8 tahun, Mohamad Aidil Jazzari Ang (6) dan Norsaiba Tasnim (2).

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil: 230, Edisi April 2011 di ruangan 'hidayah', dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment