Friday, April 1, 2011

“Bukankah saya juga boleh berdakwah?”

Oleh: Mohd Nasir Awang

Pada adatnya, jika tidak kerana usaha dan gerakerja dakwah secara bersungguh yang diperturunkan generasi ke generasi, kita tidak pasti apakah agama anutan kita sekarang. Boleh jadi majoriti rakyat negara ini masih menganut faham animisme yang meletakkan kepercayaan dan pemujaan kepada kuasa alam semulajadi.

Mungkin juga sebahagian besar orang-orang Melayu negara ini kekal beramal dengan ajaran agama Hindu yang menjadi anutan pemerintah di zaman nenek-moyang kita berabad lalu, sepertimana didakwa catatan sejarah negara.

Atau, mungkin juga ajaran Kristian yang dibawa para penyebarnya secara terancang akan lebih menguasai kehidupan masyarakat kita. Oleh kerana agama itu didatangkan bersama penaklukan dan penjajahan oleh Portugis dan Inggeris, sepatutnya kuasa pemerintahan dimiliki mereka tambah memudahkan agama itu diterapkan sebagai anutan masyarakat dijajah mereka.

Namun hal itu terbukti tidak berlaku. Sebaliknya, agama Islam berkembang subur sebagai anutan majoriti rakyat. Ia menggantikan faham animisme yang dianuti orang Melayu sebelum itu dan mengikis amalan Hindu yang turut bersirat dalam adat budaya nenek-moyang kita.

Ajaran Islam yang dihayati juga membentuk dinding yang kuat menyanggah dakyah Kristian yang cuba menyerang aqidah umat Islam negara ini. Hasilnya, walau pun penjajah sedaya mungkin berusaha menukar kepercayaan masyarakat dijajahnya, Islam kekal menjadi anutan utama.

Hakikat itu sekaligus membuktikan betapa hebatnya “kuasa” dakwah Islam. Walau pun ada ungkapan yang mendakwa Islam ini tersebar menerusi mata pedang, yakni peperangan, tidak sukar diakui bahawa uslub utama penyebarannya ialah menerusi medan dakwah.

Berbeza dengan penyebaran agama Kristian yang berlaku bersama penaklukan, agama suci ini dibawa ke Tanah Melayu bukan menerusi peperangan atau penaklukan oleh mana-mana kuasa besar Islam. Riwayat yang masyhur mengatakan Islam datang ke negara kita menerusi kumpulan-kumpulan pedagang, terutama dari negara-negara Arab dan India.

“Latar sejarah itu sendiri seakan memberitahu kita sesuatu, bahawa pembawa Islam kepada kita asalnya hanyalah para pedagang, peniaga. Kita tidak diberitahu secara terperinci latar belakang pendidikan agama mereka ini. Ya... mungkin antara mereka memang ada berpendidikan agama, mungkin ada ulama dan ustaz, tetapi kita juga kena andaikan majoriti pedagang Arab dan India ini mungkin hanya umat Islam biasa macam kita semua,” ujar Tuan Haji Abdul Rashid Che Muda.

Beliau yang juga Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Besut mengulas peranan yang patut dimainkan semua umat Islam dalam menjayakan usaha dakwah. Baginya setiap individu muslim adalah bertanggungjawab melaksanakan dakwah Islam mengikut kemampuan dan kemahiran masing-masing.

“Asas utama tanggungjawab dakwah ini ialah pesanan Nabi s.a.w., “ballighu ‘anni walau aayah” (ertinya) ‘sampaikanlah dari aku walau pun satu ayat’. Ertinya, Rasulullah (s.a.w.) tidak suruh kita tunggu tahu banyak ayat, tak perlu tunggu ada banyak ilmu baru nak berdakwah. Ini perintah sebenarnya,” ujarnya, menghuraikan satu hadis Rasulullah s.a.w.

Haji Abdul Rashid berkongsi pendirian bahawa usaha dan gerakerja dakwah Islam bukan terbatas hanya kepada golongan tertentu, terutama golongan berpendidikan agama. Selain fakta sejarah kedatangan Islam disebutkan itu, beliau juga berpandangan kepelbagaian budaya dan serangan terhadap cara hidup Islam masa kini memerlukan kaedah dan strategi dakwah yang lebih pelbagai juga.

Kepelbagaian itu pula sudah tentu tidak mampu dimiliki atau tidak terhimpun hanya di kalangan golongan agama sahaja. Justeru, peranan dan tanggungjawab dakwah Islam juga perlu dikongsi bersama oleh individu Islam yang berkemahiran atau berkecimpung dalam pelbagai bidang.

“Harap diampun, bukan saya bermaksud menidakkan keilmuan golongan agama, para ulama dan ustaz-ustaz kita. Saya sendiri pun banyak terhutang budi di atas bimbingan dan tunjuk ajar mereka. Tetapi apa yang saya maksudkan, kita, Islam memerlukan segala bentuk kepakaran dalam menghadapi cabaran dan serangan pemikiran zaman ini.

“Lebih-lebih lagi kita berada di zaman teknologi maklumat, internet dan berbagai kemajuan. Ada aspek atau bidang tertentu yang kita kena akui tidak mampu dikuasai oleh golongan agama. Tak semua mereka berkesempatan mempelajari benda-benda yang bermacam ini. Di situlah peranan yang perlu diambil golongan yang mahir, walau pun dia bukan kalangan yang kita istilahkan “golongan agama” itu,” hurainya.

Haji Abdul Rashid turut mengakui bahawa medan dakwah Islam terlalu luas, seluas dan selebar Islam itu sendiri. Ia bukan terbatas hanya di masjid, surau atau pusat tarbiyah, tetapi terbuka untuk dilaksanakan di mana-mana. Ia boleh berlaku di padang bola, di kawasan perkelahan, mahu pun pasar.

Beliau mengambil contoh dirinya sendiri yang banyak berinteraksi dengan anggota masyarakat menerusi jawatan disandangnya. Sebagai pegawai bertanggungjawab menyelia perjalanan pasar-pasar tani di seluruh daerah Besut, rutin hariannya banyak bersama para peniaga dan pengunjung pasar berkenaan.

“Saya menganggap itu (pasar tani) memang medan saya. Di situlah saya selalu berada, berhubung rapat dengan para pesertanya, beramah-mesra dengan para pembeli yang berkunjung. Bukankah melalui interaksi harian ini saya juga boleh berdakwah? Rugi kalau saya tak ambil kesempatan itu, bukan?”, terjahnya.

Menurutnya, disebabkan hubungan baik itu, beliau tidak kekok menyampaikan sesuatu mesej berunsur Islam, termasuk kekadang dalam bentuk santai atau gurauan. Manakala pihak ditujukan mesej dakwah itu pula lebih mudah menerima sesuatu yang disampaikan seseorang yang rapat dan mesra dengan mereka.

Selain itu, pihaknya selaku urusetia pasar tani juga sering mengadakan sesi pendidikan, terutama Kursus Pembangunan Modal Insan kepada para peserta. Sesi ini menekankan kepada mereka kepentingan menghayati dan mengamalkan urusniaga mengikut kehendak Islam. Baginya, membiasakan umat Islam dengan muamalat Islam itu juga sebahagian usaha dakwah.

Sebagai suatu hakikat yang diketahui umum, Haji Abdul Rashid menyentuh bagaimana begitu ramai kini kalangan yang bukan berpendidikan agama telah menceburi usaha dakwah Islam. Beliau dengan bangga memetik ketua jabatannya sendiri, Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Tuan Haji Hassan Jusoh, yang dianggapnya seorang yang sangat komited dengan usaha dakwah, walau pun berkelulusan bukan bidang agama.

“Saya ada ramai kawan seumpama beliau. Seorang kawan baik saya lulusan Amerika (Syarikat), bukan pengajian Islam pun, tetapi cara hidupnya, subhanallah, saya lihat sangat hampir kepada tuntutan agama. Cara hidupnya dan keluarganya juga bagi saya menjadi dakwah kepada masyarakat, dakwah melalui perbuatan,” beliau memberikan contoh.

Tidak syak lagi, keterlibatan sebegitu ramai kalangan profesional seperti doktor, pensyarah, peguam dan jurutera di dalam kerja-kerja menegakkan syiar dan syariat Islam di negara ini menepati pengamatan digarap Haji Abdul Rashid itu.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 230, edisi April 2011 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama) 

No comments:

Post a Comment